Contoh Karangan Temu Ramah PT3

Cikgu Muzz
By -
0


Deraman ialah seorang pengawas sekolah di SMK Mutiara Impian. Deraman ditugaskan untuk menemu ramah seorang pesara guru yang tinggal berdekatan dengan taman perumahan kediamannya.

*Penggunaan jadual sekadar memudahkan paparan dalam blog ini sahaja.


Deraman:
Assalamualaikum, Puan Rogayah.

Puan Rogayah:
Waalaikumsalam. Jemputlah masuk.

Deraman:
Terima kasih, Puan Rogayah. Saya Deraman murid Tingkatan 5 dari SMK Mutiara Impian. Tujuan saya datang berjumpa puan adalah untuk menemu ramah Puan Rogayah tentang pengalaman Puan dalam bidang pendidikan. InsyaAllah, hasil temu ramah ini akan dimuatkan dalam buletin bulanan yang diterbitkan badan pengawas sekolah pada setiap bulan.

Puan Rogayah:
Oh, begitu! Saya akan kongsikan apa-apa yang perlu kamu tahu. Kalau untuk kebaikan, mengapa tidak? Lagipun, ilmu dan pengalaman itu seharusnya dikongsi, bukan dikunci dan disimpan sendiri.

Deraman:
Alhamdulillah, lega saya mendengarnya. Pertama sekali boleh puan ceritakan sejarah Puan dalam bidang pendidikan?

Puan Rogayah:
Saya mula mengajar pada tahun 1985. Ketika itu di SMK Seri Balik Pulau. Selepas lima tahun saya meminta bertukar ke daerah Seberang Perai. Sekolah kedua saya ialah SMK Jalan Damai dan saya berkhidmat di situ selama lima tahun. Seterusnya, saya mengajar di SMK Penanti selama sepuluh tahun, sebelum menabur bakti di SMK Tinggi Bukit Mertajam selama 15 tahun.

Deraman:
Wah, panjangnya perjalanan karier puan! Mengapa puan memilih kerjaya ini?

Puan Rogayah:
Saya suka bekerja dengan manusia. Jiwa saya sentiasa hidup apabila saya mendekati orang dan sedaya upaya berusaha mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna kepada negara.

Deraman:
Oh, begitu! Apakah ciri-ciri seorang guru yang berdedikasi?

Puan Rogayah:
Definisi guru yang berdedikasi ini pelbagai. Bagi saya, seorang guru yang berdedikasi ialah guru yang sentiasa ada untuk anak-anak muridnya tidak kira tempat dan masa. Sentiasa bersedia membantu dan tidak jemu mendidik anak murid ke arah kebaikan.

Deraman:
Apakah pengalaman paling berharga yang puan tidak dapat lupakan sepanjang bergelar seorang guru?

Puan Rogayah:
Pengalaman yang cukup indah bagi saya ialah membantu anak-anak yang lemah dalam pelajaran untuk menguasai pengetahuan dan seterusnya lulus dalam peperiksaan. Pada pandangan saya, anak-anak bijak mendapat keputusan cemerlang itu biasa, tetapi perjuangan anak-anak yang terbatas dari aspek kognitif ini untuk berjuang di medan ilmu adalah suatu usaha yang luar biasa.

Deraman:
Tersentuh hati saya mendengarnya. Terima kasih Puan Rogayah kerana sudi meluangkan masa dan bekongsi pengalaman puan pada petang ini.

Puan Rogayah:
Sama-sama, Deraman.


Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!