KARANGAN KEPERIHALAN / GAMBARAN /
CEREKA / CERITA PENGALAMAN BERCUTI DI KAMPUNG Musim cuti sekolah yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Selepas berhempas
pulas mengulang kaji pelajaran untuk menduduki Ujian Akhir Sesi Akademik
(UASA), akhirnya aku dapat melepaskan lelah dengan bercuti di kampung halaman.
Pada Ahad lalu, aku bersama-sama ibu bapaku telah pulang ke kampung halaman
datuk dan nenek di Kangar, Perlis. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua
jam dari Ipoh, Perak. Ayahku memandu kereta dengan penuh berhemah. Sempat juga
kami berhenti di hentian rehat dan rawat untuk membeli sedikit buah tangan untuk
sepupuku yang tiba lebih awal di kampung. Sekitar jam 4.00 petang, kami tiba
di perkarangan rumah datuk dan nenek. Rumah kampung bersaiz sederhana dengan
kawasan sekitar yang lapang dihiasi pelbagai pohon itu begitu mendamaikan
pandanganku. Aku pantas memeluk datuk dan nenek yang setia menanti. Akhirnya,
rinduku yang membukit kepada kedua-dua insan kesayanganku terubat. Aku sebenarnya
membesar dalam jagaan datuk dan nenek sehingga berusia 8 tahun. Oleh itu, aku
sentiasa berasa hubunganku dengan datuk dan nenek agak mesra. Malam pertama di kampung, kami makan
malam bersama-sama. Lauk-pauk yang dimasak oleh nenek dengan dibantu oleh ibu
serta makcik semerbak baunya mengisi ruangan dapur. Aku yang jarang-jarang
makan masakan kampung makan bertambah dua pinggan. Ayah hanya menggeleng
melihat telatahku. Sesudah makan aku dan sepupu berkumpul di beranda. Masa yang
dinantikan tiba. Datuk yang sudah sedia duduk di kerusi mula membuka kisah lama
ketika berkhidmat sebagai tentera. Aku dan sepupu-sepupu yang lain asyik
mendengar riwayat hidup datuk sehingga kantuk membelai mata. Esoknya, aku bangun awal. Aku
membonceng motosikal dengan ayah ke surau. Datuk telah ke surau lebih awal
lagi. Pulang dari solat Subuh, aku mengikut datuk ke warung untuk membeli
sarapan manakala ayah terus pulang ke rumah. Aku rasa sungguh teruja melihat
pelbagai kuih yang tersusun di atas meja jualan. Aku memilih kuih lopes,
ketayap, buah melaka dan kuih bakar. Semua kuih itu berwarna hijau, warna
kegemaranku. Sampai di rumah, bau nasi lemak air tangan nenek pula menikam
hidung. Seleraku membuak. Aku bersarapan dengan begitu nikmat. Usai mengisi perut aku dan sepupu
mengikut datuk memancing di sungai. Aku tidaklah gemar sangat memancing kerana
aktiviti memancing memerlukan kesabaran yang tinggi. Namun, aku turut serta
kerana setiap saat yang singkat di kampung ini begitu berharga untuk mencipta
memori. Balik dari sungai, kami mengikut datuk ke dusun mengait buah rambutan
dan manggis yang kebetulan sedang lebat berbuah. Pengalaman memanjat pokok
hanya dapat dirasai sesekali sebegini ketika pulang ke kampung. Senja menggamit langit kelam
menandakan kunjungan singkat ke kampung juga semakin melambai salam perpisahan.
Selepas solat Maghrib, aku dan keluarga bersalam-salaman dengan datuk, nenek
dan saudara-mara lain. Memang sedari awal aku tahu bahawa kepulangan kali ini
agak singkat kerana ayah mempunyai kerja untuk dilunaskan di bandar. Tambahan pula,
aku juga akan mula menghadiri kelas tuisyen sebagai persediaan Tingkatan 4. Meskipun
kepulangan ke kampung ini singkat namun kenangannya cukup manis bagi aku.