Judul: Dia Lebih Mengerti
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Tahun: Cetakan Ke-19 Julai 2011
Bilangan Halaman: 527 muka surat
Ulasan:
Saat selesai menyudahkan
pembacaan novel ini, ada pelbagai rasa yang bertamu di ruang hati. Sebagai
seorang manusia biasa, sememangnya kita tidak lekang daripada kelalaian. Lalai
daripada tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai seorang anak, tanggungjawab
sebagai seorang suami dan isteri, tanggungjawab sebagai seorang ibu dan ayah
dan lebih penting daripada segalanya adalah tanggungjawab kepada pencipta. Ya,
sedar tidak sedar sememangnya kita sering kali alpa dalam menunaikan
tanggungjawab kepada Tuhan yang mencipta kita. Sedangkan setiap insan yang
berakal itu lebih daripada tahu, bahawasanya diciptakan jin dan manusia itu
tidak lain dan tidak bukan melainkan sujud dan mentaati segala perintahNya.
Dia Lebih Mengerti, memaparkan kisah seorang wanita
yang memegang gelaran isteri dan ibu, tewas dalam perjalanan hidup menuju
pengabdian kepada penciptanya. Seorang wanita berbangsa Cina yang memeluk Islam
untuk berkahwin dengan seorang lelaki Melayu. Dialah yang dinamakan dengan
Asmah. Suatu nama yang indah maknanya. Tetapi apakah dinamakan indah jika
memeluk Islam itu semata-mata kerana sebuah perkahwinan sahaja? Jawabnya tentu
sekali tidak. Datuk Idris yang berjaya menambahkan seorang lagi umat Muhammad
lupa bahawa tidak cukup sekadar melafaz syahadah untuk menjadi seorang Muslim
yang sejati. Lalu terabailah isteri yang baharu memegang gelaran saudara baru
itu. Terabai daripada meladeni Islam dalam erti kata sebenarnya sehingga ke
akar tunjang.
Asmah. Seorang wanita yang rupawan. Pernah menjuarai
pertandingan Ratu Cantik. Angkuh dengan keindahan ciptaan yang dipinjamkan
Tuhan kepadanya. Tidak menutup apa yang wajib pada tubuh badannya. Sebaliknya
bangga mempertontonkan aset yang dimiliki kepada khalayak buat dijamu mata.
Suami tidak dihormati. Apatah lagi untuk melayan dan menjaga makan, minum dan
pakaiannya. Malah sanggup bertindak untuk cuba menggugurkan anak kedua
yang bernyawa dalam rahimnya semata-mata untuk menjaga kondisi tubuh badan yang
sedia ada. Itulah anak yang dinamakan Umairah, watak utama di dalam novel
dengan ketebalan 527 halaman ini. Umairah yang penuh kelembutan. Dan ada
masanya menampakkan ketegasan. Umairah yang baik hati. Umairah yang suci
hatinya dari dendam. Umairah yang pemaaf. Dan Umairah yang dicintai oleh Syed
Abid Syed Ahad.
Umairah yang lahir tidak cukup
bulan diserahkan kepada datuk dan nenek untuk dibesarkan. Dibeza-bezakan diri
Umairah itu dengan kakaknya Amy Natasha. Umairah tidak mendapat kasih sayang
seorang ibu. Pabila bersua muka, ada sahaja lahar bicara yang terluah dari
bibir Asmah sebagai hadiah pertemuan dengan anak gadis bongsunya itu.
Kata-kata yang umpama duri itu sudah terbiasa di pendengaran Umairah.
Sama ada yang melontarkannya itu adalah ibu atau kakak kandungnya sendiri.
Semua itu sudah menjadi sebu lantaran didengar acap kali. Tetapi segalanya
berubah dengan suatu tragedi. Umairah mula membina perhubungan dengan ibunya
itu. Umairah berusaha mengubah Asmah menjadi seorang Muslimah sejati. Umairah
sempat membimbing Asmah untuk menutup aurat. Umairah memperdengarkan
kisah-kisah teladan dalam sejarah Islam sebagai panduan buat Asmah. Semuanya
berlaku dengan suatu tragedi. Tragedi dalam keluarga Umairah yang perlu kalian
selami sendiri intinya melalui kudapan isi cerita.
Ringkasnya, Norhayati Berahim berjaya mengetuk tangkai
hati ini bahawa betapa besarnya keagungan Tuhan itu. Sebagai seorang Muslim
sememangnya kita mengakui kebesaran Tuhan. Tetapi dalam masa yang sama kita
juga kadang-kadang perlakukan sesuatu perbuatan yang seolah-olah menidakkan
hakikat itu. Asmah sedar bahawa dirinya diciptakan Tuhan daripada tanah. Tetapi
dirinya terlalu angkuh menongkat langit sedangkan sepasang kakinya masih lagi
berpijak di tanah bumi. Dia tidak sujud kepada Tuhannya. Dia tidak endah akan
segala suruhan yang diperintahkan dalam agama yang dianutinya. Malah dia juga
merosakkan anak sulungnya dengan didikan yang tidak sempurna. Sehinggakan Amy
Natasha mewarisi segala perangai buruk yang dimiliki ibunya bahkan menjadi
teruk lagi. Lalu apakah yang ditunjukkan kepada seorang wanita yang bernama
Asmah itu? Kematian dengan tangan anak sendiri. Ajal yang seksa. Sedangkan
ketika itu anak yang dikandungkan sembilan bulan sekadar memerhati tanpa
sebarang rasa. Namun, saat-saat terakhir itu Asmah masih mampu tersenyum. Kerna
dia sudah mengemis maaf kepada Tuhan juga kepada insan yang telah dia lukakan
dalam khilaf tanpa kesedaran.
Ringkasnya, seperti dua tiga karya Norhayati Berahim
yang dibaca sebelum ini, karya ini juga berisi. Dalam pada terselit hiburan
sebagai bahan bacaan waktu senggang, di dalamnya terisi pengajaran yang begitu
bermakna buat makanan jiwa yang dahagakan kebenaran. Sesungguhnya karya yang
terbaik itu bukan sahaja berupaya membuatkan bibir menyulam tawa dan mata
menangis hiba, bahkan lebih dari itu, akan menjadi lebih bermakna seandainya
sesebuah penulisan itu mampu menyentuh naluri setiap roh yang sedang
membaca. Sejujurnya, kesedaran itu perlu dicari. Dan sebagai manusia yang kejadiannya
sering lupa, amat wajar untuk kita mencari hakikat kejadian insani. Lalu
ketahuilah walau dengan bacaan novel jua, kadang-kadang hati boleh berdetak
kencang. Jiwa bisa luluh dan goncang. Kalbu akan tersentuh walang. Saat
mata menjamu hidayah yang selama ini bersawang.
Kesimpulan:
★★★★★