Lawak Lucah; Sampai Bila Di Kaca Televisyen Malaysia?

Cikgu Muzz
By -
0
 


LAWAK LUCAH; SAMPAI BILA DI KACA TELEVISYEN MALAYSIA?
Engku Muzahadin
 
Lawak, lucu, kelakar, jenaka, lelucon, humor, dan kecindan. Semua perkataan ini mempunyai perkaitan antara satu sama lain, yang pada akhirnya membawa konotasi sesuatu yang menghiburkan. Humor merupakan elemen sosial yang berfungsi serius dalam mempengaruhi keadaan emosi, kognitif, dan tingkah laku manusia (Martin, 2007). Menurut McGhee (2010), humor merupakan alat yang dapat membantu mengurangkan tekanan atau stres. Ahmad Munawar Ismail dan Mohd Nor Shahizan Ali (2011) menyatakan rancangan televisyen merupakan salah satu sumber untuk masyarakat mendapatkan hiburan. Persoalannya, unsur jenaka bagaimanakah yang diperlukan oleh masyarakat Malaysia pada masa ini menerusi program televisyen tanah air?
 
Jika dahulu, sitkom yang sedia dirakam seperti 2+1, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Jangan Ketawa, Kopitiam, Senario dan Spanar Jaya merupakan antara rancangan hiburan komedi yang ditayangkan di stesen televisyen tempatan yang mendapat perhatian majoriti masyarakat di negara ini.  Apabila rancangan komedi ini disiarkan di kaca televisyen selepas rakaman, maka stesen televisyen mempunyai peluang untuk menapis mana-mana kandungan daripada naskhah tersebut yang mungkin mengandungi hal-hal yang sensitif sama ada menyentuh isu politik, sosial, masyarakat, keagamaan, budaya dan gender.
 
Berbeza pada hari ini, rancangan komedi atau humor lebih selesa dijadikan sebagai program realiti dan disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Rancangan ini ditayangkan pula pada waktu perdana yang menunjukkan pada waktu sebegini rancangan televisyen biasanya akan disaksikan oleh pelbagai peringkat umur masyarakat bermula kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan orang yang berusia. Menurut Cascio dan Martin (2011), tidak semua humor adalah baik, kadang kala humor juga boleh membawa impak yang buruk. Oleh itu, timbul persoalan tentang kandungan rancangan komedi yang disiarkan secara langsung ini, tentang sejauh mana impaknya terhadap masyarakat?
 
Siti Norsyahida Mohd A Rashid dan Norfarhana Shahira Rosly (2016) menyatakan sesuatu persembahan hiburan yang ditampilkan oleh penghibur atau pelawak merupakan cerminan masyarakat. Menurutnya lagi disebabkan persembahan disampaikan secara langsung maka implikasi terhadap penonton terutamanya kepada golongan kanak-kanak amat membimbangkan. Justeru, lawak lucah terutamanya amatlah tidak sesuai untuk disajikan dalam rancangan hiburan berbentuk komedi.
 
Namun, malangnya dalam sedekad ini; lawak lucah semakin berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan apabila munculnya pelbagai program realiti khusus untuk pelawak. Lebih malang lawak lucah bukan sahaja sering menjadi pilihan peserta-peserta program lawak yang disiarkan secara langsung bahkan lawak lucah juga sering kali turut dihidangkan dalam majlis anugerah hiburan berskala besar yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen di Malaysia. Sesuatu yang menarik, lawak lucah yang disisipkan secara saduran dalam skrip ketika mengacarakan majlis anugerah juga selalunya terbit daripada bibir pelawak yang muncul daripada program realiti lawak yang diterbitkan oleh stesen televisyen berbayar yang cukup popular di negara ini.
 
Jika diteliti trend semasa, pelawak menjadi pilihan utama stesen televisyen untuk mengendalikan pelbagai program hiburan yang berbeza format. Sama ada rancangan realiti lawak, program realiti nyanyian, program bual bicara hiburan dan rancangan gosip, pelawak dilihat mendominasi kerusi pengacara.  Sayangnya, di platform itu juga ada di antaranya yang selesa dengan lawak-lawak yang mempunyai maksud tersembunyi dan dipercayai sebagai lawak lucah. Terkini, lawak seorang pelawak dalam sebuah program humor di sebuah stesen televisyen berbayar mendapat kecaman ramai. Aksi pelawak tersebut memarut kelapa disifatkan mempunyai maksud tersembunyi dan berbaur lucah. Kecaman demi kecaman membuatkan pelawak tersebut tampil memohon maaf menerusi laman sosial Instagram miliknya dan berita tersebut turut dilaporkan oleh akhbar MyMetro secara dalam talian oleh Sudirman Mohd Tahir yang disiarkan pada 19 Disember 2020.
 
Persoalannya, sampai bila lawak lucah harus dibiarkan memenuhi program-program hiburan di kaca televisyen? Apa pula peranan kementerian berkaitan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia? Bagaimana pula tanggungjawab persatuan hiburan seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dalam menangani isu lawak lucah dalam kalangan pelawak-pelawak yang wujudnya ‘bersepah’ dalam industri hiburan tempatan? Ini bukan kali pertama isu lucah dalam kalangan pelawak menjadi buah mulut masyarakat. Acap kali isu sebegini timbul, pelawak berkenaan akan tampil membuat permohonan maaf menerusi media sosial masing-masing, kemudian akhbar akan membuat liputan. Selanjutnya, isu tersebut terus dilupakan. Sedarkah, permohonan maaf tidak boleh memadam kembali impak lawak lucah yang sudahpun meresap ke dalam fikiran penonton khususnya kanak-kanak dan remaja? Menurut Vogler (2011), humor yang terjadi dalam bentuk ejekan, sindiran dan cacian memberi keburukan kepada hubungan sosial antara individu.
 
Mungkin ramai yang tidak sedar, namun pengaruh program lawak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja cukup besar. Ucapan yang keluar daripada bibir pelawak dan aksi-aksi yang dipertontonkan amat mudah ditiru oleh golongan kanak-kanak dan remaja ini. Di sekolah misalnya, guru-guru terpaksa berhadapan dengan ayat-ayat mempunyai maksud lucah yang kebanyakannya diinspirasikan menerusi program hiburan berunsur humor yang ditonton mereka. Lebih serius lagi, golongan muda ini amat menyanjung lawak-lawak sedemikian dan menganggap lawak lucah sebagai perkara yang remeh. Amat parah sekali, apabila teguran yang diberikan oleh golongan agama seperti pendakwah bebas terhadap kandungan lawak bersadur lucah ini turut dihentam oleh golongan muda-mudi dengan selaran berfikiran sempit dan sengaja mencari kesalahan.
 
Pengendali akaun Trivia Artis Malaysia di Instagram turut membicarakan isu lawak lucah ini. Malah pengendali akaun tersebut turut mempersoalkan cukupkah sekadar permohonan maaf, dan apakah tindakan yang serius perlu dikenakan kepada pelawak mahupun stesen televisyen yang menerbitkan program berkenaan? Dalam hal ini pihak berkuasa melalui kementerian dan agensi berkaitan perlu cakna dan mengambil tindakan yang serius secara drastik. Kompaun dan penggantungan kemunculan dalam acara siaran langsung misalnya boleh menjadi antara hukuman yang boleh memberi amaran kepada stesen televisyen dan pelawak yang terlibat dalam sesebuah program hiburan untuk lebih berhati-hati dalam menyediakan kandungan hiburan yang lebih bermoral.
 
Kesimpulannya, stesen televisyen perlu cakna akan tanggungjawab moral kepada masyarakat tanpa mengutamakan rating dan keuntungan semata-mata. Kementerian dan agensi berkaitan harus serius memantau kandungan program hiburan yang disiarkan oleh stesen televisyen sama ada stesen televisyen percuma atau berbayar. Tambahan lagi, pelawak sendiri perlulah lebih kreatif, membuat pembacaan dan menggali idea yang lebih ilmiah dalam menyalurkan hiburan sambil mendidik masyarakat secara amnya. Kritikan yang diberi oleh masyarakat perlu diterima dengan hati terbuka, khususnya melibatkan pelawak itu sendiri. Hal ini demikian kerana tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Pelawak seharusnya lebih berhati-hati dan ambil pengajaran daripada insiden disenarai hitam yang pernah dikenakan kepada beberapa artis dan selebriti ekoran terpalit dalam kontroversi seumpama ini. Konklusinya, gunalah platform hiburan bukan semata-mata membuat penonton ketawa kosong, tetapi didiklah sama, hati dan minda masyarakat melalui kandungan hiburan yang bermanfaat.
 
RUJUKAN
Ahmad Munawar Ismail & Mohd Nor Shahizan Ali. (2011). Media Penyiaran: Implikasinya dalam Pembentukan Akhlak Penuntut-penuntut Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan di Malaysia. Akademika, 81 (3), 3-8.
 
Cascio, T., & Martin, L. L. (2011). House and psychology: Humanity is overrated. Hoboken, NJ: John Wiley & Sons, Inc.
 
Martin, R. A. (2007). The psychology of humor: An Integrative Approach. Burlington, USA:Elsevier.
 
McGhee, P. (2010). Humor as survival training for a stressed-out world: The 7 Humor Habits Program. Bloomington, Indiana: Author House.
 
Siti Norsyahida Mohd A Rashid, & Nurfarhana Shahira Rosly. (2016). Unsur Humor Dalam Rancangan Televisyen Popular. Jurnal Kesidang Jilid 1: 154 – 172.
 
Vogler, W. B. (2011). Humor and work: toward a more contextual understanding of humor in the workplace (Doctoral Dissertation). Available from ProQuest Dissertation and Theses. (UMI No. 3481650).

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!