Baca petikan bahasa Melayu Klasik di bawah dengan teliti. Kemudian, tulis semula petikan tersebut dalam bahasa Melayu standard tanpa mengubah bentuk dan maksud asalnya.
Setelah hari pun siang maka orang kaya-kaya itu pun datang menghadap raja mengadukan halnya kecurian semalam itu. Maka baginda pun hairan serta bertitah pada Temenggung, "Hai Temenggung, tiadakah menyuruhkan orangnya berkawal tadi?"
Setelah siang, orang-orang kaya itu pun datang menghadap raja untuk mengadu berkaitan kecurian malam tadi. Baginda berasa hairan lalu bertitah kepada Temenggung, “ Wahai Temenggung, tidakkah tuan hamba menyuruh orang berkawal tadi?”
Dan telah sudah lepas idah, maka Seri Nara Diraja pun bernikah dengan Tun Kudu. Maka menjadi muafakatlah Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, menjadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi. Maka sembah Seri Nara Diraja pada Sultan Muzaffar Syah, “Tuanku, baiklah Paduka Raja dijadikan bendahara, kerana ia sedia anak bendahara.”
Setelah habis tempoh idah, Seri Nara Diraja bernikah dengan Tun Kudu. Seri Nara Diraja dan Paduka Raja bermuafakat dan bertambah erat seperti saudara sendiri. Seri Nara Diraja menyembah Sultan Muzaffar Syah, “Tuanku, lebih baik jadikan Paduka Raja sebagai bendahara kerana dia merupakan anak bendahara.”
Setelah empat puluh dua tahun lamanya Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda yang bernama Raja Abdullah itulah menggantikan kerajaan ayahanda baginda, gelar baginda di atas kerajaan, Sultan Mansur Syah, umur baginda tatkala naik raja itu dua puluh tujuh tahun. Dan baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja yang bernama Tun Patih Nur Pualam.
Setelah empat puluh dua tahun Sultan Muzaffar Syah memerintah kerajaan, baginda mangkat. Anakanda baginda iaitu Raja Abdullah, telah naik takhta untuk menggantikan pemerintahan ayahanda baginda dengan gelaran Sultan Mansur Syah. Umur baginda ketika mula memerintah ialah dua puluh tujuh tahun. Baginda telah berkahwin dengan anak kepada Seri Nara Diraja yang bernama Tun Patih Nur Pualam.
Hatta, maka baginda fikir berbicara hendak memuafakatkan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja. Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Nara Diraja; maka dia pun hadirlah. Maka titah Sultan Muzaffar Syah, "Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?"
Baginda fikir untuk mendamaikan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja. Baginda menyuruh memanggil Seri Nara Diraja. Dia hadir. Sultan Muzaffar Syah bertitah, "Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?"
Maka oleh Kertala Sari segala hulubalang yang menghadap sama-sama itu dilihatnya seorang kepada seorang. Maka Kertala Sari pun pandang pada Laksamana; maka ia fikir dalam hatinya, "Dialah gerangan hulubalang Melaka yang bernama Laksamana itu. Jikalau demikian lakunya, sungguhlah ia dapat membunuh bapaku, kerana ia penjurit besar lagi kepetangan."
Lalu Kertala Sari melihat semua hulubalang yang datang menemui sultan seorang demi seorang. Lalu Kertala Sari memandang Laksamana; lalu dia berfikir dalam hatinya, "Dialah rupanya hulubalang Melaka yang bernama Laksamana itu. Jika begini perbuatannya, benarlah dia dapat membunuh bapa saya, kerana dia pahlawan hebat dan bijak."
Maka Kertala Sari pun masuk mencuri pula sebuah rumah saudagar yang lain. Setelah sudah banyaklah ia beroleh harta, maka ia pun kembalilah pada tempatnya pula. Dengan demikian habislah segala harta saudagar yang kaya-kaya itu dicurinya. Maka segala saudagar dan orang kaya-kaya itu pun masuk menghadap raja berdatang sembah. "Ya, tuanku, patik mohonkan ampun, adapun patik sekelian ini habis kecurian tinggal sehelai sepinggang."
Kertala Sari telah masuk mencuri di rumah saudagar yang lain. Setelah mendapat banyak harta dia telah kembali semula ke tempatnya. Semua harta saudagar yang kaya raya habis dicuri oleh Kertala Sari. Setelah itu saudagar dan orang kaya telah pergi menghadap raja dan menyembah “Ya, tuanku, patik mohon ampun, patik semua kecurian dan hanya tinggal sehelai sepinggang”.
Syahadan, pada suatu hari, maka Tun Perak datang menghadap duduk di tanah sama-sama orang banyak. Maka kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, "Tuan Tun Perak, segala orang Kelang ini menghadap baginda mengadu halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan. Adapun orang teluk rantau yang lain semuanya menghadap laki-laki juga; Adapun orang Kelang ini menghadap dibawa Tun Perak membawa perempuan sekali. Mengapakah maka demikian fiil tuan?"
Pada suatu hari, Tun Perak datang menghadap, dia duduk di tanah bersama-sama orang ramai. Kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, “Tuan Tun Perak, semua orang Kelang ini menghadap baginda untuk mengadu masalah mereka ke bawah Duli Yang Dipertuan. Orang teluk rantau lain yang menghadap semuanya laki-laki sahaja; tetapi orang Kelang ini dibawa menghadap oleh Tun Perak bersama-sama perempuan sekali. Mengapakah sikap tuan demikian?
Syahadan, maka kedengaran di Melaka bahawa Cau Pandan sudah mati, sakitnya muntahkan darah, dadanya seperti kena panah. Telah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, maka titah baginda, “Sungguhlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah keramat.”
Terdapat berita dari Melaka bahawa/yang Cau Pandan sudah meninggal dunia, sakit sehingga memuntahkan darah, dadanya seperti terkena panah. Setelah Sultan Muzaffar Syah mendengar berita itu, baginda bertitah, “ Sememangnya Tuan Sidi Arab ini hamba Allah yang sakti”
Maka tatkala itu Tuan Sidi Arab itu pun ada menghadap Sultan Muzaffar Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, "Mati engkau, Cau Pandan."
Pada ketika itu Tuan Sidi Arab bertemu Sultan Muzaffar Syah. Setelah Tuan Sid Arab mendengar berita Cau Pandan akan menyerang Melaka, lalu beliau berdiri di hadapa baginda. Panahnya dihalakan ke benua Siam. Tuan Sidi Arab berkata, sambil menari panahnya, "Matilah engkau, Cau Pandan".
Maka Patih Gajah Mada pun fikir dalam hatinya. ‘Adapun negeri Melaka itu sukar binasa maka puas hatiku. Adapun seperti khabar penjurit tujuh bersaudara yang di Bukit Cina itu, jika tiada ia mati, nescaya alahlah Melaka itu.
Kemudian Patih Gajah Mada berfikir dalam hatinya. 'Sekiranya negeri Melaka yang sukar dikalahkan itu binasa, barulah puas hatiku. Jika penjurit tujuh bersaudara yang berada di Bukit Cina itu tidak meninggal dunia, sudah pasti negeri Melaka akan dapat dikalahkan.
Berapa lamanya hatta hari pun malamlah. Maka Kertala Sari pun bersikap dirinya; maka lalu berjalan masuk ke dalam kota. Maka ia masuk ke rumah seorang saudagar yang kaya. Maka dilihat oleh Kertala Sari saudagar itu lagi makan nasi laki isteri. Maka Kertala Sari pun masuk makan bersama-sama dengan saudagar itu. Hatta setelah jauh malam, maka saudagar itu pun masuk tidur
Tidak lama selepas itu, waktu malam pun tiba. Kertala Sari menyiapkan dirinya kemudian dia berjalan masuk ke dalam kota. Dia masuk ke dalam rumah seorang saudagar yang kaya. Kertala Sari melihat saudagar itu sedang makan bersama-sama dengan isterinya. Kertala sari pun masuk ke dalam rumah dan makan bersama-sama saudagar itu. Apabila sudah larut malam, saudagar itu pun masuk tidur.

