Resensi Novel Pak Su Ammara Karya Marissa

Cikgu Muzz
oleh -
0
 


Judul: Pak Su Ammara
Penerbit: Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd.
Penulis: Marissa
Tahun: November 2022
Bilangan Halaman: 357 muka surat
 
Ulasan:
Novel ini kalau nak ditafsirkan secara ringkas, bayangan yang menjengah dalam minda seolah-olah kita sedang menonton drama Melayu di RTM TV1 dengan nuansa ala-ala 90-an. Nampak ke-Melayu-an itu agak tebal dengan sisi perwatakan watak-watak sampingan yang becok, sibuk hal orang, kaki rampas, kaki sondol, kaki curang. Dalam masa yang sama penulis juga menampilkan sisi kuat ibu tunggal berstatus janda yang bangkit untuk anak-anak.
 
Miza tidaklah dipotretkan sebagai wanita sempurna. Kerja biasa-biasa sebagai guru tadika. Gaya hidup, cukup makan. Tinggal pun menumpang atas ihsan orang. Tapi itulah realiti kehidupan marhaen. Wafi pula dihadirkan persis kebanyakan suami pada masa ini yang curang. Curang di tempat kerja. Curang dengan bekas kekasih. Curang dengan kawan lama. Wafi  curang dengan siapa? Jawapannya, Wardah. Siapa Wardah? Kenalah baca sendiri.
 
Antara watak yang menyakitkan hati, dan kalau boleh rasa nak dicilikan mulut ialah Hajah Rubiah. Kalau boleh nak saja sumbat cili padi dalam kepala otak makcik ni sekali. Aduhai... Hahaha. Kenapa menyampah dengan orang tua ni, sebab sayang anak tak bertempat. Agak-agaklah kalau sayang sekalipun, jangan jadi tunggul. Seorang lagi yang menyakitkan hati ialah si Mizi. Kalau ikutkan hati balasan yang dia dapat tak cukup, tapi nak harapkan dia cacat dan sebagainya, kasihan pula dekat anak-anak dia yang masih kecil. Sedangkan maknya sendiri dah maafkan, siapalah kita sebagai pembaca kan? Hahahaha...
 
Pak Su aka Firdaus. Sama seperti Miza, Pak Su pun tidaklah diberikan interpretasi kacak yang luar biasa. Penulis gambarkan biasa-biasa sahaja. Namun, karakter yang disampaikan menerusi Pak Su sebagai ayah saudara yang bertanggungjawab kepada Ammara itu yang luar biasa. Rasanya ramai yang tak mampu menjalankan tanggungjawab seperti Pak Su dengan ikhlas dan penuh kasih sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
 
Rumusannya, naskhah tulisan Marissa kali ini ialah momen biasa yang kita lihat dan dengar dalam kehidupan masyarakat pada hari ini. Malah, mungkin ada dalam kalangan kita yang mengalaminya sendiri.
 
Kesimpulan:
★★★


Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)