[Nota Komsas] Analisis Pantun Nasihat; Antologi Baik Budi Indah Bahasa

Cikgu Muzz
By -
0

 


MAKSUD PANTUN NASIHAT


Tanam balik buah peria,
Buah peria mahal sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

 

Jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih- lebihan sehingga tidak kena pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali.

 

Ketua-ketua raja duduk,
Jangan ditimpa pagan;
Diketahui ganja itu mabuk,
Apakah sebab maka dimakan?

 

Sesuatu yang haram dan memabukkan hendaklah tidak diambil sama sekali.

 

Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbul jalan;
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.

 

Jangan dibiarkan perasaan sedih dan risau berpanjangan.

 

Pulau di balik Pulau Gosong, Pandan di Jawa diranggungkan; Jangan kata terdorong-dorong, Badan dan nyawa menanggungkan.

 

Tutur kata haruslah sentiasa dijaga agar kita tidak menanggung sengsara.

Hangus bertih berwarna merah,
Mari dituang ke dalam kain;
Suami yang letih usah dimarah, 
Kelak terbang ke bunga lain.

 

Seseorang isteri hendaklah mengelakkan diri daripada memarahi suami yang sedang letih kerana dikhuatiri dia akan mencari perempuan lain.

Anak Cina membawa surat,
Dari Perak langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

 

Hendaklah beradat ketika hidup di dunia dan bahasa itu tidak dapat dijual beli.

Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk lnderagiri;
Jikalau berdagang ke rantau orang,
Baik-baik membawa diri.

Para perantau dinasihatkan agar pandai membawa diri di tempat orang.


TEMA PANTUN NASIHAT
Nasihat yang dijadikan panduan kepada masyarakat agar mereka sentiasa melakukan kebaikan.
 
PERSOALAN PANTUN NASIHAT
    1. Sentiasa melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.
    2. Melakukan perbuatan haram akan membawa kepada kemudaratan.
    3. Perasaan sedih dan risau tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana dapat membinasakan diri.
BENTUK PANTUN NASIHAT
    1. Terdiri daripada tujuh rangkap.
    2. Berisi empat baris setiap rangkap
    3. Ada pembayang dan maksudnya.
    4. Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.
    5. Terdiri daripada tujuh hingga sebelas suku kata sebaris.
    6. Bentuknya terikat.
GAYA BAHASA PANTUN NASIHAT
    1. Imej alam. Contohnya, buah peria; padi; kapas; panas; hujan; pulau; bertih; bunga; pisang.
    2. Anafora. Contohnya, Buat baik berpada-pada  Buat jahat jangan sekali.
    3. Simile. Contohnya, Bagai panas mengandung hujan.
    4. Asonansi. Contohnya, Batang kapas bertimbal jalan (perulangan vokal a).
    5. Aliterasi. Contohnya, Buat baik berpada-pada (perulangan konsonan b).
    6. Rima akhirnya sama, iaitu abab.
NILAI PANTUN NASIHAT
    1. Baik hati.
    2. Ketabahan. 
    3. Rasional. 
    4. Kepatuhan.
PENGAJARAN PANTUN NASIHAT
    1. Kita hendaklah sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran.
    2. Kita mestilah mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang haram supaya hidup kita tidak binasa.
    3. Kita hendaklah tidak terlalu bersedih atas dugaan yang menimpa diri kerana perbuatan tersebut akan memudaratkan diri sendiri.
    4. Kita mestilah berhati-hati dalam bertutur, jika tersilap buruk padahnya.
Kredit: Sasbadi

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!