20 Peribahasa Tema Masyarakat & Negara Berserta Maksud Dan Contoh Ayat Dalam Karangan

Cikgu Muzz
By -
2

 


Dalam menjawab soalan karangan tidak kira pada peringkat PT3 atau SPM, soalan karangan bertemakan kenegaraan, patriotisme, semangat cinta akan negara dan perpaduan sering kali diuji. Karangan yang baik perlu disertakan dengan peribahasa, ungkapan, bidalan atau perumpamaan bagi melengkapkan penulisan dengan penggunaan bahasa indah. Justeru, dalam perkongsian kali ini, sebanyak 20 peribahasa akan dikongsikan yang boleh digunakan dan disesuaikan mengikut konteks serta situasi untuk penulisan karangan bertemakan bertemakan kenegaraan, patriotisme, semangat cinta akan negara dan perpaduan.

PERIBAHASA

MAKSUD

CONTOH AYAT

 

Bagai aur dengan tebing

Kerjasama yang erat antara dua belah pihak

Sehubungan itu, masyarakat hendaklah mengamalkan prinsip bagai aur dengan tebing agar aura muhibah yang sedia terjalin dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini terus lestari.

 

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

Mengikut aturan yang diamalkan di sesuatu tempat

Dalam usaha memastikan semangat kejiranan terus subur, masyarakat hendaklah berpaksikan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung kerana Malaysia merupakan sebuah negara timur yang begitu mementingkan kehidupa bermasyarakat sesama individu.

 

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Berkongsi sama-sama

Dalam menghadapi pandemik Covid dan ketidaktentuan ekonomi, rakyat Malaysia harus berkongsi kehidupan dalam pelbagai aspek khususnya ekonomi dengan berpegang kepada prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

 

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

Kata sepakat dalam kehidupan bermasyarakat

Selari ungkapan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, rakyat Malaysia haruslah seia dan sekata dalam menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara demi memastikan kedaulatan tanah air tercinta ini terus terpelihara.

 

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi

Sama taraf atau setanding

Masyarakat di bandar mahupun kampung perlulah berusaha untuk memajukan diri dari aspek ekonomi agar mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dalam sama-sama memajukan negara.

 

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah

Pembahagian yang adil

Pebagai nikmat dan kemudahan yang dikecapi di Malaysia hendaklah dikongsi sama rata oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, status sosial dan pedidikan bak kata pepatah hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

 

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Jika berhasrat sesuatu pasti ada jalan untuk mendapatkannya

Tidak ada istilah mustahil dalam terus memastikan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia dipelihara kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

 

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai

Jika takut mengambil risiko jangan berbuat sesuatu

Dalam usaha memajukan negara bidang perniagaan adalah suatu bidang yang perlu berani diceburi oleh masyarakat. Walau bagaimanapun, pendirian dan keazaman dalam menceburi bidang periagaan ini perlu kental kerana bak kata orang kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

 

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua

Bersatu hati

Hubungan erat antara kaum di negara ini harus dijaga sebaik mungkin kerana perpaduan merupakan teras kesejahteraan negara. Oleh itu sebarang anasir yang memecahbelahkan perpaduan antara kaum perlu dielakkan sebaliknya peribahasa ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan.

 

Sama lebur, sama binasa

Hadapi susah payah bersama-sama

Dalam mengharungi kegawatan ekonomi rentetan pandemik Covid-19, rakyat Malaysia haruslah seia sekata menghadapi susah senang bersama-sama dan menempuh masa-masa sukar dengan tabah bak kata pepatah sama lebur, sama binasa.

Bersatu teguh, bercerai roboh

Semangat penyatuan dalam kalangan masyarakat

Rakyat Malaysia hendaklah bersatu padu dalam memastikan keamanan dan kestabilan sosial tanah air terus terjamin persis kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

 

sakit sama mengadu, luka sama menyiuk

Sama-sama bertanggungjawab

Usaha memastikan kesejahteraan negara Malaysia bukan bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata sebaliknya semua rakyat perlu berganding bahu bak sakit sama mengadu, luka sama menyiuk.

 

Bagai isi dengan kuku

Persahabatan yang erat

Hubungan antara masyarakat khususnya daripada kaum yang berlainan perlu dipipuk erat bagai isi dengan kuku agar keharmonian hidup bermasyarakat dapat terus dipelihara.

 

Serumpun bak serai, sesusun bak sireh

Amalan hidup saling muafakat

Dalam memastikan kerukunan hidup berjiran, semua orang perlu mengamalkan prinsip kehidupan serumpun bak serai, sesusun bak sireh agar kehidupan yang dijalani harmoni dan sejahtera.

 

Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni

Perhubungan yang akrab dalam apa-apa jua situasi

Masyarakat Malaysia tidak kira warna kulit perlu berpegang kepada prinsip ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam mengharungi pancaroba kehidupan terutamanya ketika kegawatan ekonomi.

 

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya

Sesuatu yang dihasratkan tidak akan tercapai jika tiada usaha

Sebagai usaha memajukan negara, rakyat Malaysia terlebih dahulu perlu hidup muafakat dan memastikan kestabilan sosial tanah air kerana pepatah ada menyebut kalau tidak dipecakan ruyung, manakan dapat sagunya.

 

Biduk lalu kiambang bertaut

Orang yang bertelingkah kemudian berbaik semula

Meskipun ada perbezaan pendapat dan kadang-kadang bertikam lidah dalam kehidupan seharian, masyarakat perlulah bersikap seperti biduk lalu kiambang bertaut dengan tidak memanjangkan persengketaan untuk tempoh waktu yang lama.

 

Bersekutu bertambah mutu

Perpaduan menjamin kesejahteraan hidup

Prinsip bersekutu bertambah mutu harus dipegang oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia agar kehidupan penuh harmoni dapat dikecami dari zaman ke zaman.

Menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak

Melakukan sesuatu perkara dengan berhati-hati

Pemimpin negara perlu menyelesaikan isu-isu melibatkan perkauman dengan berhemah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak.

Asal ditugal ada benihnya

Sesuatu usaha pasti ada hasilnya

Para pemimpin di Malaysia perlu mengamalkan politik matang dan sentiasa bermuafakat agar dapat  memastikan kestabilan politik tanah air terpelihara kerana pepatah ada menyebut asal ditugal ada benihnya.

 

Tags:

Post a Comment

2Comments

Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!