Resensi Novel Andai Semalam Kumiliki Karya Norhayati Berahim

Cikgu Muzz
By -
0
 

Judul: Andai Semalam Kumiliki
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Tahun: Cetakan Kesebelas Ogos 2011
Bilangan Halaman: 562 muka surat
 
Ulasan:
Tak pasti hendak berkata apa! Tetapi itulah yang dirasai tiap kali membaca karya nukilan Norhayati Berahim. Sempat berulitan beberapa hari bersama Andai Semalam Ku Miliki. Kisah yang intinya tersendiri. Jika khalayak mahukan sesuatu usai pembacaan. Jika anda mahukan sesuatu sejurus tamat semua halaman. Maka, Andai Semalam Ku Miliki, boleh jadi salah sebuah bingkisan yang tidak wajar untuk diketepikan. Tetapi perlu diingat, jangan cari cinta berbaur asmara di dalamnya. Usah dicari bayangan lelaki setampan model antarabangsa dan gadis sejelita Ratu Dunia sebagai bayangan wataknya. Cerita ini bukan tidak langsung menitikberatkan paras rupa kejadian wataknya tetapi itu bukanlah suatu kepentingan sehingga sering kali diulang tayang dan diperkatakan.
 
Novel setebal 562 halaman ini berkisarkan tentang Wardah. Dia sebenarnya tinggal bersama keluarga angkat. Tetapi langsung tidak diketahui. Dibesarkan ibu saudara yang menjadi ibu susuan. Kemudian bertemu dengan kembar yang selama ini sedia menjadi teman karib ketika bergelut dengan pelajaran. Rahsia ini hanya pecah di hujung jalan cerita, secara tidak sengaja, ketika Wardah berada di Turki bekerja di perusahaan milik Othman, bapa kandungnya sendiri yang selama dia kenal dipanggil baba. Tetapi ini bukan inti pati utama cerita. Sekadar saduran perisa barangkali.
 
Yang utamanya adalah tentang Wardah dan Zafri. Pertemuan pertama di bumi asing  Turki. Taburan janji seorang lelaki. Kepercayaan seorang gadis dengan janji, kata-kata, dan bicara seorang lelaki. Perhubungan tidak sampai beberapa hari tetapi dimeterai oleh sebuah janji. Kemudian perhubungan sekadar lewat maya. Dan pertemuan yang berlaku di alam nyata adalah sebaliknya. Zafri berjanji untuk menunggu Wardah untuk dijadikan sebagai pelengkap rusuk dan meminta Wardah untuk menunggunya. Sayang, dia yang menabur janji dan dia juga yang memungkiri. Pulangnya Wardah dari Turki untuk mengejutkan Zafri, sebaliknya Wardah sendiri yang terkejut dengan berita perkahwinan lelaki itu yang sudah semakin mendapat tempat di hati.
 
Mengapa Zainab menjadi pilihan Zafri? Ke mana pergi segala taburan janji? Apakah Wardah akan selamanya ke Turki? Membawa lara yang tersimpan di hati? Siapa pula Muazim yang ternyata seorang lelaki? Apakah dia bakal merebut Wardah daripada Zafri? Terlalu banyak persoalan yang bersemi. Dan singkaplah Andai Semalam Ku Miliki. Jika jawapannya kau hendaki... 
 
Kesimpulan:
★★★★★
 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!