Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah
perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.
BAHAN 1: PETIKAN KEFAHAMAN
Walaupun pelbagai kisah gemilang mewarnai pencapaian
negara terutamanya dalam bidang ekonomi dan politik, namun dalam bidang sosial
lebih banyak lakaran
suram yang terpahat lantaran meningkatnya pelbagai kes
jenayah dan gejala sosial yang cukup rencam sifatnya. Fenomena ini mendorong
pelbagai pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk merangka dasar , strategi dan
tindakan untuk menanganinya. Antara tindakan jangka panjang kerajaan dalam
usaha ini ialah memperkenalkan semula mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan (FSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh
negara. Dalam usaha memerangi kemelut sosial yang kian meruncing terutamanya di
bandar-bandar, ada pihak yang mencadangkan pewujudan konsep bandar dan pekan
selamat. Konsep ini mampu menjadikan sesebuah bandar itu bebas daripada
sebarang ancaman fizikal, sosial dan mental yang boleh mengganggu kesejahteraan
penduduk setempat. Konsep ini berkemungkinan dapat dilaksanakan apabila
mendapat restu kerajaan. Di samping itu, kerajaan juga telah memperkenalkan
Dasar Sosial Negara (DSN) dijangka dapat menggerakkan tenaga pelbagai sektor
dalam menangani isu sosial. Dasar strategik ini bukan sahaja disasarkan kepada
golongan remaja tetapi meliputi semua peringkat usia.
Selain daripada usaha pencegahan melalui
penguatkuasaan undang-undang sedia ada, faktor hukuman juga seharusnya diberi
perhatian oleh pihak kerajaan. Ini kerana hukuman yang lebih berat menjadikan
mereka yang ingin melakukan kesalahan “berfikir dua kali” sebelum melakukannya.
Faktor yang tidak kurang pentingnya, yang seharusnya diberikan perhatian ialah
peningkatan penduduk bandar yang berterusan yang dianggap boleh mengundang
lebih banyak masalah jenayah dan sosial. Oleh yang demikian pihak berkuasa
mesti merangka dasar pengurusan bandar di negara ini secara bijaksana
termasuklah melaksanakan sepenuhnya konsep bandar selamat. Apabila
terlaksanannya konsep ini bandar akan bebas daripada keganasan yang merosakkan
harta benda dan nyawa, bebas daripada kemusnahan dan malapetaka dan penduduk
bebas daripada kemerosotan sosial dan moral.
Jenayah dan kemelut sosial juga amat sinonim dengan
kemiskinan dan setinggan. Oleh yang demikian kerajaan perlu mengawal
pertambahan penduduk bandar secara mendadak yang boleh menyumbang kepada
masalah setinggan dan kemiskinan bandar. Dengan cara ini, adalah diharapkan
tidak akan ada kelompok yang akan terpinggir daripada arus perdana pembangunan
negara kerana kelompok yang terpinggir inilah yang selalunya cenderung untuk
bertingkah laku secara negatif. Selain itu, komitmen ahli masyarakat untuk
sekurang-kurangnya melaporkan kegiatan jenayah dan gejala sosial di
persekitaran mereka merupakan satu usaha yang patut disanjung tinggi.
Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana
Menggalas Cabaran Sosial
Negara,
oleh Zamri Misman, Dewan Masyarakat,
Januari 2005)
BAHAN 2: GRAFIK