[Nota Komsas] Analisis Pantun Budi; Antologi Baik Budi Indah Bahasa

Cikgu Muzz
By -
0

 


MAKSUD PANTUN BUDI

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hat terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

 

Budi yang baik akan sentiasa dikenang dan menjadi sebutan orang.

 

Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang baik budi,
Yang indah bahasa.

 

Orang yang baik mempunyai budi dan bahasa yang tinggi.

 

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

 

Orang yang tidak berbudi bahasa akan dipandang hina.

 

Bunga cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas budi terbuang.

 

Sudah menjadi lumrah hidup, kekayaan lebih diutamakan daripada budi bahasa.

 

Anak beruk di tepi pantai, 
Pandai melompat pandai menari;
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.

 

Biarlah kita hidup miskin asalkan kita sentiasa berbudi bahasa.

 

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
lndah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

 

Orang yang berbudi akan dipandang mulia, manakala martabat bangsa dinilai dari segi bahasa dan tutur kata.

 

Padang Temu Padang baiduri,
Tempat raja membangun kota;
Bijak bertemu dengan jauhari,
Bagai cincin dengan permata.

 

Orang yang bijak akan kelihatan lebih hebat jika bersama-sama dengan orang yang sama taraf dengannya.

 

 

 
TEMA PANTUN BUDI
Masyarakat yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi kerana bahasa menunjukkan identiti sesuatu bangsa.
 
PERSOALAN PANTUN BUDI
    1. Orang yang tidak berbudi bahasa akan dipandang hina.
    2. Sikap mementingkan kekayaan menyebabkan seseorang lupa akan budi bahasa.
    3. Masyarakat Melayu amat mementingkan budi bahasa dan tutur kata.
BENTUK PANTUN BUDI
    1. Terdiri daripada tujuh rangkap.
    2. Berisi empat baris setiap rangkap.
    3. Ada pembayang dan maksudnya.
    4. Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.
    5. Terdiri daripada lima hingga sebelas suku kata sebaris.
    6. Bentuknya terikat.
GAYA BAHASA PANTUN BUDI
    1. Imej alam. Contohnya, air; laut; tanjung; saga; bunga melati; bunga seroja; kali; bunga cina; batu; daun; emas; anak beruk; dan pantai.
    2. Peribahasa. Contohnya, Bagai cincin dengan permata.
    3. Personifikasi. Contohnya, Bijak bertemu dengan jauhari.
    4. Repetisi. Contohnya, Bunga melati bunga di darat.
    5. Asonansi. Contohnya, Hina manusia tidak berbudi (perulangan vokal i ).
    6. Aliterasi. Contohnya, Bunga melati bunga di darat (perulangan konsonan d ).
    7. Rima akhirnya sama, iaitu abab.
NILAI PANTUN BUDI
    1. Budi bahasa.
    2. Mengenang jasa.
    3. Kebijaksanaan.
PENGAJARAN PANTUN BUDI
    1. Kita mestilah berbudi bahasa agar diri dipandang mulia.
    2. Kita hendaklah mengenang jasa orang yang telah berbudi kepada kita.
    3. Kita perlulah mengutamakan budi bahasa daripada kekayaan.

 Kredit: Sasbadi

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!