|
Pelbagai pihak memainkan peranan dalam meningkatkan mutu sukan negara. |
Faiq: Sebelum
bibir mengorak bicara, sebelum kata dimampankan bukti, pihak media massa
haruslah memberikan kerjasama dalam meningkatkan mutu sukan negara dengan
menyiarkan keunggulan atlet Malaysia dalam kejohanan Olimpik. Hal ini dikatakan
demikian kerana media massa merupakan agen pemasyarakatan yang amat berpengaruh
untuk membentuk masyarakat yang berminda menginginkan kemenangan. Misalnya,
melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tiktok yang digunakan oleh
ramai kerana membekalkan hiburan dan memberikan informasi terkini dari masa ke
semasa. tambahan pula, para pengguna media sosial hendaklah berkongsi maklumat
serta video-video yang bertemakan sukan negara. Cara ini sangat berkesan dan
mampu mempengaruhi pengguna media massa di Bumi Malaysia. ibarat layar telah
terbuka, sauh telah diangkat bahawa masyarakat perlulah menggunakan media
sosial untuk meningkatkan mutu sukan negara kerana hendak seribu daya, tak hendak
seribu dalil dan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Tambahan: Media
massa juga boleh memainkan peranan dengan penerbitan rancangan berfokuskan
idola sukan. Menerusi siaran sebegini, pengalaman individu yang terlibat secara
langsung boleh ditayangkan kepada khalayak umum. Sebagai contoh, bintang
legenda dalam sukan skuasy tanah air iaitu Datuk Nicol Ann David boleh diundang
dalam dokumentari khas yang menceritakan hikayat diri beliau sepanjang
berkecimpung dalam sukan skuasy. Pada masa yang sama, beliau juga boleh memberikan
dorongan dan laluan untuk menjadi seorang pemain skuasy profesional yang
berjaya seperti beliau. Di samping itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
(FINAS) di bawah Kementerian Komunikasi seharusnya mengambil pendekatan dengan
memperuntukkan modal bagi pembikinan filem tentang bintang sukan tanah air. Umpamanya,
jerih perih Datuk Lee Chong Wei sebagai bintang sukan badminton boleh
dipotretkan dalam sebuah filem yang berupaya untuk menyuntik semangat generasi
muda untuk turut mencabar diri menjadi bintang sukan tanah air.
Aqilah: Tak
tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, pihak sekolah merupakan salah
satu pihak yang memainkan peranan yang
penting dalam usaha untuk meningkatkan mutu sukan negara. Salah satu cara untuk
meningkatkan mutu sukan negara ialah dengan menggalakkan penyertaan pelajar
sekolah dalam aktiviti sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana sekolah merupakan
sebuah kilang yang melahirkan atlet
negara. Bak kata pepatah meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Pada pendapat
saya, sekolah merupakan salah satu tempat yang menyediakan pelajar untuk didedahkan
dengan pelbagai jenis sukan. Bak kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta. Bukan
itu sahaja, sekolah juga menjadi tempat bakat pelajar dicungkil. Sebagai contoh
pihak sekolah boleh menganjurkan hari sukan tahunan untuk menarik minat pelajar
ke arah sukan. Contoh yang lain pula
ialah melakukan pelbagai jenis aktiviti sukan bagi mendedahkan pelajar
dengan acara - acara sukan. Bukan sahaja
bakat dapat dicungkil malah mereka juga akan memperoleh taktik untuk acara
sukan tersebut. Sekolah ini bukan sahaja menimba ilmu pengetahuan semata - mata
malah dapat menjadi tempat untuk mendalami ilmu sukan. Bulan kian terang bayan
kian jelas bahawa pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk
meningkatkan mutu sukan negara.
Tambahan:
institusi sekolah juga perlu melibatkan pihak ibu bapa dalam usaha untuk
menggalakkan penglibatan anak-anak pelajar dalam bidang sukan. Bagi merealisasikan
hasrat ini, pihak sekolah boleh mengadakan aktiviti sukan melibatkan murid, ibu
bapa dan guru di sekolah. Bagi bidang sukan yang serius yang melibatkan
penyertaan pelajar pada peringkat yang penting seperti peringkat negeri dan
kebangsaan; sudah pastinya memerlukan latihan yang berterus, justeru pihak
sekolah hendaklah memaklumkan kepada ibu bapa serta waris dan kaunselor boleh
membantu murid tersebut untuk membina jadual sehari-harian yang lebih
komprehensif agar akademik dan sukan dapat diselarikan. Hal ini dirasakan perlu
kerana sesetengah ibu bapa kurang menyokong penglibatan anak-anak dalam bidang
sukan kerana risau pelajaran akan terabai.
Yean Hong: Bukannya
bersuluhkan batang pisang, bersuluhkan bulan matahari bahawa salah satu minhaj
yang boleh dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan negara ialah ibu bapa
memainkan peranan penting dengan sentiasa membawa anak bersukan bersama sama. Hal
ini dikatakan demikian kerana anak anak diibaratkan kain putih, ibu bapa yang
bertanggungjawab mencorakkannya. Sebagai uswahnya, ibu bapa sentiasa membawa
anak anak ke melatih bersama sama pada saban hari dan memberikan insentif
supaya anak anak senantiasa bermotivasi tinggi dan tidak mudah putus asa dalam
latihan bersukan. Secara tidak langsung, hubungan silaturahim antara ahli
keluarga semakin merapat. Bukan itu sahaja, ibu bapa boleh menghantar anak anak
ke kelas profesional melatih seperti dalam acara olah raga, badminton, sepak
takraw dan seumpamanya. Hal ini penting kerana anak anak akan melatih dengan
cara yang betul dan lebih efektif. Umpama memasang pelita tengah hari bahawa
ibu bapa haruslah membawa anak anak bersukan bersama sama untuk meningkatkan
mutu sukan negara kerana alah bisa tegal biasa.
Tambahan:
Sokongan daripada ibu bapa merupakan azimat yang menjadi kekuatan dalam hala
tuju kehidupan anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa tidak seharusnya
memandang sebelah mata akan minat anak-anak dalam bidang sukan. Bisikan hati
bahawa bidang sukan tidak menjanjikan masa hadapan yang cerah seharusnya
dicantas buang. Ibu bapa perlulah bijak memantau penglibatan anak-anak dalam
bidang sukan agar akademik juga tidak terabai bak kata pepatah sambil menyelam
minum air. Sekiranya bakat dalam diri anak-anak agak menonjol dalam bidang
sukan, maka sekolah sukan sudah sedia diwujudkan oleh kementerian agar ibu bapa
boleh membuat permohonan kemasukan ke sekolah itu untuk anak-anak mereka. Oleh
itu, jelaslah bahawa sokongan padu ibu bapa juga menjadi batu loncatan dalam
memacu mutu sukan negara.
Akil: Pada
pendapat saya , peranan pihak kerajaan dalam meningkatkan mutu sukan negara
ialah dengan cara membuat satu kempen tentang sukan negara. Hal ini dikatakan
demikian kerana pihak kerajaan adalah pihak yang paling efektif untuk melakukan
kempen secara besar - besaran untuk
masyarakat. Sebagai contoh pihak kerajaan boleh memanggil atlet sukan negara
untuk memberi ucapan tentang sukan negara kepada seluruh masyarakat yang hadir
pada hari tersebut. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh membuat acara sukan
yang disertai oleh masyarakat . Kesannya, masyarakat akan lebih berpengetahuan
tentang sukan negara dan dapat mengaplikasikan di dalam kehidupan seharian
mereka. Sudah terang lagi bersuluh bahawa membuat kempen sukan negara adalah
salah satu cara yang efektif untuk meningkatkan mutu sukan negara.
Tambahan: Apabila
menyebut tentang mutu sukan tanah air, maka pastinya peranan kerajaan di bawah
Kementerian Belia dan Sukan tidak boleh dipandang enteng. Kementerian ini
bertanggungjawab dalam pelbagai aspek penting termasuklah dari aspek fizikal
seperti kemudahan dan latihan sehinggalah kepada aspek mental dan emosi para
atlet. Dalam soal kemudahan, kerajaan hendaklah menyediakan kemudahan latihan
kelas pertama setanding dengan negara maju lain. Tambahan pula, jurulatih yang
profesional dan berkaliber perlu dicari untuk melatih atlet-atlet tanah
air. Dalam soal emosi seperti motivasi
para atlet, ganjaran yang sepatutnya perlu disediakan kepada para atlet. Misalnya,
ganjaran khas disediakan kepada para atlet yang berjaya membawa pulang pingat
emas dalam temasya sukan Olimpik. Oleh itu, jelaslah kerajaan memainkan peranan
yang sangat penting dalam meningkatkan mutu dan kualiti sukan tanah.
ULASAN:
Apabila memperoleh tajuk perbincangan seperti soalan di atas, seharusnya murid perlu berfikir dengan agak mendalam ketika di dalam bilik kuarantin. Soalan di atas menginginkan usaha untuk memajukan mutu sukan negara. Soalan ini sebenarnya soalan fakta yang memerlukan pemikiran kritikal daripada calon. Murid mesti memahami dan menghadam apa-apa yang berkaitan dengan bidang sukan dan perlu tahu cara untuk meningkatkan mutu dan kualitinya. Meskipun sokongan daripada ibu bapa dan program yang dijalankan pada peringkat sekolah boleh menyokong usaha memajukan mutu sukan negara, namun perlu diingat bahawa isi-isi yang lebih kukuh dan utama perlu dikemukakan terlebih dahulu dalam perbincangan agar menjadi relevan dan bertepatan dengan kehendak tajuk.
Berikut cikgu
kongsikan beberapa isi yang lebih tepat untuk menyokong kehendak soalan di
atas, iaitu usaha-usaha untuk memajukan mutu sukan negara.
Walau bagaimanapun,
jangan terlebih risau ya. Baca soalan betul-betul di dalam bilik kuarantin. Bincang
bersama dengan rakan-rakan. Pastikan fokus soalan dengan tepat. Kemudian bahagikan
isi dan kembangkan isi untuk menghidupkan perbincangan. Jangan risau, cikgu
yakin anda pasti boleh!
Apabila memperoleh tajuk perbincangan seperti soalan di atas, seharusnya murid perlu berfikir dengan agak mendalam ketika di dalam bilik kuarantin. Soalan di atas menginginkan usaha untuk memajukan mutu sukan negara. Soalan ini sebenarnya soalan fakta yang memerlukan pemikiran kritikal daripada calon. Murid mesti memahami dan menghadam apa-apa yang berkaitan dengan bidang sukan dan perlu tahu cara untuk meningkatkan mutu dan kualitinya. Meskipun sokongan daripada ibu bapa dan program yang dijalankan pada peringkat sekolah boleh menyokong usaha memajukan mutu sukan negara, namun perlu diingat bahawa isi-isi yang lebih kukuh dan utama perlu dikemukakan terlebih dahulu dalam perbincangan agar menjadi relevan dan bertepatan dengan kehendak tajuk.
- Memperkasakan infrastruktur sukan sedia ada
- Mengurangkan birokrasi dalam persatuan sukan
- Mendedahkan atlet dengan kejohanan antarabangsa
- Membawa masuk kepakaran jurulatih dari luar negara
- Menggunakan kecanggihan sains dan teknologi dalam pembangunan sukan
- Memantapkan tadbir urus sukan
- Memperkasakan program pembangunan atlet

