TEKNIK CAPUSAN; Lubuk Markah Ujian Bertutur Berkumpulan Bahasa Melayu SPM KSSM

Cikgu Muzz
oleh -
0
 


Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM 2022 akan bermula pada 7 Februari 2023 hingga 9 Februari 2023.  Tak lama dah, esok bukan? Jadi malam ini, cikgu nak kongsi satu rahsia besar untuk mendapat markah yang tinggi khususnya dalam Ujian Bertutur Berkumpulan. Kenapa cikgu kongsi minit terakhir, dah nama pun rahsia, kalau cerita awal mesti tersebar kan? Hahaha... Gurau saja na!
 
Baik, seperti yang kita sedia maklum, Ujian Bertutur Berkumpulan ini boleh terdiri daripada sekurang-kurangnya 2 orang calon sehinggalah maksimum kepada 5 orang calon. Meskipun namanya berkumpulan, namun pentaksiran akan dibuat dengan melihat keupayaan bertutur oleh setiap individu.
 
Dengan kata lain, anda mahu markah yang tinggi, jadi anda perlulah bertutur dengan baik. Hanya anda yang mampu menentukan markah untuk diri anda sendiri. Namun, cikgu tidak boleh menafikan bahawa kerjasama daripada semua ahli kumpulan akan sangat membantu dalam menjayakan sebuah perbincangan yang menarik dan matang.
 
Sebenarnya, ada satu rahsia mudah untuk memperoleh markah cemerlang dalam Ujian Bertutur Berkumpulan, iaitu antara 26 hingga 30 markah. Rahsia dia cukup mudah dan barangkali ramai juga sudah maklum, iaitu berpandukan kata kunci CAPUSAN
 
CARA
PUNCA
KESAN (Positif/Negatif)
 
Apa-apa sahaja tajuk soalan yang dikemukakan, anda ‘gorenglah; menggunakan kata kunci di atas. Pusingan pertama, anda jawab ikut kehendak soalan. Misalnya, soalan minta menghuraikan punca-punca kemalangan jalan raya, maka huraikan dahulu seorang satu punca kemalangan jalan raya pada pusingan pertama. Pusingan berikutnya, ambil kata kunci kesan kemalangan jalan raya. Seterusnya, cara mengelakkan kemalangan jalan raya. Akhir sekali, faedah mengelakkan kemalangan jalan raya.
 
Apabila anda boleh membahagikan peranan diri sendiri untuk bertutur mengikut kata kunci di atas, makan anda tidak perlu gusar sama sekali memikirkan tempoh 12 hingga 15 minit yang dirasakan cukup lama oleh sesetengah calon SPM.
 
Bayangkan 1 kumpulan terdiri daripada 4 orang. Setiap seorang hanya perlu bertutur selama 3 minit sahaja untuk mencukupkan minimum 12 minit. Apabila anda menggunakan TEKNIK CAPUSAN, maka anda hanya memerlukan 1 minit sahaja untuk bertutur menggunakan setiap kata kunci.
 
Cikgu bagi contoh untuk meyakinkan semua calon SPM 2022 bahawa anda sebenarnya boleh bertutur dengan baik!
 
SOALAN
Membaca merupakan gedung ilmu. Manusia dikatakan mampu mengembara ke serata dunia hanya dengan membaca sebuah buku. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha meningkatkan minat membaca dalam kalangan remaja.
 
Fokus soalan ialah usaha meningkatkan minat membaca dalam kalangan remaja. Berikut antara persediaan bagi setiap individu dalam Ujian Bertutur Berkumpulan.
 
CALON A
Pusingan 1: Usaha meningkatkan minat membaca dalam kalangan remaja
Kerajaan menganjurkan pesta buku
 
Pusingan 2: Punca kurang membaca
Pengaruh gajet
 
Pusingan 3: Kesan positif membaca
Meningkatkan pengetahuan
 
CALON B
Pusingan 1: Usaha meningkatkan minat membaca dalam kalangan remaja
Sekolah mengadakan program membaca
 
Pusingan 2: Punca kurang membaca
Kurang pendedahan oleh ibu bapa
 
Pusingan 3: Kesan positif membaca
Meningkatkan kemahiran mengarang
 
CALON C
Pusingan 1: Usaha meningkatkan minat membaca dalam kalangan remaja
Ibu bapa membawa anak ke perpustakaan
 
Pusingan 2: Punca kurang membaca
Pengaruh program hiburan
 
Pusingan 3: Kesan positif membaca
Membentuk pemikiran yang matang
 
CALON D
Pusingan 1: Usaha meningkatkan minat membaca dalam kalangan remaja
Ibu bapa menyediakan ruang membaca yang selesa di rumah
 
Pusingan 2: Punca kurang membaca
Pengaruh rakan sebaya
 
Pusingan 3: Kesan positif membaca
Menambahkan kosa kata
 
Di samping menggunakan TEKNIK CAPUSAN untuk menentukan fokus perbincangan, calon juga jangan sesekali lupa 4 pihak di bawah ini untuk dikaitkan dengan kehendak soalan agar dapat membentuk ayat isi dengan mudah.
 
IBU BAPA / KELUARGA
INSTITUSI PENDIDIKAN / SEKOLAH / GURU
MASYARAKAT
KERAJAAN / BADAN BUKAN KERAJAAN
 
Setakat itu sahaja, perkongsian cikgu kali ini. Jangan bimbang sangat. Tarik nafas dalam-dalam. Hembus keluar perlahan-lahan. Letak telapak tangan kanan pada dada sebelah kiri. Bisik pada hati, InsyaAllah, aku mesti boleh.
 
Ingat! Anda mesti tenang!
 
Tenang, ribut jiwa,
tiup awan minda,
dan bentangkan idea,
biar saksi bicara,
tutur yakin kata...

 
PEMBERITAHUAN

Inovasi TEKNIK CAPUSAN merupakan hak cipta Cikgu Kumuzz. Boleh disebar luas dan digunakan untuk tujuan pendidikan. Sudilah kiranya memberikan kredit jika digunakan dalam mana-mana platform pembelajaran. Walau bagaimanapun, adalah DILARANG SAMA SEKALI meniru 100% idea dan nama Teknik Capusan untuk tujuan komersial yang membawa keuntungan seperti penerbitan buku kerja. Justeru, AMARAN diberikan untuk TIADA PENIRUAN bagi inovasi TEKNIK CAPUSAN sama ada untuk penerbitan bercetak atau dalam talian. Mohon maklum. Sekian, terima kasih.

Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)