Setiap kali hampir menjelang peperiksaan SPM bagi kertas Bahasa Melayu, salah satu persoalan hangat yang sering meniti pada bibir calon SPM ialah tentang kebarangkalian karangan jenis resume untuk diuji dalam Kertas 1 Bahasa Melayu (1103/1).
Marilah kita sama-sama sembang bab resume ini, ya
Pertamanya, resume ini sejenis karangan yang seperti ada format tetapi tak ada format khusus. Kalau dalam lapangan kerjaya, biasanya majikan akan gelarkan resume terbaik ini sebagai resume yang berkualiti.
Persoalannya, jika karangan jenis resume diuji dalam SPM, apakah perkara atau aspek yang perlu calon tahu? Jawapannya, mudah sahaja; tulis resume seperti biasa ditulis, cuma tambah bahagian pengalaman dan kelebihan diri mengikut kesesuaian soalan.
Berikut merupakan aspek yang boleh ditulis dalam sesebuah karangan resume:
- Tajuk (Nama pekerjaan / jawatan yang dipohon)
- Nama (Nama penuh, ya)
- Alamat (Alamat rumah yang lengkap)
- Nombor telefon
- Alamat e-mel (Pastikan relevan)
- Kelulusan (Sertakan kelulusan yang sesuai dengan jawatan mengikut soalan)
- Anugerah (Fikirkan anugerah yang ada kaitan dengan jawatan dan sesuai)
- Kemahiran teknologi (Paling asas kemahiran mengendalikan Microsoft Office)
- Kemahiran bahasa (Bahasa pertama, kedua dan ketiga; boleh senaraikan dan nyatakan sama ada fasih atau sederhana dalam pertuturan dan penulisan)
- Kemahiran tambahan (Yang sesuai dan berkenaan; contohnya kalau jawatan sebagai jurulatih tarian, boleh sertakan maklumat tentang jenis tarian yang pemohon mahir)
- Potensi diri (Biasanya dikaitkan dengan kemahiran insaniah seperti kebolehan bekerja dalam kumpulan, mampu memberi dan menerima arahan, berupaya bekerja dalam situasi tidak terjangka)
- Rujukan (individu yang boleh dihubungi bagi mengesahkan maklumat yang terdapat dalam resume, contohnya kalau jawatan untuk lepasan SPM, boleh sertakan nama, alamat dan nombor telefon pengetua sekolah terakhir)
Rasanya, itu sahaja perkara asas yang
perlu ditulis dalam sesebuah karangan resume.
Persoalan kedua, anda rasa karangan resume ini akan diuji tak dalam SPM???
Secara peribadi, kalau ditanya kepada saya, potensi untuk karangan jenis resume diuji dalam SPM sangat kecil. Andai kata diuji sekalipun, maka karangan resume ini hanya boleh diuji dalam Karangan Respons Terhad sahaja.
Namun, sekali lagi kalau ditanya secara peribadi, saya berpendapat karangan jenis resume tidak akan diuji dalam SPM. Sebabnya, karangan resume ini kurang menguji kemahiran mengarang murid atau calon SPM berbanding karangan-karangan jenis lain. Apa-apapun, tak salah untuk ambil tahu dan belajar kerana kita belajar untuk ilmu, bukan semata-mata bagi menghadapi peperiksaan.