“Cikgu, air mani tu apa?”
Itu soalan dua orang murid sekolah rendah. Murid
lelaki kedua-duanya. Pengawas sekolah. Darjah tiga, di sebuah sekolah
kebangsaan. Soalan itu ditanyakan kepada seorang guru. Gurunya berjantina
perempuan. Entahlah, sama ada guru itu sudah bernikah atau tidak. Yang pasti
guru itu ialah seorang guru muzik. Pertanyaan itupun diajukan di dalam kelas
yang ketika itu bising dengan bunyi-bunyi daripada peralatan muzik.
Apa jawapan cikgu itu?
Guru perempuan itu tidak menjawab pertanyaan tentang
persoalan air mani tersebut. Sebaliknya guru itu menarik side-burn kedua-dua murid lelaki itu. Denda.
Sudah. Apakah salah pertanyaan tersebut? Apa benda itu
sebenarnya, sampaikan mengundang amarah guru perempuan itu? Soalan itu ditanya
kepada guru setelah rakan-rakan sebaya yang lain juga tidak tahu. Salahkah
bertanya? Bukankah guru tempat untuk bertanya?
Dan persoalan apa itu air mani, mati di situ sahaja.
Peristiwa ini benar-benar berlaku. Bukan sekarang,
tetapi lama dahulu. Tahunnya 1998, salah seorang murid lelaki yang bertanya
ialah penulis sendiri. Kalau imbas kembali ketika itu, begitu suci, murni dan
polosnya jiwa, fikiran dan minda murid-murid sekolah rendah yang sudah darjah tiga tetapi masih belum tahu apa itu air mani.
Pertanyaan itu timbul tidak lain dan tidak bukan,
gara-gara berita salah laku luar tabii yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang mendominasi hampir kesemua kaca televisyen ketika itu. Walaupun masih
mentah, anak-anak kecil tetap melihat dan membaca. Tilam yang diusung ke sana
sini. Perkataan liwat dan air mani digunakan, sangat baharu, belum pernah
didengar. Rasa ingin tahu ada, tetapi denda yang diterima saat soalan diaju,
memberi tanda bahawa soalan itu tidak seharusnya ditanya lewat bicara.
Makin usia meningkat, perkara-perkara sebegitu kita
belajar dengan sendiri. Makin dewasa kini, sangat menggerunkan pula melihat
anak-anak di sekolah rendah yang sangat maju dalam mengetahui perkara-perkara
sebegitu dengan sangat cepat sekali. Bayangkan dengan hanya satu kes mahkamah dan
bersumberkan berita televisyen dan radio sudah mempengaruhi kami ketika itu,
apatah lagi zaman teknologi kini yang saban waktu anak-anak berdamping dengan
telefon pintar.
Ya, telefon pintar yang tiada sempadan. Telefon pintar
yang tiada had dan batasan. Bebas untuk melayari apa-apa sahaja. Sekatan yang
dikenakan oleh kementerian bertanggungjawab terhadap laman-laman tertentu
seperti laman pornografi, laman muat turun filem-filem percuma sangat mudah
dipatahkan, sekadar memasang aplikasi VPN semuanya dapat dilolos dengan mudah
dan percuma. Aplikasi sembang maya percuma yang tumbuh bagaikan cendawan tumbuh
selepas hujan. Gelekan dan tarian ghairah seperti di Tiktok semata-mata untuk
meraih pengikut yang ramai. Pakaian mencolok mata menjadi umpan dan daya
tarikan. Sosok tubuh berotot tanpa beralas baju jadi medan hidangan dan tatapan.
Ah, banyak sungguh yang boleh memesongkan hati, boleh menyesatkan minda!
Anak-anak zaman sekarang bukan seperti kami dahulu. Takut
untuk tanya kepada ibu bapa, salah tanya pasti ada habuan yang tersedia. Tanya
kepada guru, didenda juga kami diam tanpa suara, kerana kami tahu denda guru
pasti bersebab. Anak-anak zaman sekarang tidak bertanya. Anak-anak zaman
sekarang tidak bertanya kerana semuanya berada di hujung jari. Google menjadi
kitab ajaib mereka. Hedonisme menjadi tunggangan kehidupan kebanyakan mereka. Anak-anak
zaman sekarang, bukan semua, tetapi kebanyakannya tenat. Ada yang tanpa rasa
bersalah mengutuk ibu bapa sendiri di media sosial. Ada antaranya yang memerli
dan mempersenda guru-guru di akaun sosial secara terbuka. Lebih parah ada juga
tanpa rasa segan silu memperkatakan hal lucah di dalam bilik darjah!
Ya, saya sendiri mengalaminya. Murid sekolah menengah
seawal usia Tingkatan 1 sudah berani berkata-kata dengan perkataan double-meaning. Itu belum lagi murid Tingkatan
5. Dunia semakin berubah. Cabaran guru semakin berganda-ganda. Guru bukan
sahaja menggalas tanggungjawab untuk memberi ilmu, bahkan lebih penting lagi
membina akhlak murid menjadi beban yang semakin berat di pundak dan bahu. Meski
mencabar, tetapi saya yakin setiap guru akan cuba mencorak akhlak yang baik
kepada murid-murid. Namun, permulaannya adalah di rumah.
Peranan ibu bapa dalam membina dan membentuk akhlak
anak-anak adalah cukup besar. Dulu kita dimomokkan dengan kata-kata, anak-anak
umpama sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sayang sekali, pada
masa ini, meski corak yang dijalin ibu bapa sudah cantik, ada banyak unsur
kotoran yang boleh menjadi nista pada sehelai kain putih. Atas, bawah, kiri dan
kanan anak-anak kita cabaran dan dugaan datang dalam pelbagai bentuk dan rupa.
Oleh itu, ibu bapa perlu melihat kembali cara terbaik
mendidik anak-anak zaman moden, generasi alpha. Pendekatan mendidik anak-anak
mengikut acuan dahulu mungkin tidak sesuai sepenuhnya. Ibu bapa perlu belajar
menimba ilmu keibubapaan. Buku-buku dan bahan bacaan, perkongsian video motivator
dan pakar psikologi, bingkisan kaunselor dan ilmuan harus ibu bapa cakna. Pantaulah
anak-anak. Semaklah aktiviti seharian anak-anak. Ambil tahu kawan-kawan
anak-anak. Luangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menjadikan
diri mereka sebagai rujukan oleh anak-anak. Bersahabatlah dengan anak-anak. Selami
hati dan jiwa mereka.
Hanya ibu bapalah yang dapat menyelamatkan akhlak
anak-anak, kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Guru setia di sisi
membantu, tetapi mana mungkin ranting mampu menyokong dahan, jika batang
pohonnya reput lebih dahulu? Ambillah langkah pertama hari ini, demi masa
hadapan anak-anak yang lebih sempurna dan seimbang, demi modal insan negara
yang berkualiti dari segenap aspek kehidupan.