Guru Perlu Guna PAK21 Semasa PdPR; Standard 4 SKPMg2 Perlu Dijadikan Penilaian

Cikgu Muzz
By -
1

 


Pengajaran dan pembelajaran di rumah atau istilah ringkasnya PdPR bukan suatu perkara yang asing lagi di Malaysia sejak Mac 2020. Pandemik Covid-19 bukan sahaja mengubah landskap pendidikan di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Penularan virus Covid-19 yang menjengah gelombang ketiga kini, sekali lagi memaksa Kementeria Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menutup semua operasi sekolah yang sepatutnya bermula pada 20 Januari untuk edisi 2021.

Pelaksanaan PdPR meskipun terbatas daripada pelbagai aspek, namun tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk guru menjadi pasif dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Bekerja dari rumah meskipun dipandang sinis oleh masyarakat dan pelbagai sindiran tajam dilontarkan kepada warga pendidikan, namun guru tetap berjuang sedaya upaya dalam landasan kemampuan masing-masing dalam memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak didik.

Bagi menjadikan PdPR lebih interaktif, berlaku dalam dimensi komunikasi dua hala dan dalam masa yang sama mendukung norma pendidikan abad ke-21 (PAK21), guru perlu membuka minda dengan lebih luas dalam merancang langkah pengajaran. Pada hari ini, kita melihat guru-guru begitu proaktif dan berusaha sedaya mungkin untuk mendalami ilmu teknologi dalam menghasilkan pelbagai medium pengajaran berbantukan ICT. Media melaporkan guru sanggup berbelanja untuk menyediakan studio pengajaran, layar hijau untuk rakaman, kamera berkualiti tinggi, sisitem rakaman dan bunyi dan lain-lain. Situasi ini sememangnya bagus, namun ini tidak mewakili keseluruhan hampir 500 ribu orang pendidik di Malaysia.

Bagaimanakan caranya untuk menjadikan PdP lebih berkualiti dan bermakna meskipun dalam keterbatasan teknologi? Di sinilah peranan PAK21 dapat dimainkan. Meskipun PdP pada masa ini berlaku secara tidak bersemuka dan murid berada di kediaman masing-masing, namun aktiviti berkumpulan masih boleh dilakukan. Pembentangan masih boleh berjalan. Kolaboratif bersama para murid dalam kumpulan kecil masih boleh diwujudkan. Komunikasi secara langsung sama ada secara verbal atau bukan verbal masih boleh dilaksanakan. Pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan murid masih boleh dirangsang. Malah pembinaan karakter dan menyuntik nilai kewarganegaraan dalam kalangan anak bangsa masih boleh diimplementasikan.

Dalam menterjemahkan semua cadangan ini, guru perlu bersandar kembali kepada Standard 4 dalam SKPMg2. Setiap rubrik dalam Standard 4 SKPMg2 sebenarnya membantu guru untuk menilai keberkesanan PdP yang dijalankan. Jangan jadikan penilaian dalam Standard 4 SKPMg2 sebagai alat untuk menghukum diri, sebaliknya jadikannya sebagai wadah untuk menilai dan menambah baik kualiti dalam PdP yang dijalankan.

Ya, ada banyak kekangan yang sudah timbul. Bahkan banyak lagi halangan yang pasti akan muncul. Namun itulah hakikat. Hidup tidak pernah padam dengan ujian. Buat semua guru ini adalah perjuangan. Suatu perjuangan untuk menyebarkan ilmu mesti kaki dan tangan kita diikat di dalam kediaman kita masing-masing. Ingatlah ketajaman akal dan kebitaraan ilmu tidak pernah terpenjara sama sekali, gunakanlah kelebihan ini untuk terus menyebarluaskan ilmu dalam pelbagai wadah kerana kitalah guru, selagi nadi kita berdenyut memberi itu sudah sebati dengan diri.


Post a Comment

1Comments

  1. AnonymousJuly 11, 2021

    Apakah cadangan aktiviti pak-21 yang boleh dilaksanakan semasa pdpr?

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!