[Nota Komsas] Analisis Pantun Kiasan; Antologi Baik Budi Indah Bahasa

Cikgu Muzz
By -
0

 


MAKSUD PANTUN KIASAN

Tikar pucuk tikar mengkuang,
 Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
 Buat perencah si daun kayu.

 

Perbuatan membazir adalah suatu amalan yang merugikan.

Buah bacang masak serangkai,
 Burung dekut meniti batang;
Saya dagang tidak terpakai,
Macam melukut di tepi gantang.

 

Orang yang merantau selalunya akan merendah diri apabila berada di tempat orang.

Tebang gelam tebang kenanga,
Batangnya tumbang menimpa gedung; Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.

Sebelum menginginkan sesuatu yang dianggap mustahil, ketahuilah tahap kemampuan dan kebolehan diri kita lebih dahulu.

 

Pokok terap tumbuh di bukit,
Belat berbanjar panjang ke hulu;
Jangan diharap guruh di langit,
Kilat memancar hujan tak lalu.

 

Mengharapkan sesuatu yang belum pasti.

Limau Bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Kononlah pulak cicak mengkarung.

 

Sikap seseorang yang sombong dengan kebolehan diri serta memandang rendah lernadap orang lain.

Air surut memungut bayam,
 Sayur diisi ke dalam kantung;
Jangan diikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.

 

Jangan suka membesar-besarkan kejayaan yang tidak seberapa.

Anak punai anak merbah,
Hinggap di tonggak mencari sarang;
Anak sungai lagi berubah,
Inikan pula hatinya orang.

 

Pendirian manusia sering berubah-ubah.

Rotan siput rotan berlingkar,
Anak itik patah kakinya;
Hujan ribut gunung terbakar,
Embun setitik padam apinya.

 

Perasaan marah akan segera hilang dengan adanya nilai kesabaran dalam diri.

Raut bilah pembatang taut,
Kail berada dalam raga;
Tidak sudah seluang melaut,
Akhirnya balik ke tepi juga.

 

Orang yang merantau akhirnya akan kembali ke tempat asalnya semula.

Sangkut terendak dekat beranda,
Orang Papua anyam tak sudah;
Jika tidak ada berita,
Masakan tempua bersarang rendah.

 

Setiap perkara yang berlaku dan diperkatakan orang tentu ada sebabnya.

Bunga geti bergulai temenung,
Di hari raya memakan tapai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.

 

Menginginkan sesuatu yang besar tetapi tidak mempunyai keupayaan.

Suasa bertahil emas berbungkal,
Tetapi intan tiada sesaga;
Kalau kail panjang sejengkal,
Usah lautan hendak diduga.

 

Jika pengetahuan sedikit, janganlah hendak melawan orang yang lebih banyak pengetahuannya.

Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.

 

Sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh.

Hari hujan puyuh mendengut,
Mendengut marl sepanjang jalan;
Air dalam kapar tak hanyut,
Kononlah pula kemarau panjang.

 

Jika semasa masih muda sudah malas, apatah lagi setelah usia tua; sedangkan semasa makmur tidak senang, apatah lagi semasa susah.

Berilah saya pisau raut,
Hendak meraut bingkai tudung;
Gila apakah ikan di laut,
Mengidamkan umpan di kaki gunung.

 

Seseorang yang inginkan sesuatu di luar kemampuannya.

Laksana gadis Menteri Bogor,
Bijak membilang ayam betina;
Nyawa menangis di pintu kubur,
Hendak pulang ke dalam dunia.

 

Orang yang melakukan dosa tetapi sudah terlambat untuk bertaubat.

Hilir berderap mudik berderap,
Patah galah haluan perahu;
Sungguh laksana bunga dedap,
Cantik merah tidak berbau.

 

Seseorang yang mempunyai rupa paras yang elok tetapi tidak berbudi bahasa.


TEMA PANTUN KIASAN
Sindiran terhadap segelintir anggota masyarakat yang mengamalkan sikap negatif sehingga menjejaskan kehidupan sendiri dan orang lain.
 
PERSOALAN PANTUN KIASAN
    1. Sikap membazir sangat tidak digalakkan dalam kalangan masyarakat.
    2. Sikap rendah diri dalam kalangan perantau apabila berada di tempat orang.
    3. Kesabaran dan kemaafan yang akan dapat melenyapkan kemarahan.
BENTUK PANTUN KIASAN
    1. Terdiri daripada tujuh belas rangkap.
    2. Berisi empat baris setiap rangkap.
    3. Ada pembayang dan maksudnya.
    4. Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.
    5. Terdiri daripada lapan hingga sebelas suku kata sebaris.
    6. Bentuknya terikat.
GAYA BAHASA PANTUN KIASAN
    1. Imej alam. Contohnya, ikan; buah bacang; burung dekut; gelam; kenanga; kumbang; bunga; gunung; pokok terap; bukit; guruh; langit; kilat; hujan; bayam; sayur; sungai.
    2. Peribahasa. Contohnya, jangan diikut resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung; masakan tempua bersarang rendah; kalau kail panjang sejengkal, usah lautan hendak diduga;
    3. Repetisi. Contohnya, Tikar pucuk tikar mengkuang.
    4. Simile. Contohnya, Macam melukut di tepi gantang; Laksana gadis Menteri Bogor; Sungguh laksana bunga dedap.
    5. Personifikasi. Contohnya, nyawa menangis di pintu kubur.
    6. Asonansi. Contohnya, Sangkut terendak dekat beranda (perulangan vokal e)
    7. Aliterasi. Contohnya, Hajat hati nak peluk gunung (perulangan konsonan h).
    8. Rima akhirnya sama, iaitu abab. 
NILAI PANTUN KIASAN
    1. Jimat cermat. 
    2. Kesabaran.
    3. Kerajinan.
    4. Keberanian. 
    5. Keinsafan.
PENGAJARAN PANTUN KIASAN
    1. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan pembaziran.
    2. Kita perlulah merendah diri apabila berada di tempat orang.
    3. Kita janganlah terlalu mengharapkan perkara yang belum pasti menjadi milik kita.
    4. Kita mestilah banyak bersabar untuk melenyapkan kemarahan dalam diri.
 Kredit: Sasbadi

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!