Judul: Prince Charming
Penulis: Ratu Bulan
Penerbit: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Tahun: Cetakan Kesembilan 2012
Bilangan Halaman: 496 muka surat
Ulasan:
Apa yang boleh dikatakan tentang novel ini? Kisahnya
berkisarkan budak-budak sekolah. Ceritanya ringkas saja. Ahli rasmi Kelab Bola
Sepak sekolah yang popular dan digilai murid-murid perempuan di sekolah. Dan
keterlibatan seorang anak gadis remaja dalam kumpulan lelaki popular ini. Ini
sahaja inti pati novel setebal 496 halaman ini. Tidak banyak konflik. Tak
banyak perumitan. Cuma ada persoalan yang sering kali hadir tanpa jawapan yang
pasti. Tetapi akhirnya segala persoalan akan terlerai juga. Prince Charming
mengisahkan Nurul yang terlibat sebagai pengurus pasukan Kelab Bola Sepak
sekolah. Dan antara ahlinya yang paling popular tentu sekali Rezza, Fiq,
Nazrul, Hayrul dan Najmi. Pelbagai karenah mereka disajikan dalam plot cerita
ini. Ada ketikanya boleh meletus tawa. Dan sedikit-sebanyak terselit juga kisah
cinta monyet yang sering dimomokkan dalam kalangan pelajar sekolah.
Sejujurnya novel berkisarkan cinta zaman sekolah
memang kurang saya gemar. Tetapi lantaran ada yang mencadangkan kisah ini
tambahan dengan label terlaris di kulit hadapannya, maka tidak salah untuk
dicuba. Mungkin ada yang boleh terima cerita sebegini. Tetapi bagi pandangan
peribadi, saya lebih gemarkan cerita yang realistik. Selalunya, seseorang
pembaca akan membayangkan sesuatu pabila membaca novel. Tidak kisah, sama ada
yang dibayangkan itu pelakon, latar atau seumpamanya. Dan apabila membaca karya
ini, apa yang saya bayangkan adalah sinetron Indonesia. Kerana tanah seberang
itu memang selalunya akan hadir dengan telenovela yang lebih kurang gaya inti
pati novel ini. Apapun selera masing-masing berbeza. Ini sekadar pandangan
peribadi. Kalau mahu tahu apa rasa sebenarnya, silalah mencari novel ini di
toko buku berhampiran!
Kesimpulan:
★★★