Judul: His Hidden Bride
Buku Acik Lana, tak perlu baca blurb; terus boleh disambar sahaja karyanya, sebab penulis feberet. Hahaha. Cuma tajuk kena perhati, sebab sejak dua menjak ni ada buku edisi revamp dan terbit semula. Rasanya kalau edisi kemas kini ini memang tak belilah kot kalau dah ada edisi yang lama.
Agak tebal novel berwarna hitam ini; tajuknya dalam bahasa Inggeris, His Hidden Bride, kalau translate bunyinya pengantin perempuannya yang tersembunyi. Lebih kuranglah.
Novel ni dia ada beberapa fasa dalam menghabiskan bacaannya. Fasa pertama hari first baca sampailah muka surat 500 lebih tengah seronok, tiba-tiba ada muka kosong tak bercetak. Banyak pula tu selang-selang. Terus terhenti bacaan. DM dekat seller di Shopee. Seller contact Acik Lana. Tunggu dekat 10 hari lebih senyap; kita tanya seller balik. Kemudian, tunggu lagi. Lepas tu saja try nasib cari contact Acik dan cuba WhatsApp. Acik reply dan memang dalam makluman dia tentang isu buku ni. Acik cakap akan gantikan, tunggu kurier proses. Dalam pada terhenti bacaan fasa pertama tu, kita pun bacalah buku lain yang dah beli 3 tahun lepas. Alamak! Buku ni seriuslah (tunggu review lepas ni). Rosak terus mood baca.
Masuk fasa kedua bacaan lepas buku ganti sampai, mestilah dah mood swing sebab ada fasa terhenti lama di tengah-tengah bacaan kan? Tak apa kita habiskan bacaan; lagipula ada beberapa persoalan yang masih tergantung dalam kotak minda tentang plot dan subplot yang belum terlerai sepenuhnya. Maka, baca punya baca sampailah kepada titik noktah yang akhir.
Secara keseluruhannya, saya suka bahagian kerjaya yang ditampilkan dalam novel ini. Pengkritik makanan. Suatu kerjaya yang orang kata in trend. Memang boleh nampak kesungguhan dan tahap profesionalisme Aizel Hadrian dalam memberikan kritikan kepada makanan di restoran yang dikunjunginya. Kita yang baca satu demi satu ulasan tentang makanan tu terus boleh membayangkan dalam fikiran, meskipun ada antara menunya tak pernah dengar, tak pernah tengok apatah lagi pernah makan. Hahahaha...
Perwatakan Aizel Hadrian ini dijalin dengan agak baik oleh penulis. Peralihan sisi watak yang nampak ego dan sombong, kemudian dialih kepada sisi suka tapi malu, seterusnya nak tapi tak berani nak beritahu, kemudian dah miliki tapi tak sepenuhnya. Hah, banyak kan dia punya peralihan babak. Kalau nak tahu apa yang berlaku antara Aizel dan Kejora dalam semua peralihan babak tu kenalah baca novel His Hidden Bride yang mempunyai ketebalan 884 muka surat.
Kalau adapun watak antagonis dalam novel ini dalam paparan yang banyak adalah Nyla. Tapi kan nak anggap Nyla ni antagonis pun macam tak patut. Yalah kan, cantik, elegan, kaya; nak buat macam mana dia salah pilih lelaki jadi dia perlulah terima nasib dia. Orang yang kita jangka sebagai antagonis dan akan buat sesuatu yang jahat kepada Aizel dan Kejora dari mula lagi kita akan rasa Jazmeen, tapi itulah meleset sama sekali.
Kalau ditanya watak-watak yang tidak berapa gemar dalam novel ni, terus fikiran terbayangkan Puan Amanda. Meskipun, dia ibu kepada Kejora, tapi entahlah dari mula lagi rasa menyampah dengan watak dia. Dari nak upah food critic, kemudian tak boleh terima kenyataan, dengan tindakan cagar rumah yang lagi tak cerdik, lepas tu meroyan dia dengan Aizel, sifat terlalu percaya dengan Edil. Entah, bila hujung-hujung tu kononnya dah sedar kesilapan tu, eh hello kau pergi jalanlah. Hahahah!
Watak mak tiri Aizel tu kalau tak salah masih hidup dalam cerita ni, tapi tak pernah muncul dari awal sampai akhir. Ada disebut saja sekali atau dua. Dan watak Im Irfan tu, dia macam nak beri satu impak kepada jalan cerita tapi tiba-tiba kau akan rasa, hah, macam tu je? Hehehe... Maksudnya, penulis berjaya mencantas sangkaan dan jangkaan yang timbul lebih awal dalam minda pembaca.
Rasanya setakat tu sajalah ulasan untuk His Hidden Bride. Novel ini masih ada jual lagi, jadi bolehlah dapatkan sebelum hilang di pasaran, dan harganya jadi tak masuk akal.
Kesimpulan: ★★★★

