Resensi Novel Aku Bukan Billy Milligan Karya Norhayati Berahim

Cikgu Muzz
By -
0
 

Judul: Aku Bukan Billy Milligan
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Tahun: Cetakan Kedua Mei 2010
Bilangan Halaman: 770 muka surat
 
Ulasan:
Karya kedua yang saya sempat baca nukilan novelis Norhayati Berahim sesudah Menunggu Kereta Api. Makin mencanak minat kepada gaya penceritaan beliau. Berisi. Tidak seperti tin yang kosong, bunyinya sahaja lebih. Sebenarnya, agak sukar saya melihat karya terbitan NB di rak toko-toko buku popular atau sememangnya mata ini sudah juling kerana terlalu banyak novel yang diterbitkan sejak dua menjak ini. Bayangkanlah jika dahulu sesebuah penerbitan hanya mengeluarkan paling banyak sekalipun dua buah karya dalam tempoh waktu sebulan. Dan ketika itu berapa sangatlah syarikat penerbitan karya pop yang hidup di negara ini! Tetapi lihat pada hari ini, begitu banyak syarikat penerbitan novel yang muncul. Ada pula diusahakan oleh novelis itu sendiri. Dan setiap penerbitan paling tidak sekalipun menerbitkan dua atau tiga buah novel dalam satu bulan. Maka, tidak mustahillah jika sesetengah karya itu terlepas pandang.
 
Judul naskhah ini Aku Bukan Billy Milligan. Mencuri pandangan ketika mengunjungi Pustaka Mukmin di Jalan Tunku Abdul Rahman sekitar penghujung tahun sudah. Agak lama terperam sebelum dipilih mengisi santapan mata. Biarpun sudah hampir dua tahun diterbitkan, tetapi bisanya masih boleh menular ke keseluruhan jasad pembaca. Masakan tidak? Dari suatu halaman ke halaman yang lain tidak ada istilah bosan sama sekali. Pengadunannya begitu mengena. Jika dalam Menunggu Kereta Api, fikiran disajikan dengan ilmu baharu seperti dialek Kelantan dan Negeri Sembilan serta adat dan budaya masyarakat di dua buah negeri itu secara sepintas lalu, kali ini ada beberapa kosa kata pula menjadi khazanah kata yang mengisi pemahaman. Awalnya, judul ini menimbulkan tanda tanya. Sejujurnya tidak pernah kenal dengan insan yang bernama Billy Milligan sehinggalah menemui novel ini.
 
Kisah setebal 770 halaman ini dibangunkan dengan elemen kesusahan, kesukaran, kesempitan dan kemiskinan hidup dalam meniti zaman kanak-kanak baik bagi watak utama lelakinya mahupun buat watak utama wanitanya. Adam dan Laura. Masing-masing punya sejarah zaman kecil yang tidak seindah mana untuk dicanang buat pendengaran isi dunia. Namun, kesukaran itu tidak menjadi sebab musabab untuk mereka menempuh masa hadapan dengan tiket kegelapan. Bahkan penderitaan ketika kecil itulah yang mengajar Adam dan Laura untuk berusaha membela nasib diri masing-masing sehingga boleh berjaya dalam kerjaya masing-masing.  Adam dengan gelaran pemain dan penganalisa saham yang terkemuka dalam usia muda sehingga bergelar hartawan. Juga Laura yang boleh berbangga dengan perniagaan menguruskan hartanah yang diusahakan bersama temannya, Raudah.
 
Kedua-dua insan ini dipertemukan oleh penulis dalam situasi jual beli sebuah banglo yang diberikan nama Teratak Alam. Bertukar tangan daripada Richie kepada Adam, Laura yang menguruskannya sudah jatuh sayang terhadap kediaman itu. Kata orang ucapan di bibir itu boleh jadi doa. Mungkin lafaz yang sering meniti di bibir Laura yang mengagumi binaan Teratak Alam juga anganan yang kadang kala singgah di mindanya untuk memiliki kediaman seperti itu akhirnya berjaya menjadi kenyataan di hujung kisah. Suatu sisi peribadi Laura yang patut dicontohi adalah keringanannya untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Laura membantu Richie yang kemurungan. Dia juga menghulurkan tangan tatkala Julie berdepan dengan masalah penderaan rumah tangga. Malah, Laura jugalah yang berkongsi simpati bersama Pak Sohot, iaitu ayah kandung Adam.
 
Menerusi novel ini, penulis berjaya menampilkan sebuah watak yang mempunyai pelbagai perwatakan. Lelaki yang digelar beku seolah ketulan ais. Yang mempunyai perwatakan yang sukar dijangka. Kadang kelihatan tenang. Ada masa dilihat tegang dan berang. Mulutnya berbisa dengan kata-kata yang boleh membelah jiwa yang mendengar. Tajam sekali tutur bicaranya. Seringkali meletak prasangka terhadap insan lain.  Tetapi dalam masa yang sama, dia juga boleh melayan dengan baik insan-insan yang pertama kali ditemuinya seperti Mak Cik Eton juga Hakim yakni ibu dan adik Laura. Dia juga boleh menjadi seorang lelaki yang romantis yang boleh tahan miangnya. Malah dia juga bisa menghulur dan menerima kemaafan juga. Siapakah dia? Dialah Adam yang digelar Billy Milligan oleh Laura!
 
Kesimpulan:
★★★★★

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!