Peribahasa Melayu merupakan salah satu khazanah bahasa Melayu dan bangsa Melayu yang mendukung pelbagai maksud tersirat bertujuan untuk mendidik dan menegur secara halus dan penuh tersirat. Soalan peribahasa telah diuji sekian lama dalam peperiksaan SPM daripada kurikulum KBSM hinggalah kepada kurikulum KSSM.
Pada perkongsian kali ini, cikgu cuba menghimpunkan peribahasa-peribahasa yang telah dan pernah diuji dalam Peperiksaan SPM Bahasa Melayu dari tahun 2008 hingga tahun 2023. Peribahasa-peribahasa ini turut disertakan dengan maksud untuk rujukan anda.
Jangan lupa kongsi pautan catatan ini! Semoga rangkuman peribahasa ini memberikan manfaat kepada semua.
- Bagai menatang minyak yang penuh (SPM 2008) Memelihara anak dengan penuh kasih sayang.
- Benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau (SPM 2008) Yang baik itu biar di mana-mana pun tempatnya tetap akan menjadi baik juga.
- Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah (SPM 2008) Pengagihan secara adil atau sama banyak.
- Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara (SPM 2009) Anak muda yang menjadi harapan untuk membangunkan negara.
- Air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang dituruti (SPM 2009) Hendaklah patuh kepada undang-undang negeri yang kita diami.
- Bagai lebah menghimpunkan madu (SPM 2010) Orang yang sangat rajin.
- Seperti si buta baru celik (SPM 2010) Menjadi sombong kerana beroleh pangkat atau harta.
- Kemenyan sebesar lutut, jika tidak dibakar, tidak akan berbau (SPM 2010) Kepandaian hendaklah diajarkan kepada orang lain, jika disimpan akan hilang begitu sahaja.
- Tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi (SPM 2011) Sesuatu yang tidak akan terjadi jika satu pihak sahaja yang melakukannya.
- Ikan pulang ke lubuk (SPM 2011) Orang yang merantau akhirnya kembali ke tempat asal.
- Membaca jambatan ilmu (SPM 2012) Amalan membaca dapat menambahkan pengetahuan.
- Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain (SPM 2012) Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.
- Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat (SPM 2012) Sebulat suara kerana muafakat.
- Seperti menjolok sarang tebuan (SPM 2013) Sengaja mencari susah atau bahaya.
- Belakang parang diasah lagikan tajam (SPM 2013) Orang yang bodoh kalau ada kesungguhan mempelajari sesuatu lama-lama akan pandai juga.
- Seperti lembu dicucuk hidung (SPM 2014) Menurut sahaja kehendak orang lain.
- Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air (SPM 2014) Segala-gala yang diperlukan sudah diperoleh.
- Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang (SPM 2014) Orang yang bertuah akan mendapat keuntungan atau rezeki dari mana-mana sahaja.
- Seperti embun di hujung rumput (SPM 2015) Sesuatu yang tidak kekal.
- Bagai pinang dibelah dua (SPM 2015) Sama cantik dan sepadan.
- Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak (SPM 2015) Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.
- Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan (SPM 2016) Jika ada cita-cita seseorang akan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapainya.
- Alah bisa tegal biasa (SPM 2016) Perkara atau kerja susah yang sering dibuat akan menjadi mudah.
- Talam dua muka (SPM 2017) Bermuka dua.
- Kerana nila setitik rosak susu sebelanga (SPM 2017) Kerana kejahatan yang sedikit semua kebaikan akan menjadi rosak.
- Murah hati (SPM 2017) Bersifat baik hati, pengasih dan penyayang.
- Gagak pulang ke benua (SPM 2018) Orang yang merantau jauh kembali semula ke tempat asalnya.
- Alang-alang mandi biar basah (SPM 2018) Membuat sesuatu pekerjaan hingga selesai.
- Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi (SPM 2018) Baik buruk ibu bapa sedikit sebanyak akan turun kepada anaknya.
- Jauh perjalanan luas pemandangan (SPM U 2018) Jika banyak berjalan maka banyaklah pengetahuan dan pengalaman yang akan diperoleh.
- Malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut (SPM U 2018) Kalau segan berusaha tidak akan mendapat kemajuan.
- Sediakan payung sebelum hujan (SPM 2019) Berwaspada sebelum ditimpa kesusahan.
- Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri (SPM 2019) Sebaik-baik di negeri orang baik lagi di negeri sendiri.
- Kacang lupakan kulit (2019) Orang yang tidak tahu mengenang budi.
- Cendawan tumbuh selepas hujan (SPM U 2019) Terlalu banyak pada satu-satu masa.
- Di mana ada gula, di situ ada semut (SPM U 2019) Apabila di sesuatu tempat itu ada kemewahan dan kesenangan makan di situlah ramai orang akan berkumpul.
- Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung (SPM U 2019) Perlu mengikut dan mematuhi sesuatu adat dan peraturan di sesebuah tempat.
- Lipas kudung (SPM 2020) Bergerak dalam keadaan pantas.
- Ayam tambatan (SPM 2020) Orang yang banyak pengalaman dan menjadi harapan.
- Jinak-jinak merpati (SPM 2020) Kelihatan mudah didekati tetapi tidak mudah dipikat.
- Usaha tangga kejayaan (SPM U 2020) Seseorang itu perlu berusaha untuk mencapai kejayaan.
- Alah membeli menang memakai (SPM 2021) Barang baik memang mahal tetapi dapat dipakai lama.
- Ukur baju di badan sendiri (SPM 2021) Berbelanja mengikut kemampuan diri sendiri.
- Indah khabar dari rupa (SPM 2021) Perkhabaran selalu dilebih-lebihkan daripada rupa sebenarnya.
- Bagai aur dengan tebing (SPM 2022) Kerjasama atau tolong-menolong antara satu sama lain.
- Usaha tangga kejayaan (SPM 2022) Seseorang itu perlu berusaha untuk mencapai kejayaan.
- Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya (SPM 2022) Berhati-hati apabila bercakap kerana ditakuti akan menyinggung perasaan orang lain.
- Bagai ombak di tepi pantai (SPM 2023) Keadaan yang tidak menentu dan sentiasa berubah.
- Siapa menjala siapa terjun (SPM 2023) Seseorang yang berusaha dan bertanggungjawab akan memperoleh kejayaan.
- Tiada rotan akar pun berguna (SPM 2023) Memanfaatkan perkara lain sekiranya apa-apa yang dirancang masih belum dicapai.