Peribahasa Dalam Ayat Penegasan Perenggan Isi Karangan Yang Wajib Anda Tahu

Cikgu Muzz
By -
0
 


Kadang-kadang, dalam sebuah penulisan karangan, murid sukar untuk menyelitkan peribahasa. Ada dua situasi yang menyebabkan perkara ini terjadi. Pertama, murid sememangnya kurang mahir dan kurang pengetahuan tentang peribahasa. Keduanya, murid tidak dapat menyesuaikan peribahasa yang sedia tahu dengan situasi. atau ayat yang ditulis dalam sesebuah perenggan isi.
 
Apabila berhadapan dengan keadaan sebegini, ada dua jenis jawapan calon yang biasa dibaca oleh cikgu. Contoh jawapan pertama, murid tidak memaksa diri menulis peribahasa dalam perenggan isi tersebut lantaran kurang pasti. Contoh jawapan kedua, murid masih menulis peribahasa yang diketahui olehnya tanpa mengetahui kesesuaian peribahasa tersebut dengan konteks ayat yang ditulis.
 
Antara dua contoh jawapan tersebut, mana satukah yang lebih baik? Sudah pasti yang pertama. Lebih baik tidak sembarangan menulis peribahasa sehingga mengakibatkan kesalahan bahasa. Apatah lagi menulis peribahasa itu bukanlah wajib ada dalam setiap perenggan yang ditulis dalam peperiksaan SPM.
 
Namun, cikgu tahu bahawa sebagai murid yang cemerlang. Ya, andalah murid cemerlang. Sudah tentu anda yang sedang membaca catatan cikgu ini tergolong dalam kategori cemerlang kerana ingin menambah baik ilmu mengarang yang dimiliki. Oleh itu, bagi anda yang mengejar kecemerlangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM, anda boleh menghafal beberapa peribahasa Melayu khusus untuk ditulis dalam ayat penegasan dalam perenggan isi.
 
Caranya cukup mudah. Gabungkan sahaja peribahasa dan ayat penegasan perenggan isi; bak kata pepatah sambil menyelam minum air; dapat dua dalam satu. Menulis ayat penegasan menunjukkan kematangan penulisan dalam karangan; dapat pula peribahasa diselitkan sekali; bukankah bertambah lengkap pakejnya?
 
Berikut merupakan peribahasa yang sering digunakan dalam ayat penegasan perenggan isi:
Sudah terang lagi bersuluh
Bulan kian terang, bayang kian jelas
Ibarat layar telah terbuka, sauh telah diangkat
 
Seterusnya, cikgu kongsikan cara menulis ayat penegasan menggunakan peribahasa-peribahasa tersebut:
  • Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa budaya membaca dapat melahirkan generasi yang cakna akan pelbagai isu semasa yang berputar dalam landskap kehidupan seharian sekali gus menidakkan diri menjadi individu persis katak di bawah tempurung.
  • Ibarat layar telah terbuka, sauh telah diangkat budaya membaca terbukti membuka minda remaja dengan seribu satu ilmu pengetahuan yang sangat berguna dalam menjadi watan berkualiti di negara kita kerana bangsa membaca bangsa berjaya. 
  • Sudah terang lagi bersuluh aktiviti membaca merupakan salah satu inisiatif unggul dalam memanfaatkan masa dengan bijak sejajar dengan ungkapan masa itu emas sekali gus dapat mencanai kepentingan membaca yang berharga persis mutiara di dasar lautan. 

Semoga membantu dan bermanfaat. Kongsi kepada yang lain jika ilmu ini membantu anda.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!