Baru-baru ini
anda telah menerima sepucuk surat daripada seorang rakan yang tinggal di luar
negara. Rakan anda itu ingin mengetahui tentang sambutan Hari Guru yang telah
diadakan di sekolah anda. Balas surat rakan anda tersebut dengan menceritakan
aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di sekolah anda. |
82, Lorong Pekaka 12,
Taman Pekaka Indah,
13700, Seberang Jaya,
Pulau Pinang, Malaysia.
30 Mei 2025.
Menemui sahabatku,
Laura Isabelle yang berada di bumi Sepanyol. Semoga saudari sihat sejahtera di
samping keluarga tercinta. Saya di sini baik-baik Sahaja. Saya baru sahaja
memenangi pertandingan deklamasi puisi sempena sambutan bulan bahasa yang
diadakan di sekolah saya. Bagaimanakah perkembangan saudari di sekolah? Saya doakan
agar saudari sentiasa diiringi kecemerlangan.
Saudari,
Dalam warkah yang lepas, saudari berminat untuk mengetahui tentang
sambutan Hari Guru yang diadakan di sekolah saya, justeru saya akan
menceritakan kemeriahan sambutan Hari Guru pada tahun ini di sekolah saya. Tarikh
rasmi sambutan Hari Guru di Malaysia adalah pada tanggal 16 Mei. Pada tahun
2025 ini, tanggal 16 Mei jatuh pada hari Jumaat. Oleh itu, warga sekolah saya,
iaitu Sekolah Menengah Sains Kepala Batas turut meraikan guru-guru pada tarikh
tersebut. Pada tahun ini tema sambutan Hari Guru sekolah saya ialah ‘Dunia
Khayalan’. Oleh itu, guru-guru sekolah saya segak berpakaian menepati tersebut.
Seawal jam 7.30 pagi, semua murid dan guru sudah berhimpun di dewan
sekolah. Kami memulakan perhimpunan dengan bacaan surah Yasin yang dipimpin
oleh barisan perwakilan murid sesi akademik 2025. Alunan suara Ilhamdi Anuar
yang merupakan pengerusi perwakilan murid sungguh merdu dan syahdu sehingga
menikam sanubari kami. Usai bacaan Yasin dan munajat serta doa, majlis
diteruskan dengan seleksi ucapan daripada pengetua, wakil guru, dan wakil
murid.
Seterusnya, hadirin yang mengisi dewan telah dihiburkan dengan
persembahan lakonan khas sempena sambutan Hari Guru. Lakonan ini dipentaskan
oleh murid-murid Tingkatan 3 dan 4. Pastinya inti pati lakonan adalah tentang
guru. Selesai lakonan, tayangan montaj dan multimedia pula mengisi ruang. Dalam
tayangan ini, gambar dan video guru-guru dalam pelbagai aktiviti menjadi
paparan utama. Bukan itu sahaja, terselit juga ucapan daripada bekas murid SMK
Sains Kepala Batas dari serata dunia yang sedang merantau menyambung pengajian.
Lebih kurang jam 9.30 pagi, barisan pentadbir dan guru tampil ke atas
pentas dan menyanyikan lagu keramat Kami Guru Malaysia. Kemudian pengetua dan
pentadbir memotong kek sambutan Hari Guru. Pada ketika ini pemimpin murid
daripada setiap unit tampil ke hadapan menyampaikan cenderahati kepada
guru-guru. Cenderahati ini dibeli daripada hasil kutipan duit daripada semua
murid yang diberikan secara sukarela. Penyampaian anugerah kepada guru paling
bergaya dan menepati tema telah disampaikan sejurusnya yang dimenangi oleh
Cikgu Salizaratul Arfa. Kemudian, barisan pentadbir dan guru-guru menikmati
jamuan di dewan makan manakala murid-murid menjamu selera di kantin sekolah. Jamuan
makan guru-guru dan murid-murid pada hari tersebut telah ditaja oleh Ahli Dewan
Undangan Negeri Kepala Batas, iaitu Dato Seri Reezal Merican bin Naina Merican.
Acara yang dinanti-nantikan akhirnya telah tiba. Sukaneka sempena
sambutan Hari Guru sentiasa menggamit keriuhan. Acara diadakan di padang
sekolah dan guru-guru telah bersedia dengan pakaian sukan mengikut rumah sukan
masing-masing. Guru-guru dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Sebanyak lima
permainan telah diadakan iaitu galah panjang, isi air di dalam botol, bawa bola
di dalam sudu, lari dalam guni dan cari gula-gula di dalam tepung. Acara sukaneka
tahun sangat meriah ditambah dengan sorakan dan sokongan daripada murid-murid
untuk guru kesayangan masing-masing.
Sebelum majlis berakhir, sekali lagi semua guru dan murid berhimpun di
dataran. Murid-murid berbaris mengikut tingkatan. Guru-guru pula berdiri di hadapan
dan kiri serta kanan dataran. Acara bersalaman antara murid dan guru ini
merupakan acara wajib di SMK Sains Kepala Batas. Di samping memohon keampunan
atas salah dan silap bersalam-salaman dengan guru-guru juga bertujuan untuk
memohon restu ilmu serta doa para guru. Pada pukul 12.00 tengah hari majlis
tamat dan semua murid pulang ke kediaman masing-masing apabila loceng berbunyi
menandakan sesi persekolahan tamat.
Sekadar ini sahaja coretan saya tentang sambutan Hari Guru yang diadakan
di sekolah saya pada tahun ini. Agak panjang juga catatannya, saya berharap
agar saudari tidak bosan membacanya. Semoga catatan saya ini dapat memberikan
gambaran yang jelas kepada saudari tentang situasi dan suasana sambutan Hari
Guru di sekolah saya yang amnya lebih kurang sama juga dengan sekolah-sekolah
lain di Malaysia. Sampai kita bertemu lagi pada lembaran yang lain. Salam rindu
dari kejauhan.
KesumaDewi