[Nota Komsas] Analisis Gurindam Beberapa Petua Hidup; Antologi Sejadah Rindu

Cikgu Muzz
By -
1



MAKSUD GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP
Kurang fikir, kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.

Peringatan kepada pembaca sekiranya kurang berfikir dan kurang menyelidik terlebih dahulu, pasti akan menyebabkan hidup menjadi sesat.

Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak silang sengketa.

Saranan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.

Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika dituturkan akan memudaratkan masyarakat.

Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.

Sekiranya seseorang berbicara dengan kata-kata pedas dan kurang sopan, dia akan mengalami masalah yang besar.

Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.

Seseorang yang gemar hidup bermusuh akan sentiasa bermasalah.

Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.

Saranan agar pembaca tidak menimbulkan persengketaan tetapi jika perkara itu berlaku perlulah diterima dengan tabah.

Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.

Jika ilmu tidak dipelajari dengan sempurna, pasti ilmu itu kurang lengkap dan kurang sesuai untuk diamalkan.

Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.

Ilmu pengetahuan dan kemahiran dapat dituntut selagi rajin mahu menuntut ilmu.

Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan.

Saranan agar bijak memilih sahabat dan taulan di dunia yang di dalamnya terdapat berbagai-bagai kerenah dan sifat manusia.

Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.

Sifat budi pekerti seseorang dapat dikenali melalui rakan taulan yang didampinginya.

Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu.

Lazimnya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifat dan fiilnya untuk memudahkan mereka bekerjasama dan bergaul mesra.

Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bonda di taman.

Seseorang yang bersifat budiman akan sentiasa dipandang tinggi.

Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.

Seseorang yang bersifat dermawan akan dapat memikat hati semua orang di kelilingnya.
Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.

Seseorang yang bersifat pemurah akan memudahkannya untuk mendapat bantuan dan pertolongan.

Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.

Seseorang yang membuat jasa, namanya akan disanjung pada setiap masa.

Menolong sesama wajib dan perlu,
Tetapi tolonglah dirimu dahulu.

Saranan agar pembaca memperbaiki kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menolong sesama manusia.

Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.

Perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah akan menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni
Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.

Peringatan agar tidak melakukan perbuatan khianat sesama manusia kerana Tuhan pasti melaknati orang yang berbuat demikian.

TEMA GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP
Gurindam ini bertemakan nilainilai murni yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan.

PERSOALAN GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP
  • Kesungguhan dalam mengamalkan nilai-nilai murni.
  • Ketekunan dalam menuntut ilmu.
  • Kerjasama dan tolong-menolong sesama insna dalam kehidupan.
BENTUK
  • Terdiri daripada lapan rangkap
  • Setiap rangkap mempunyai dua baris
  • Rima akhir: aa
GAYA BAHASA
  • Bahasa Arab: Khianat, laknat
  • Inversi: Tentu dirimu kelak tersesat
  • Metafora: taman pergaulan, mulut tajam
NILAI
  • Kerajinan
  • Kerjasama
  • kebijaksanaan
PENGAJARAN
  • Kita hendaklah berfikir secara rasional sebelum menuturkan kata-kata.
  • Kita haruslah bijak memilih sahabat yang boleh memimpin kita ke arah kebaikan.
  • Kita perlulah rajin menimba ilmu pengetahuan untuk masa hadapan yang lebih terjamin. 
Kredit: Sasbadi

Post a Comment

1Comments

  1. Terima kasih, cg.Amat membantu🤗👍

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!