Dua tahun lebih menghadap di hadapan rak bercermin, akhirnya dicapai juga Hentikan Waktu karya Hani Fazuha. Sebagai seorang yang cerewet sedikit kerosakan pada bucu hujung sebelah atas bahagian belakang buku agak menyakitkan hati. Salah satu masalah dengan hard cover macam inilah. Senang rosak kulitnya. Ini juga kenapa malas nak beli hard cover yang mahal harganya. Hentikan Waktu ini ada garapan awal daripada e-book. Hanya dalam naskhah hard cover sahaja digabungkan kedua-duanya, iaitu Waktu Terhenti (e-book) dan Hentikan Waktu (versi cetak). Jadi, tak hairanlah ketebalan buku ini sebanyak 642 halaman. Rasa macam dah lama tak baca novel tebal-tebal macam ni. Satu lagi agak lama juga tak baca novel Hani Fazuha walaupun masih ada lagi karya daripada beliau yang masih elok belum disentuh dalam simpanan. Kenapa? Ya, macam biasa, kekangan masa masih menjadi jawapannya.
Mukadimah buku ini bermula dari zaman persekolahan. Sejujurnya rasa menyampah pun ada apabila perlu berhadapan dengan watak perempuan yang lurus, naif, pasrah dan berserah. Tetapi itulah yang terpaksa dihadapi dengan seorang perempuan bernama Diya. Mujurlah tak sampai habis cerita karakternya sebegitu. Akan sampai waktunya Diya berubah. Kesakitan yang diberikan oleh Zeeqri dan keluarganya mampu menjadikan Diya yang lembut berubah menjadi keras.
- Kebangkitan pada sisi watak Diya ni memang satu benda yang positif. Mujurlah ada perubahan yang positif sebegini, kalau tidak akan rasa seperti sinetron yang watak utamanya terus kena tindas.
- Babak bagaimana Zeeqri dan Diya boleh terlanjur tu, entahlah. Macam susah pula nak hadap. Kalau aku, tinggalkan saja mamat tu tepi jalan, kisah pula nak tidur mana, dahlah mabuk!
- Bahagian Diya dikurung 9 bulan, kemudian lahirkan anak sendiri pun bunyinya macam agak dahsyat, tapi tak mustahil benda tu boleh berlaku.
- Alasan Zeeqri seminggu tak dapat contact Diya semasa di luar negara dan dikaitkan dengan konspirasi keluarga tu, alahai kau dah duduk luar negara tu takkanlah tak ada cara juga nak call kan?
- Plot twist senjata yang digunakan Zeeqri untuk mengelakkan gangguan daripada Sherry agak menarik.
- Satu lagi bahagian yang menarik ialah bagaimana persoalan Diya akan terselamat daripada tindakan undang-undang pun berjaya dirungkaikan oleh penulis dengan agak baik.
- Cuma anak Diya dan Zeeqri yang terkorban dan kaitan dengan pemuda kurus yang menghulurkan jaket tu agak canggung. Yalah, versi e-book kepada cetak bezanya 13 tahun. Kalau anaknya lahir ketika itu, umur 13 tahun baru Tingkatan 1, tetapi cara gambarannya seperti seorang pemuda berumur 18-19 tahun.
★★★