Novel Justeru Impian di Jaring mengisahkan perjalanan hidup seorang pemain badminton skuad kebangsaan bernama Syahir. Dia merupakan pemain yang bercitacita tinggi dan dapat mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Namun, dia menghadapi rintangan untuk merealisasikan matlamatnya itu apabila pihak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) telah membuat keputusan mengejut, iaitu semua pemain perlu menyertai Kejohanan Terbuka Johor sebelum layak mewakili negara ke Jakarta. Hal ini bertentangan dengan peraturan sedia ada sebelum ini, iaitu pemain yang mewakili negara akan ditentukan berdasarkan ranking dunia. Oleh itu, para pemain akan bersaing sesama sendiri bagi melayakkan diri ke Jakarta nanti.
Keputusan pihak PBSM ini bertentangan dengan kenyataan Engku Aiman dalam laporan akhbar perdana pada minggu lepas. Beliau tidak mahu peristiwa di Birmingham dan di Tokyo berulang sekali lagi. Haji Marzuki dan Mas Suparman adalah antara jurulatih yang banyak terlibat dalam melatih para pemain skuad kebangsaan. Haji Marzuki banyak memahami masalah yang terpaksa dihadapi oleh Syahir. Jurulatih ini telah banyak memberikan kata-kata perangsang kepada Syahir agar dia terus bersemangat untuk berlatih dan berjaya mewakili negara. Walaupun Haji Marzuki tidak bersetuju dengan keputusan pihak PBSM yang mengamalkan sikap pilih kasih, tetapi dia masih yakin para pemainnya seperti Syahir, Bernard, Gopinath, Kam Heng, dan Wan Najlan dapat menerima hakikat tersebut dengan tenang, rasional, dan tidak mengambil keputusan yang terburu-buru. Syed Amiri merupakan rakan Syahir dalam skuad kebangsaan yang sering menyindir Syahir dengan gelaran ‘ustaz selebriti’. Panggilan itu kurang disenangi oleh Syahir tetapi dia tetap tabah menerima hakikat tersebut.
Pada masa yang sama, Syed Amiri sering memandang rendah terhadap keupayaan Syahir untuk melayakkan diri ke Jakarta. Mujurlah Haji Marzuki selalu menenangkan Syahir agar sentiasa berpandangan positif kerana dia yakin Syahir memiliki kelebihan yang jarang-jarang dimiliki oleh pemain lain. Tindakan Engku Aiman mengungkit kekalahannya kepada pemain China suatu masa dahulu di hadapan teman-teman selatihan dan pengurus pasukan negara, Dr. Asyraf terang-terangan menzahirkan sikapnya yang sebenar terhadap Syahir. Engku Aiman kerap memuji Syed Amiri yang disifatkan paling meningkat kebelakangan itu berbanding dengan pemain-pemain lain. Semasa pulang ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, Syahir sempat menemani emaknya ke pasar malam untuk membeli juadah berbuka puasa. Pada malam itu, keadaan menjadi cemas apabila Syahir mendapati emaknya terbaring lemah dalam keadaan masih bertelekung di atas katil. Pemergian Syahir ke Johor penuh dengan cabaran. Dia sentiasa terfikir akan kesihatan emaknya, namun mujur ada Kak Uda yang memberikan jaminan bahawa emaknya cuma lemah sedikit dan tidak perlu dirisaukan. Haji Marzuki pula tidak dapat bersama-sama pergi ke Johor kerana belum pulih daripada demam selesema. Pada masa itu juga Syahir telah dikejutkan dengan tersiarnya gambar dia bersamasama dengan Ratna yang dikatakan ada hubungan istimewa dengannya. Syahir terkejut kerana pada masa itu, mereka bergambar beramai-ramai dan bukannya berdua.
Pada peringkat suku akhir, Syahir telah bertemu dengan Syed Amiri. Pada masa itu, dia mendapat tentangan yang cukup hebat daripada Syed Amiri di samping sorakan penyokong Syed Amiri yang hebat kerana Syed Amiri ialah pemain dari negeri itu. Dalam perlawanan itu, beberapa keputusan pengadil perlawanan lebih berpihak kepada Syed Amiri menyebabkan Syahir berasa tertekan dan tidak boleh mengawal permainannya. Akhirnya, Syahir tewas di tangan Syed Amiri dan dia gagal mewakili negara ke Jakarta. Syahir dibenarkan pulang ke rumah. Emaknya meminta dia menemaninya untuk pergi ke rumah Mak Usu Sapiah di Seremban. Semasa di Seremban, Haji Marzuki menelefon Syahir lalu mengatakan bahawa Gopinath terlibat dalam kemalangan dan mengarahkan Syahir segera kembali ke kem latihan. Syahir dipilih untuk menggantikan Gopinath untuk bersaing di Jakarta. Syed Amiri menyindir Syahir dengan mengatakan bahawa Syahir perlu sujud syukur kerana dapat mewakili negara.
Sebelum pergi ke Jakarta, sekali lagi Syahir berhadapan dengan dugaan apabila, dia telah menerima berita tentang emaknya yang terlantar di hospital kerana menghidap strok. Hatinya berbelah bahagi sama ada hendak meneruskan hasrat ke Jakarta ataupun menjaga emaknya yang sakit. Pada masa yang sama, sakit pada bahagian perutnya semakin kerap terasa. Syahir melakukan solat hajat dan solat istikharah agar diberi petunjuk dalam membuat keputusan pada detikdetik getir itu. Kak Uda memberitahu bahawa emaknya sudah beransur pulih dan menasihatinya agar pergi ke Jakarta. Sebelum berangkat, Syahir sempat singgah di hospital untuk menjenguk emaknya.
Di Jakarta, Syahir dapat mengharungi cabaran pada peringkat awal apabila berjaya mengalahkan pemain dari Korea Selatan, iaitu Kim Joo Hyun. Seterusnya, dia menewaskan pemain muda dari China, Xiang Yimou. Menjelang tengah hari semua pemain diwajibkan menjalani ujian air kencing yang diadakan secara tiba-tiba. Pada peringkat ketiga, Syahir juga berjaya menundukkan Eddy Heryanto, pilihan ketiga belas yang juga pemain tuan rumah.
Akhirnya, Syahir berjaya mara ke peringkat akhir setelah berjaya menumpaskan pemain dari China. Syed Amiri yang dicanangkan sebagai juara itu telah kecundang pada peringkat separuh akhir. Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba apabila Syahir berjaya melangkah ke peringkat akhir dan dijadualkan bertemu dengan pemain tuan rumah, iaitu Andri Mirnawan. Haji Marzuki dan Mas Suparman mempunyai perancangan tersendiri kerana mengakui memang sukar untuk menumpaskan pemain tuan rumah tersebut. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan Andri Mirnawan. Semasa majlis penyampaian hadiah, Syahir hampir rebah lalu dikejarkan ke hospital. Dia telah disahkan menghidap radang apendiks dan dibedah di sana. Setelah pulang ke Malaysia, Syahir ke hospital untuk menemui emaknya. Kini, dia telah bergelar juara dunia dan berazam untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik.
thank youuu ,i finished my sinopsis now
ReplyDelete