Baru-baru ini saya ada terbaca satu perkongsian tentang redeployment. Tajuk catatan itu sahaja digarap cukup menarik untuk menjadi daya penarik warga guru membaca keseluruhan isi kandungannya. ‘Ketakutan Bagi Kebanyakan Guru Adalah Redeployment’
Menurut catatan dalam penulisan tersebut redeployment membawa beberapa manfaat kepada guru itu sendiri, antaranya;
- Suasana dan mood kerja baharu
- Rakan kerja yang baharu
- Sentiasa mahu mencuba dan mahu belajar
- Bertambah kemahiran
- Mental lebih sihat, emosi lebih stabil
- Identiti profesional dibina
- Kurang terlibat dengan politik dalaman
- Membina jaringan profesional yang lebih luas
Apa pandangan
anda? Setuju dengan manfaat redeployment yang dikongsikan di atas?
Dalam maklum balas kepada perkongsian tersebut ramai dalam kalangan guru juga suka untuk berpindah dan tidak takut akan redeployment. Ada yang setuju dengan redeployment dan ada juga memberi pandangan sebaliknya yang dirasakan merupakan pandangan yang releven juga.
“Baguslah tu, duduk lama-lama dalam satu sekolah bukan berkembang otak. Kenalan pun tak ramai. Bagus buat redeployment ni. Jadi tak acah-acah jadi otai. Tapi jangan pula dah nak pencen setahun dua kena redeployment. Kasihan orang tu dan kasihan orang yang nak sambut dia di sekolah baharu”
“Okay je redeployment. Namanya kerja. Ambil peluang utuk terus belajar perkara baharu, suasana baharu dan kawan baharu. Kan seronok tu.
“20 tahun di sekolah yang sama pun tak ada masalah, sebab guru lain pun keluar masuk. Kita yang mencorakkan persekitaran kita, jika yang baru masuk bawa perubahan/inovasi baru, kita berlapang dada. Cuma, kita cerita kenapa sebelum ni begitu begini (sebelum yang baru lakukan perubahan/inovasi). Jadi mereka akan nampak apa sebabnya. Jika lebih baik, teruskan. PGB sebelum ni masa mula-mula masuk sekolah, dia boleh jumpa 3 point paip bawah tanah yang bocor/leaking, dia boleh selesaikan masalah tangki air fiber bocor (yang tak boleh diselesaikan oleh PGB sebelumnya). PGB yang terkini lagi hebat, memacu ke arah sekolah inspirasi, anugerah audit baik tanpa teguran dan anugerah audit cemerlang. Guru-guru muda yang baru masuk, membawa team murid ke peringkat antarabangsa, kebangsaan dan lain-lain dengan semangat membara. Pindah atau kekal dua-dua baik. Wallahualam.
Buktinya beberapa guru dari sekolah saya yang kena redep. Ada yang pertukaran setara dan ada juga yang bertukar sebab naik pangkat. Bila ada rakan guru yang berkaliber, sangat komited dengan kerja, tak berkira dengan guru-guru lain soal kerja atau hal ehwal sebagai rakan setugas, sentiasa positif dalam memberi dan menerima idea dan pendapat, boleh bekerjasama dalam satu pasukan, dan pelbagai perkara positif yang lain, memang rasa sedih dan berat sangat untuk melepaskan. Jadi, ini buktinya tak semua yang kena redep tu bermasalah, ada guru yang kena redep tu rakan-rakan di sekolah lamanya tak nak lepaskan sebab wujudnya dia di sana bagaikan permata.

