Arus masih lagi deras. Air coklat yang masih mengalir di luar sana
meratah semua yang menghalang laluannya. Tidak ada sekelumit rasa kasihan. Baik
tumbuhan, haiwan waima manusia semuanya menjadi bahan rempuhan. Harta-benda
tidak perlu diperkatakan. Tidak terkira bilangan rumah yang ranap. Tidak
terhitung bilangan kediaman yang runtuh dalam lautan lumpur yang tiba-tiba
menghuni darat. Hujan masih lagi turun. Tidak jemu-jemu langit menangis.
Menangis? Ah, adakah langit yang menangis atau dia sendiri yang sedang meratap
hiba kini? Kalau tidak mampu menahan bibir, mahu sahaja dia memarahi langit!
Mahu sahaja dia mencurahkan segala lahar yang menyeksa batin kepada kejadian
alam itu. Kenapa tahun ini menangisnya luar biasa? Kenapa menangisnya tahun ini
tidak punya noktah segala? Tetapi, jauh di sudut hatinya, ada suara yang
menghalang. Andai dia berkata begitu, hakikatnya bukan kepada langit yang
dilemparkan soal sebaliknya kepada Tuhan yang menentukan aturan ini.
Mata Mariana masih lagi menatap senario alam di luar sana. Dari tingkat
tiga sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan, Mariana masih dapat
melihat setiap kemusnahan yang telah dan sedang berlaku di luar sana. Puas
sudah ibunya, Hajah Kalsom memujuk menyuruh Mariana berehat di dalam, berbaring
atas lantai. Tidak ada alas. Hanya simen. Tetapi Mariana enggan. Bukan simen
tanpa alas itu yang menjadi alasan. Bahkan andai ada tilam empuk bercadarkan
sutera dan berbantalkan kapas yang paling lembut sekalipun, tidak akan berjaya
sama sekali memujuk hatinya untuk merehatkan jasad barang walau sebentar.
Sudah masuk hari yang ketiga, dirinya mendepani hakikat yang sukar
untuk ditelan. Selama itu jugalah
dirinya tidak terurus. Makan langsung tidak dijamah. Apalah sangat yang ada
untuk dimakan. Adapun biskut sepeket. Sekeping biskut dibelah lapan dan di edar
sesama orang kampung yang sempat menyelamatkan diri berteduh di bangunan
sekolah itu. Itupun, mujurlah ada makanan dari kedai runcit sebelah yang hanyut
ke aras bangunan tempat perteduhan mereka. Dapat juga beberapa orang pemuda
kampung mencapainya dari koridor tingkat
tiga sekolah itu. Mengenang nasib yang dialami dirinya bersama orang kampung
ketika itu memang menyedihkan. Bantuan sukar diterima. Tetapi dia tidak langsung
menyalahkan mana-mana pihak. Pihak berwajib sudah berusaha menjejaki mereka
yang berlindung di sekolah itu, tetapi cuaca cukup buruk mematahkan usaha
mereka. Helikopter berlegar-legar di ruang udara tempat perlindungan mereka,
bukan sekali dua, malah banyak kali tetapi melihat risiko, semuanya berpatah
kembali. Hati-hati yang berasa sedikit tenang mendengar bunyi kipas kenderaan
udara itu, kembali mengecut apabila bantuan yang disangkakan datang, pergi
tanpa sempat disalurkan.
Namun, apalah sangat nak dibandingkan dengan kekecewaan yang ditanggung
mereka ketika itu, berbanding dirinya yang sedang menanggung kenyataan yang
lebih hebat daripada segalanya. Memang benar semua mereka ketika itu mendepani
musibah bah luar biasa. Ada orang kampung rumahnya dihanyut. Ada ternakan yang
mati lemas. Ada kenderaan yang tenggelam sepenuhnya. Ada rumah yang hanya
nampak bumbung. Tetapi dia... Ya, dia... Mariana. Ada anak. Seorang. Itupun
hadir setelah bertahun menunggu lamanya. Tetapi anak itu hanyut! Hanyut dibawa
banjir. Dan semuanya berlaku di hadapan mata. Di depan mata seorang ibu yang
mengandung dan melahirkan zuriat yang dinantikan selama ini. Dan zuriat itu
tiada sekelip mata?
“Tak! Anak aku ada! Anak aku tak mati! Mana anak aku? Mana aku?
Cakaplah, mana anak aku...” Pekikkan, lolongan dan raungan yang hiba itu
mengejutkan mereka yang berada di dalam sebuah kelas di aras tiga bangunan
itu. Hajah Kalsom segera berlari anak
mendapatkan Mariana. Turut membantu beberapa jiran mereka.
Mariana ketika itu sudah terjelopok
ke lantai. Raungannya tidak berhenti. Air mata tidak perlu diperkatakan
lagi. Bimbang tindakan luar kewarasan akan berlaku, Hajah Kalsom dan beberapa
jirannya memapah Mariana ke dalam kelas yang dijadikan tempat tinggal mereka sementara. Mariana
enggan. Tapi kudrat tiga wanita yang memaksanya, membuatkan jasad itu longlai
mengikut arah tuju kaki yang mengatur langkah. Saat itu mata Mariana hanya
memandang ke luar. Ke arah air bah yang berwarna coklat gelap yang seolah-olah
sedang mentertawakan dirinya. Dan dalam ketawa itu dia nampak sesuatu. Ya, dia
nampak sesuatu! Zahira! Zahira sedang tersenyum kepadanya!
“Akak, dah pengsan budak ni!” Kak Munah yang sedang memimpin Mariana
menuju ke kelas terjerit. Hajah Kalsom yang di hadapan beberapa langkah
terhenti semerta.
“Allahurabbi, Mariana!” Hanya itu yang tercetus dari bibir tua Hajah
Kalsom.
*******************
Rumah Kasih. Pendek sahaja nama kediaman anak-anak istimewa itu.
sekadar mendukung dua patah perkataan sahaja. Masing-masing mewakili rumah dan
kasih. Kalau mahu membuka kamus, rumah didefinisikan sebagai sesuatu binaan
yang dijadikan sebagai tempat tinggal. Manakala kasih pula mendukung makna
perasaan sayang. Pendek kata rumah teres dua tingkat corner lot yang dijadikan
sebagai kediaman anak-anak yatim ini memang kena namanya sebagai Rumah Kasih.
Sebuah tempat untuk berlindung daripada panas dan hujan. Dalam masa yang sama,
anak-anak ini dibesarkan dengan penuh kasih-sayang.
Hari itu hari Jumaat. Masih pagi lagi walaupun embun sudah lama
mengering dari hujung rumputan. Mariana selesa di luar rumah teres dua tingkat
corner lot yang dindingnya berwarna putih gading itu. Sesekali matanya menatap
batu-bata yang berdiri teguh membina bangunan itu. Bibirnya mencetuskan
senyuman kecil. Putih. Warna yang sering dikaitkan dengan kesucian. Fikirannya
pantas teringat akan satu artikel yang dibaca dalam sebuah majalah. Jika dibuat
perbandingan, warna putih itu serupa dengan peribadi anak-anak yatim yang
menghuni di Rumah Kasih itu.
Rumah Kasih merupakan sebuah rumah penjagaan anak-anak yatim dari usia
bayi sehinggalah berumur 12 tahun. Rumah penjagaan anak-anak yatim ini
merupakan salah satu daripada program amal yang dikendalikan oleh Yayasan
Az-Zahrah yang dinaungi oleh Datin Maimon, isteri kepada seorang tokoh
perniagaan terkenal di negeri ini, tetapi cukup mempunyai sekeping hati yang
mulia dan peribadi yang terpuji. Langsung tidak mendabik dada dengan kekayaan
yang dimiliki. Kontras sangat dengan watak orang kaya yang selalu dihidangkan
lewat pembacaan seumpamanya dalam novel waima di kaca televisyen menerusi
tayangan drama.
Panjang kisahnya, macam mana Mariana boleh terjebak untuk menjadi
sebahagian daripada Rumah Kasih ini. Nak kata dia salah seorang penghuninya,
macam merepek pula. Memang betul dia anak yatim sebab telah kehilangan ayahnya
lama dulu, namun ibunya Hajah Kalsom masih ada.
Semenjak peristiwa hitam yang berlaku dalam hidupnya ketika banjir besar
melanda tiga tahun lalu di negeri asalnya, Mariana dan Hajah Kalsom nekad
meninggalkan negeri itu dan berpindah ke sini. Nak kata jauh, tidaklah jauh
sangat. Cuma negeri asalnya di Pantai Timur, kini dia dan ibunya berada di
Pantai Barat. Walau bagaimanapun, meski sudah berubah tempat, walau jasad sudah
beralih arah, mana mungkin sekeping hati mampu berubah sekelip mata.
“Zahira...”
“Mama panggil Ira ke?” Gadis kecil bertocang dua itu sengih memandang
Mariana. Kening pula dijongketkan. Pada tangannya masih ada sudip mainan. Entah
apa yang sedang dimasak oleh Ira bersama teman-teman seusianya itu. Waktu persekolahan seperti ini, hanya
anak-anak yang belum bersekolah sahaja yang akan tinggal di situ, manakala
selebihnya bersekolah di sebuah sekolah rendah tidak jauh daripada kediaman
itu. Kalau dicongak yang ada di rumah pada ketika itu cuma lima orang. Tiga
perempuan dan dua lelaki. Yang lelakinya berada di dalam rumah sedang bermain
permainan komputer sambil diawasi oleh Salmah.
Mariana pula di luar memerhatikan anak dara cilik yang rajin ‘memasak’
di bawah pohon yang rendang. Tambah pula seorang tetamu kecil bernama Ira atau
nama sebenarnya Zahira.
Mariana telan liur. Nama yang dia berusaha untuk padamkan daripada
ingatan. Nama yang dia cuba untuk melupakan. Bukan bermakna nama itu tidak
membawa sebarang pengertian. Tetapi nama itu mendukung seribu keperitan. Dia menunggu
hampir 7 tahun untuk disahkan hamil. Kahwinnya dulu ketika usia amat muda. Baru
21 tahun. Kata orang kahwin muda senang dapat zuriat. Lain pula kisahnya dengan
dia. Suami yang dinikahi atas dasar suka sama suka sejak zaman bangku sekolah
pula tidak sabar mahukan anak. Hari-hari bertanya soalan yang sama.
Kadang-kadang Mariana rimas dengan persoalan tentang anak. Bukannya dia tidak
berusaha. Bertemu doktor sudah dan dia memang normal, tak ada apa-apa masalah.
Menjaga pemakanan juga sudah. Berurut sudah. Berubat secara tradisional juga
sudah. Cuma suaminya yang liat mahu memeriksa keberadaan diri. Jika dipersoal
tentang perkara itu pasti sepak dan terajang akan menjadi makanan jasad
Mariana. Sampai suatu saat dia sudah lelah menghadapi semua itu dalam usia yang
cukup muda.
“Abang, Ana dah mengandung.” Ceria wajah Mariana mengkhabarkan berita
itu kepada suaminya, Mazlan. Mana tidaknya, tujuh tahun menunggu. Daripada umur
21 tahun mencuba, Tuhan hanya mahu mengizinkan rahimnya berisi ketika usia 28
tahun. Perancangan Maha Esa. Siapa dia untuk persoalkan.
Mazlan hanya acuh tak acuh. Mariana pelik. Bukankah selama ini suaminya
pingin sangat akan zuriat. Kini, dia dah disahkan hamil kenapa reaksinya tidak
teruja?
“Abang, Ana cakap ni, Ana dah hamil.” Mariana merangkul leher Mazlan.
Rasa bahagia di hati mahu disalurkan pada suaminya. Penantian selama tujuh
tahun itu bukan singkat. Hanya hati yang tahu betapa gembiranya dia pada saat
dan ketika itu. Yang diharapkan, tentu sahaja kehadiran janin dalam kandungannya
akan mengeratkan hubungan mereka suami isteri yang semakin hari semakin jauh.
Komunikasi antara mereka hampir tiada. Sepatah dua untuk sehari. Kadang-kadang
pertanyaan Mariana hanya dijawab lewat bahasa tubuh oleh Mazlan. Tetapi kalau
mahukan nafkah batin, pandai pula Mazlan mencari Mariana. Adakah seorang isteri hanya semat-mata untuk
perkara itu?
“Abang...” Mariana yang membuka mulut untuk kali ketiga terhenti
semerta. Mazlan menepis tangannya dengan kasar.
“Berapa kali kau nak bagi tau ni? Kalau kata mengandung, lembu kambing
tu pun bunting juga. Masalahnya, kena beranak. Kalau setakat bunting tapi dua
tiga hari lepas tu gugur, tak payah nak seronok sangatlah. Elok lagi lembu
dengan kambing belakang tu. Subur. Beranak-pinak. Yang ada seorang dalam rumah
ni saja tak ada guna! Hamil konon! Dah lah, aku banyak kerja!” Selesai
memuntahkan isi hati, Mazlan bingkas bangun dari beranda rumah. Kunci motosikal
dicapai lalu kenderaan beroda dua itu ditunggang entah menuju ke mana.
Mariana terkedu. Kakinya lembik. Kerusi di sebelah dicapai. Direbahkan
batang tubuhnya menyandar pada kerusi kayu itu. Luluh hati mendengar bicara
seorang lelaki yang bernama suami. Patah kata berbaur lembut sudah lama lenyap
daripada bibir Mazlan. Panggilan mesra juga telah lama luput. Yang masih
berbaki antara mereka hanyalah akad yang menyatukan. Mariana menelan liur.
Perit dirasakan di celahan kerongkong. Dia tidak menyalahkan Mazlan. Lelaki itu
sudah penat menunggu dia melahirkan zuriat. Masing-masing mereka jatuh suka
ketika belajar dulu di Tingkatan Enam. Asyik menyulam cinta sehinggakan
pelajaran terabai. Mujur ibu bapa kedua-duanya agak senang sedikit hidupnya.
Tambahan, kedua-duanya anak tunggal. Harta pusaka pasti diwarisi. Tamat belajar
selang setahun dua mereka bernikah. Namun kebahagiaan yang diharapkan
berpanjangan hanya bertahan seketika cuma.
“Yeay, Papa datang! Papa datang!” Terloncat-loncat Zahira dibuatnya
sekali gus mematikan lamunan Mariana.
Lelaki tinggi lampai sekitar 181 sentimeter dengan susuk tubuh sasa itu
melangkah gagah masuk ke dalam perkarangan rumah. Semua orang di dalam rumah
itu kenal dengannya. Mana tidaknya, anak lelaki kepada penaung Rumah Kasih
sendiri. Damian Akhtar. Nama bukan main lagi. Sempat lagi hati Mariana
mencebik. Malas nak berlama-lama di situ,
memandangkan Damian ada, Mariana pantas bangun dari tempat duduknya dan
bersedia mengatur langkah menuju ke dapur. Alang-alang ada orang lain yang dah
boleh tengok-tengokkan budak-budak di depan ni, ada baiknya dia ke dapur bantu
Mak Jah apa yang patut. Lagipun, senang cerita Mariana kurang selesa dengan
Damian.
“Nak ke mana tu Cik Mariana?”
Belum sempat Mariana meloloskan diri lewat pintu utama rumah itu, suara
Damian sudah menerobos ke gegendang telinganya. Suara Damian yang macho itu
sedikit sebanyak memberi getaran kepada hatinya. Dan Mariana teramat
membencikan getaran itu. Mariana kejap bibirnya yang menggeletar. Tidak tahu
kenapa, setiap kali berhadapan dengan Damian, dia akan jadi tak tentu arah.
Bodoh punya hati! Sempat lagi suara dalam memaki diri sendiri.
“Saya nak masuk dalam Encik Damian. Nak tolong Mak Jah masak. Duduk
luar pun bukannya ada apa lagi kan? Encik Damian lebih dari cukup
tengok-tengokkan budak-budak tu.” Mata Mariana menunduk sahaja menjawab
pertanyaan Damian. Tidak kuasa dia mahu bertentang mata dengan lelaki itu. Sebagai seorang wanita yang pernah berkahwin,
dia sedar siapa dirinya. Meski fitrah menyayangi dan disayangi selayaknya
antara seorang Adam dan Hawa itu tidak mampu dikikis secara total daripada
relung hati, namun Mariana cukup matang untuk meletakkan sempadan. Enggang
selamanya akan terbang tinggi dan pipit pula hanya di tanah saja tempat
selayaknya.
“Tapi saya nak tengok awak sama...” Damian bersuara perlahan saja. Saat
itu dia sudah duduk bertinggung. Memerhatikan anak-anak itu bermain riang.
Kanak-kanak, suatu usia yang baginya begitu indah sekali. Usia yang polos. Bebas daripada dosa. Tenang
daripada masalah. Tidak ada apa-apa yang sulit perlu difikirkan. Hanya
ketenangan dalam menjalani kehidupan. Namun, hakikatnya bukan semua kanak-kanak
ditakdirkan menjalani kehidupan seumpama itu. Mereka di sini, meski tiada ibu
dan bapa juga saudara yang punya pertalian darah, namun diasuh, didik dan
dibesarkan dengan sentuhan kasih sayang. Dalam masa yang sama ramai kanak-kanak
di luar sana tidak berpeluang mengecapinya. Biar hidup bersama ibu dan ayah
kandung sendiri. Ada yang didera. Ada yang terabai. Ada yang langsung tidak
diambil peduli dan diserahkan seratus peratus atas bahu pengasuh. Tetapi itulah namanya kehidupan. Tidak ada
erti sempurna kerana sempurna itu milik Tuhan yang mencipta semata-mata.
“Nak apa Encik Damian?” Perlahan sangat suara lelaki itu tadi
membuatkan Mariana perlu bertanya sekali lagi.
“Hah? Urm...Tak ada apa-apa. Tapi awak ni pun Mariana, berapa kali saya
nak beritahu, tak perlu berencik dengan saya. Macam ada gap yang besar pula.”
Dah lama Damian pesan kepada Mariana, panggil Damian saja. Tapi payah sangat
Mariana nak menurut kehendaknya yang satu itu. Susah sangat panggil abang
sajalah. Abang Damian! Kan sedap macam tu!
“Dan berapa kali juga saya dah pesan dekat Encik Damian, saya bukan
lagi Cik tapi Puan. Puan Mariana.” Sengaja Mariana menekankan perkataan Encik,
Cik dan Puan itu. Mariana tidak mahu orang yang mendengar salah anggap.
Meskipun fizikalnya masih nampak serupa anak dara, tetapi hakikat tetap
hakikat. Dia pernah berkahwin. Pernah melahirkan zuriat. Dan pernah juga
kehilangan suami. Mariana tidak pernah terfikir menyembunyikan identiti sejarah
hidupnya. Tak ada dosanya untuk bergelar janda seawal usia 32 tahun ini. Biar
dia tahu masyarakat selalu memandang serong terhadap status janda itu, namun
Mariana tidak kisah. Selagi dia mampu dia akan jaga peribadinya sebaik mungkin.
Sebab itu jugalah dia tidak gemar Damian memanggilnya dengan gelaran Cik. Dan
atas alasan yang sama panggilan Encik buat Damian tidak digugurkan. Biar ada
batasan dalam perhubungan mereka.
“Kalau tak ada apa-apa, saya masuk dululah Encik Damian.” Mariana
meneruskan langkah tanpa menunggu balasan daripada Damian. Sekejab lagi
anak-anak akan pulang dari sekolah. Lebih baik dia ke dapur membantu Mak Jah.
Paling tidak menghidangkan makanan tengah hari. Tak adalah kelam kabut sangat
nanti. Biasalah hari Jumaat. Yang lelaki akan ke masjid menunaikan kewajiban
kepada Tuhan. Biasanya Rumah Kasih akan memberi makan tengah hari kepada
anak-anak lelaki dahulu pada hari Jumaat. Biar mereka ke rumah Allah dengan
selesa. Tidak ada perut yang berkeroncong. Dapatlah dengar khutbah dengan
tenang. Tak adalah terbayang makanan waktu angkat tangan takbir solat. Dan tak
adalah tidak sabar bingkas dari duduk tahiyat akhir sesudah salam kedua. Cuma kelakar pula bagi Mariana apabila
anak-anak kecil ini bercerita usai pulang dari masjid. Katanya ada orang sedang
main telefon bimbit. Ada orang pula tersenguk-senguk dek kantuk. Ada pula
menyandar di dinding sedangkan usianya masih lagi muda. Ada pula yang sibuk
mahu duduk di belakang sedangkan saf di hadapan masih penuh. Anehnya semua laku
itu tersebut zahir daripada mereka yang lebih dewasa. Tatkala mendengar semua
omelan anak-anak, Mariana selalunya akan gunakan riverse psikologi. Tidak perlu
memburukkan sesiapa, sebaliknya gunakan pendekatan yang sesuai kepada anak-anak
agar mereka tidak meneladani perbuatan yang tidak betul seperti itu.
*******************
Hajah Kalsom panik. Satu-satunya
anak yang dianugerahkan Tuhan kepadanya di buana ni pengsan. Cuaca di luar sana
masih buruk. Bantuan tidak juga kunjung tiba. Keperluan mereka di sana tidak
ada yang bisa membantu meringankan beban. Waima minyak cap kapak juga tidak
ada. Mariana yang pengsan tadinya dibaringkan di atas tikar. Munah, jirannya
menggunakan tangan mengibas-ngibas pada wajah Mariana. Biar ada udara sedikit.
Hajah Kalsom memeriksa nadi Mariana. Masih berdenyut. Hajah Kalsom pejam mata.
Sulit sungguh ujian Tuhan kepada mereka saat ini. Apatah lagi buat Mariana.
Nafas yang memberat di dada dilepaskan perlahan-lahan. Jauh di sudut hatinya
ada suara membisik.
“Jangan putus asa kepada Tuhanmu...”
“Berbaik sangkalah kepada Tuhanmu...”
“Dia tidak akan membebani hambanya melebihi kesanggupan upaya
penerimaan mereka...”
“La Tahzan, Allah ada dan bantuannya begitu hampir...”
Suara-demi suara menujah telinga Hajah Kalsom. Suara itu bagaikan ada
orang yang membisikkan kepadanya. Namun, kenyataannya, semua itu hanya suara
hati yang mengilhamkan rasa. Suara yang hadir dek keimanan kepada Pencipta.
Kepada siapa lagi perlu ada pergantungan, jika bukan kepada Allah, Tuhan
sekalian alam? Ketika ini bantuan daripada luar tersekat sama sekali. Mereka
bagaikan terkepung di sebuah pulau. Tetapi apakah mustahil bagi Tuhan untuk
menurunkan bantuan? Tidak ada yang mustahil baginya.
Hajah Kalsom bingkas bangun. Semerta dia keluar ke koridor menuju arah
paling hujung. Mujur surau sekolah itu di aras tertinggi sekali. Wuduk diambil.
Kain telekung yang memang tersedia dalam surau itu dikenakan. Nakhah Al-Quran
dicapai. Laju dia kembali kepada Mariana. Ayat suci adalah penawar buat anaknya
ketika itu. Mariana lemah semangat. Bukan sahaja dia kehilangan Zahira di depan
matanya sendiri, bahkan dia juga baru mengetahui satu kenyataan yang begitu sukar
buat seorang wanita. Anaknya itu dimadukan oleh suaminya. Dan rahsia itu
terbongkar dalam situasi yang begitu menyedihkan.
Alunan ayat suci yang kedengaran dalam ruang tempat mereka berteduh itu
begitu menyayat hati. Seorang anak yang terbaring tanpa sedarkan diri. Seorang
ibu yang mengalunkan bacaan ayat suci dengan penuh melankolik dan disertai
wajah-wajah sendu di sekeliling mereka. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu
mata Mariana yang katup terbuka. Dan gembiranya, bantuan daripada pihak luar
yang ditunggu-tunggu juga muncul juga. Pihak Bomba dan Penyelamat akhirnya
berjaya juga menjejaki mereka menerusi bot. Bersama mereka adalah beberapa
sukarelawan dan bahan-bahan asas yang amat diperlukan oleh mereka yang
berlindung di sini sejak tiga hari yang lalu.
*******************
Sejak seminggu yang lalu petugas di Rumah Kasih sibuk sangat. Hujung
minggu itu akan diadakan Hari Keluarga Kasih. Satu acara yang menjadi tradisi
rumah anak-anak yatim itu. Menariknya, bukan
anak-anak di Rumah Kasih sahaja yang akan menikmati keriangan pada hari
tersebut, bahkan beberapa buah rumah anak yatim di luar sana turut dijemput
oleh Yayasan Az-Zahrah bagi memeriahkan Hari Keluarga Kasih. Dan kemuncaknya adalah hari ini. Ahad
terakhir bulan Januari. Sejak pagi lagi
Mariana sudah sibuk membantu Mak Jah menyediakan makanan di dapur. Sebentar
lagi van akan sampai membawa mereka ke padang sekolah berhampiran. Keizinan
daripada pihak pentadbiran sekolah sudah diminta bagi tujuan aktiviti tersebut.
Terlebih dulu sudah dua kali van yang dipandu Pak Amat menghantar anak-anak dan
keperluan permainan yang sudah disediakan oleh mereka beramai-ramai sejak
seminggu yang lalu. Cuma hadiah saja semuanya ditaja oleh Encik Damian, dan
lelaki itu akan terus membawanya ke tempat acara menggunakan kenderaan
mewahnya. Tempoh hari Mariana diajak oleh Damian untuk pergi bersama, tetapi
Mariana menolak dengan baik. Alasannya, masih banyak kerja yang perlu dia
lakukan di Rumah Kasih sebelum acara bermula.
Pukul 8.30 minit pagi, padang sekolah rendah itu telah dipenuhi oleh
anak-anak yatim daripada 3 buah rumah kebajikan. Turut serta pekerja-pekerja
daripada tiga buah rumah anak yatim itu. Tidak ketinggalan masyarakat setempat
dan NGO yang turut dijemput hadir bagi memeriahkan acara pada hari itu. Datin
Maimon sebagai pengasas Yayasan Az-Zahrah yang turut sama berperanan sebagai
tuan rumah juga tidak lupa daripada menjemput rakan-rakannya daripada kalangan
korporat . Pada acara-acara sebeginilah rumah kebajikan boleh mencari ruang dan
peluang bagi mendapatkan sumbangan daripada individu mahupun badan korporat.
Sebenarnya ramai sahaja di luar sana yang menyumbang kepada kebaikan, Cuma
sesetengahnya sahaja yang tidak kena gaya. Nampak lebih kepada meraih nama dan
pandangan umum, mengatasi daripada niat sebenar untuk berbuat kebajikan.
Pelbagai pertandingan menarik seperti cari gula-gula di dalam tepung,
belon berisi air, isi air dalam botol, tarik upeh, kerusi berirama, lumba lari,
dan lari dalam guni diadakan sepanjang hari itu melibatkan semua anak yatim.
Bagi orang dewasa pula acara tarik tali diadakan bagi mengeratkan hubungan
silaturahim sesama mereka yang sudi melapangkan masa memeriahkan acara pada
hari itu. Mariana dan Damian juga tidak
ketinggalan daripada menyertai pertandingan tarik tali. Mereka bukan dalam
sepasukan tetapi sebagai lawan. Kecoh dibuatnya dengan suara gegak gempita para
penyokong kedua-dua buah pasukan. Beberapa minit kedua-dua pasukan saling
tarik-menarik, akhirnya pasukan yang diketuai Damian berjaya mengalahkan lawan
mereka.
“Penat?” Damian mencuri ruang di sebelah Mariana. Ketika itu Mariana
hanya duduk melepaskan lelah di bawah sebatang pohon ketapang yang rendang di
tepi padang. Mariana menginjak sedikit duduk letak punggungnya.
Damian senyum nipis. Mariana. Entah apa yang wanita itu takutkan
tentang dirinya. Kalau nak kata ada orang yang akan marah bila nampak dia
berdua dengan Mariana rasanya tidak ada sesiapa. Dia juga maklum bahawa Mariana
tahu status dirinya yang duda. Dia bukannya ada isteri. Ada isteri pun lama
dulu. Itu pun kahwin aturan Datin Maimon. Dan perempuan itu minta cerai sebab
nak kahwin dengan lelaki lain. Selepas itu, Damian dah tutup buku tentang soal
nikah kahwin. Malas rasanya nak fikir semua itu. Ada juga perempuan yang tidak
bertimbang rasa, lebih mementingkan perasaan sendiri sehingga sanggup tak
menjenguk anak sendiri bahkan tidak berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan
kerana lebih tergila-gilakan lelaki bangsa asing berkulit putih dan berhidung
mancung.
Nafas Damian kedengaran. Dia sebenarnya tidak pernah nak mengejar
perempuan. Cuma Mariana nampak lain. Ada sifat kasih-sayang yang menebal dalam
diri wanita ini. Redup matanya yang memandang anak-anak di Rumah Kasih penuh
sarat dengan sifat keibuan. Damian pernah merisik khabar daripada Mak Jah
tentang perihal Mariana. Mulanya Mak Jah tidak mahu bercerita. Tetapi bila
Damian buka mulut dan menyatakan isi hatinya bahawa dia mahu mencari ibu kepada
Zahira dan bukannya wanita untuk pemuas nafsu, barulah Mak Jah bercerita A to
Z.
Kasihan Mariana. Menurut Mak Jah, bayi Mariana yang berusia lima bulan
terlepas dari rangkulan ketika bergelut mencari ruang perlindungan semasa bah
melanda di negeri kelahirannya yang merupakan musibah terteruk dalam sejarah
negara ini. Ketika itu, suami yang diharapkan menghulurkan bantuan lebih kalut
menolong seorang wanita lain dan anak-anaknya. Saat itu jugalah Mariana
mendapat tahu yang suaminya telah lama berkahwin lain dan mempunyai tiga orang
anak. Dan kesedihannya berlipat ganda, apabila dia diceraikan dengan talak
tiga, seraya dimaki-hamun kerana tidak pandai menjaga anak sendiri!
“Mariana.” Damian akhirnya membuka mulut. Menunggu Mariana memulakan
bicara bagaikan menunggu bulan datang kepada pungguk. Soalannya tadi pun
dibiarkan sepi oleh Mariana. Ini merupakan kesempatan terbaik bagi Damian. Dia
perlu luahkan isi hati. Kata orang, kalau sudah suka katakan suka. Apapun
jawaban daripada orang sebelah setidak-tidaknya dia sudah berusaha menyatakan
hasrat yang terpendam dalam sanubari.
“Saya sebenarnya sukakan awak.” Damian jeda sebentar. Sempat dia
melihat reaksi wajah wanita itu. Jelas nampak terkejut.
“Saya tahu kisah hidup awak, Mariana. Awak tak perlu malu dengan status
awak sebagai janda. Tambahan pula, saya inipun bukannya bujang, duda. Hidup ini
sebenarnya bukan berada dalam tangan kita. Ada yang mengaturkannya Mariana.
Kita hidup di dunia ini sementara. Kita datang dalam bentuk pinjaman, sampai
saat nyawa kita sendiri pasti akan dipulangkan. Begitu juga dengan Zahira,
satu-satunya anak awak. Saya tahu awak tunggu lama sangat untuk memangku dia,
dan pastinya awak tak menyangka begitu cepat dia akan diambil pergi. Tetapi
hakikatnya dia ada, Mariana. Dia sedang menunggu awak di taman Raudhah.” Damian
berhenti sejenak. Hanya sedu-sedan Mariana yang kedengaran. Bukan niat Damian
mahu membuatkan wanita itu sedih. Tetapi Damian sedar dia perlu bercakap tentang
hal yang satu itu. Mariana sudah terlalu lama memendam. Hari ini dia akan
selongkar segala isi hati wanita yang tanpa sedar sudah menghuni satu sudut
dalam hatinya kini.
“Tidak ada satupun di dunia ini milik kita. Semuanya milik Dia. Dan
tidak ada satupun juga kejadian yang berlaku di dunia ini tanpa
pengetahuan-Nya. Kalau kita meratap dan terus bersedih, seolah-olah kita
mempersoalkan takdir. Siapa kita untuk bersoal-jawab dengan Tuhan, Mariana?
Saya tahu awak kuat. Saya sendiri tak dapat bayangkan berada di tempat awak.
Mungkin awak sudah dapat menerima takdir pemergian Zahira milik awak, tapi
lihatlah diri sendiri, Mariana. Bukan saya tak perasan, malah banyak kali awak
menangis dalam diam. Awak sakit dalam sepi. Hati awak merintih. Jiwa awak merana.
Saya dapat rasakan semua itu, Mariana.” Damian jeda lagi Kali ini Mariana sudah
menangis dengan laju. Damian mengeluarkan sapu tangan daripada kocek seluar dan
dihulurkan kepada wanita itu. Mariana menyambut. Dikesatnya air mata yang bercucuran. Tapi air
jernih itu masih lagi mengalir dan terus mengalir.
“Mariana, saya duda. Isteri saya minta cerai sebab nak kahwin dengan
lelaki lain. Dia tak pernah sekalipun menyusukan Zahira milik saya.
Satu-satunya puteri yang saya ada. Isteri saya sebenarnya tak nak mengandung.
Dia pentingkan tubuh dia yang langsing, modellah katakan. Lahir saja Zahira dia
dah bagi warning, habis pantang mesti dia diceraikan. Sebab itulah perjanjian
antara kami, kalau tak mahu kandungannya, yakni Zahira tidak digugurkan.”
Damian menahan rasa. Kenangan lama yang cuba dikorek kembali pasti menghadirkan
luka.
“Saya tak minta banyak daripada awak Mariana. Saya tak kisah kalau awak
tak masak untuk saya. Saya tak kisah kalau awak tak iron baju saya. Saya tak
kisah kalau awak tak tolong betulkan tali leher saya. Malah saya juga tak akan
paksa kalau awak tak nak bersentuhan dengan saya. Tapi tolonglah terima saya,
semata-mata Zahira milik saya. Saya mahu awak jadi mama kepada Zahira saya.
Kasihanlah Zahira saya yang langsung tidak disentuh ibunya sejak keluar dari
rahim. Terimalah Zahira milik saya dengan sepenuh hati awak Mariana. Dia
memerlukan seorang ibu. Dia perlukan sentuhan ibu ketika tidur dan bangun dari
tidur. Dia perlukan pelukan kasih seorang ibu. Mulutnya betah bercerita di rumah
tentang setiap apa yang dilakukannya bersama awak di Rumah Kasih setiap kali
dia berkunjung di sana. Mama saya pun dah bagi green light, dan saya sendiri
pun memang ada perasaan terhadap awak Mariana. Sifat keibuan awak yang melimpah
ruah buat anak-anak di Rumah Kasih memang telah menambat hati saya. Saya
perlukan seorang wanita seperti awak sebagai pendamping hidup saya, Mariana.
Sudikah awak menjadi isteri kepada saya dan mama kepada Zahira, dan InsyaALLAH
bakal anak-anak kita nanti?” Damian menghulurkan sebentuk cincin yang masih
terletak elok dalam bekas baldu berwarna merah jambu.
Reaksi Mariana kosong. Masih lagi menangis. Tapi gerakan tubuhnya kaku.
Huluran cincin oleh Damian boleh diperhatikannya menerusi pandangan sisi. Tapi
kekuatan untuk menyambut cincin itu tidak ada. Hatinya memang pernah berpuisi
untuk lelaki di sebelahnya ini. Tetapi puisi separuh baris itu telah direnyuk
dan dibakar sebelum menjadi syair nan indah. Kini angan yang pernah menghuni
hati sudah hadir nyata di hadapan mata. Tetapi tidak tahu, kenapa dia tiada
daya bertindak walau hanya untuk mengangguk sebagai tanda seia sekata.
“Mama... Mama tak nak jadi mama Ira ke?” Sugul wajah Zahira. Entah
sejak bila anak kecil berusia dalam lingkungan lima tahun lebih itu muncul di
situ. Mariana pandang wajah Zahira. Genang air pada tubir mata anak cilik yang
comel itu begitu merenggut hatinya.
Tiba-tiba ada tiupan angin yang berbau harum menyapa hidung Mariana.
Dia sedut bau itu dalam-dalam. Bauan melur bercampur kenanga. Mariana pejam
mata menghayati bauan yang cukup mengasyikkan itu. Dalam pandangannya itu hadir
seorang bidadari kecil. Tersenyum padanya. Mengangguk-angguk dengan wajah
girang. Kecil saja tubuh itu seolah bayi
yang baru lahir... Zahira?
“Ya, mama?” Zahira sudah merangkul bahu Mariana.
Mariana celik. Debar di dada masih terasa. Bau melur dan kenangan
beransur hilang. Dia bermimpi? Atau khayal? Atau semua ini memang betul
terjadi? Mariana pandang Damian di sebelah. Lelaki itu masih setia menghulur
cincin? Tak lenguh tangan ke? Sempat hatinya berdesis nakal!
“Tangan Encik Damian tak lenguh ke hulur cincin tu lama-lama?” Mariana
selamba menyoal sambil tangannya mengelus lembut rambut Zahira yang panjang.
“Tak, saya kuat main besi. Otot saya pejal. Nak tengok?” Damian juga
bersuara nakal. Cukuplah momen sedih yang tercipta tadi. Hidup perlu diteruskan
walau apapun jua rencahnya. Kesedihan hanya satu rona dalam kehidupan. Terlalu
bermesra dengan kesedihan hanya akan menghadirkan warna kelam dalam kehidupan.
“Tak apa, nanti lepas kita dah nikah saya tengok!” Laju mulut Mariana
menjawab. Seraya itu dia bingkas bangun. Punggung dikibas. Tangan Zahira
dipegang erat.
“Jom, Ira. Majlis penyampaian hadiah nak mula tu. Ira dengan Papa kan
ada menang tadi, nanti melepas pula hadiah tu.” Mariana memimpin tangan Zahira
menuju ke pentas kecil yang didirikan bawah beberapa buah khemah. Langkah
kakinya yang diatur maju ke hadapan dihentikan seketika. Kepalanya ditoleh ke
belakang. Renungannya menatap sepasang mata Damian yang indah. Senyuman manis
diukir, lalu di meneruskan perjalanan.
Damian bingung.
“Nikah? Papa? Maksudnya dia setujulah! Terima?” Blur juga Damian ni.
Maklumlah, Mariana pun satu, bagi jawapan yang tersirat.
“Papa, buat apa lagi tu, cepatlah!” Jeritan Zahira yang nyaring
menyedarkan Damian yang masih dalam separa sedar. Pantas dia berlari anak
menyertai Zahira dan Mariana.
.........TAMAT........