Ujian Bertutur Bahasa Melayu (UBBM) kembali lagi untuk edisi ke-6 tahun 2026. Inilah medan perjuangan 70 markah untuk calon SPM 2026. Peluang yang sama sekali tidak boleh dipersiakan. Meniti saat akhir menjelang beberapa jam sahaja lagi untuk hari pertama pentaksiran UBBM 2026, iaitu 26 Oktober 2026; ketenangan perlu menjadi kunci utama. Jangan terlalu banyak berfikir perkara negatif. Jangan pandang rendah akan kemampuan dan kebolehan diri sendiri. Tak perlu bandingkan diri sendiri dengan orang lain.
Cikgu kongsikan 6 tip sekiranya tiba-tiba menjadi buntu ketika sedang ditaksir dalam taksiran individu atau taksiran berkumpulan UBBM.
- Berhenti sejenak. Tarik nafas perlahan dan beri sendiri sedikit masa untuk berfikir dalam keadaan tenang.
- Fokus pada persoalan atau fokus utama dalam soalan. Gunakan kata tanya siapa, apa, mengapa, bagaimana, bila dan di mana, sebagai rangsangan untuk berfikir.
- Mulakan bertutur dengan idea yang mudah. Sekiranya sukar untuk huraikan isi, teruskan sahaja dengan contoh. Banyakkan contoh yang sesuai dan relevan.
- Kaitkan dengan kehidupan seharian. Ini merupakan kunci utama untuk mampu bertutur dengan tenang dan lancar. Cuba kaitkan soalan dengan kehidupan sebenar anda di sekolah atau di rumah.
- Jangan terikat dengan satu perkataan yang sukar. Anda boleh gunakan perkataan yang lebih selesa dan serasi dengan anda, asalkan mendukung maksud yang sama. Contohnya, jika soalan mengandungi perkataan faktor, dan anda lebih selesa bertutur menggunakan sebab, maka teruskan sahaja, kerana maksudnya serupa!
- Jika tersasul, jangan panik. Betulkan ayat dan teruskan berbicara. Kesilapan kecil dalam pertuturan adalah biasa. Ini ujian bertutur bukannya ujian baca berita!

