Ringkasan
merupakan salah satu jenis soalan yang boleh diuji dalam Bahagian C, Kertas 1,
Bahasa Melayu pada peringkat menengah rendah, sama ada dalam Ujian Pertengahan
Sesi Akademik (UPSA) atau Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Fokus ringkasan
akan sedia dinyatakan pada arahan soalan. Oleh itu, ringkasan adalah jauh lebih
mudah berbanding rumusan.
Murid perlu
mengenal pasti sekurang-kurangnya 5 isi dalam petikan kefahaman. Berikut
merupakan panduan untuk mencari isi dengan tepat:
- Ayat pertama
dalam perenggan kedua dan seterusnya selalunya mengandungi isi.
- Analisis penanda
wacana kerana sering kali terdapat isi selepas penanda wacana.
- Jangan ambil isi
dalam ayat yang bermula dengan perkataan seperti ‘hal ini dikatakan demikian
kerana’, ‘hal ini demikian kerana’, ‘hal ini disebabkan oleh’, ‘hal ini akan
menyebabkan’ dan setara kerana ayat sebegini merupakan huraian kepada isi dalam
ayat sebelumnya.
- Boleh juga
analisis perkataan yang dikategorikan sebagai kata kerja transitif iaitu
perkataan yang menerima imbuhan meN- (me-, mem-, men-, meng-, menge-, meny-)
Apabila kesemua 5
isi telah dikenal pasti, tuliskan jawapan dalam sebuah perenggan sahaja. Mulakan
ayat pertama dengan mengambil fokus soalan dalam arahan soalan. Kemudian gabungkan
semua isi dengan menggunakan penanda wacana.
LATIHAN RINGKASAN
Baca petikan di bawah dengan teliti.
Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan bahasa Melayu di Malaysia. Panjang ringkasan anda hendaklah antara 80 hingga 100 patah
perkataan. Anda digalakkan
supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
“Bahasa Jiwa Bangsa”, itulah frasa
yang paling sesuai untuk melambangkan kaitan sesuatu bahasa kepada kaum-kaum di
Malaysia. Pelbagai langkah telah diambil dalam usaha menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan bagi melahirkan sebuah rumpun bernama Malaysia. Hal
ini dianggap penting kerana negara kita mempunyai masyarakat majmuk. Bahasa
merupakan antara penanda jati diri penting bagi sesuatu bangsa dan negara. Jati
diri bahasa dari sudut nasional dapat diwujudkan dan dipamerkan melalui
pelbagai cara. Satu daripadanya adalah dengan menjadikan sesuatu bahasa sebagai
lambang dan simbol negara. Hal ini dapat dilakukan dengan menjadikan bahasa
berkenaan sama ada sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi.
Bahasa Melayu merupakan bahasa utama
bagi negara Malaysia. Bahasa Melayu merupakan simbol perpaduan dan penyatuan
dalam kalangan rakyat negara ini yang berasal daripada pelbagai bangsa. Bahasa
Melayu juga berfungsi sebagai wahana iaitu bahasa milik bersama yang digunakan
untuk tujuan komunikasi dalam kalangan rakyat negara ini. Selain itu, bahasa
Melayu merupakan satu-satunya bahasa yang dapat memberikan citra kepada
Malaysia sebagai satu unit atau entiti politik dan budaya Melayu.
Kedudukan bahasa Melayu di Malaysia
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan
1963/1967. Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan pula
termaktub dalam beberapa akta pelajaran, antaranya Akta Pelajaran 1961 dan Akta
Pendidikan 1995. Walaupun bahasa Melayu menduduki hierarki tertinggi bahasa di
Malaysia, namun bahasa-bahasa lain masih diberikan tempat. Bahasa Mandarin dan
bahasa Tamil dibenarkan untuk digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah
pada peringkat pendidikan rendah manakala bahasa Inggeris merupakan subjek
penting dan wajib pada semua peringkat pendidikan. Kini bahasa Melayu berfungsi
sebagai bahasa ilmu setara dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
utama di institusi pengajian tinggi awam atau swasta di negara Malaysia.
( Dipetik dan
diubahsuaikan daripada
rencana dalam
Pelita Bahasa, Februari 2015 )
RANGKA JAWAPAN
Terdapat beberapa
kepentingan bahasa Melayu di Malaysia seperti
_____________. Selain itu,
_______________. Seterusnya,
____________________________________. Di samping itu,
__________________. Akhir sekali,
____________________________.