FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA AKTIVITI VANDALISME
Belakangan ini,
kegiatan vandalisme sering menjadi polemik dalam akhbar dan majalah serta
mauduk masyarakat. Sehubungan dengan itu, aktiviti vandalisme ini telah
memusnahkan harta benda awam sehingga tidak lagi dapat digunakan dan diakses
oleh orang ramai. Hal ini tentu menjejaskan taraf hidup masyarakat setempat. Sesungguhnya,
pihak kerajaan telah bersinergi dengan pihak berkuasa untuk membendung kegiatan
vandalisme. Sayang seribu kali sayang, usaha mereka ternyata tidak ternampak
hasil kerana kegiatan vandalisme masih tidak terkawal dalam komuniti. Oleh itu,
faktor-faktor yang menyebabkan kegiatan vandalisme berakar umbi haruslah
dikenal pasti supaya pendekatan yang sesuai dapat dilaksanakan, persoalan yang
sering berlegar-legar dalam gawang minda kita ialah apakah faktor-faktor
berlakunya vandalisme?
Bertunjangkan kewarasan
minda, aktiviti vandalisme sentiasa dilakukan oleh pelaku yang kurang didikan
agama dan moral. Dalam konteks ini, terdapat individu yang sanggup bertindak di
luar Batasan kerana tidak berpegang teguh pada ajaran agama dan nilai-nilai
moral. Menurut Albert Einstein, ’Ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Agama tanpa
ilmu adalah buta’. Oleh hal yang demikian, jelas ternyata bahawa seseorang
individu perlulah memiliki ilmu dan pegangan agama pada masa yang sama. Dengan ini,
pastilah kegiatan vandalisme dapat semakin berkurangan. Justeru itu, ibu bapa
seharusnya menerapkan nilai-nilai murni dan membawa anak mengikuti ajaran Tuhan
sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendek kata,
masyarakat yang berakhlak mulia haruslah dizahirkan melalui didikan agama dan
moral supaya harta benda awam tidak dirosakkan serta kekal berfungsi.
Jika disingkap
dari perspektif yang lain, golongan remaja merupakan antara golongan yang
paling aktif terlibat dalam kegiatan vandalisme. Hal ini dikatakan demikian
kerana remaja terpengaruh dengan perbuatan rakan sebaya yang negatif. Sehubungan
dengan itu, remaja tidak mahu dipinggirkan oleh rakannya sehingga sanggup
melakukan perkara yang jahat. Tamsilnya, tindakan sekumpulan murid dari sebuah
sekolah di daerah Seberang perai Selatan, pulau Pinang yang merosakkan meja,
kerusi serta kipas telah mendapat perhatian daripada Menteri Pendidikan,
Fadhlina Sidek. Menurut beliau, tindakan sebegini tidak wajar diterima. Lantaran
itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan kerohanian haruslah
ditekankan oleh pihak sekolah supaya dapat melahirkan remaja yang mencintai
harta benda awam. Tuntasnya, remaja haruslah bijak memilih kawan supaya tidak
mudah terjebak dalam kancah maksiat.
Cuba renungkan
adakah masyarakat kini semakin bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing? Jawapannya tentu betul. Hal ini memang menyebabkan kegiatan
vandalisme terus berleluasa dalam masyarakat sekeliling. Sehubungan dengan itu,
sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak prihatin akan perkara
yang berlaku di sekeliling mereka menyebabkan anggota masyarakat tidak
mengambil peduli dan melaporkan kes vandalisme yang berlaku. Kekurangan aduan
daripada masyarakat hanya akan menyukarkan tugas pihak berkuasa untuk menangkap
dan mendakwa individu yang merosakkan harta benda awam. Oleh itu, anggota
masyarakat mestilah memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa
supaya penjahat tidak berani untuk melakukan vandalisme lagi. Tegasnya, anggota
masyarakat patutlah berani melaporkan masalah vandalisme dan tidak perlu takut
disyaki.
Kesimpulannya,
semua pihak haruslah berganding bahu bagi aur dengan tebing untuk mengatasi
vandalisme yang berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor. Menurut Nabi Muhamamd
SAW, ‘Bersatu membawa rahmat dan berpecah mengundang seksa’. Sebagai rakyat
Malaysia, kita patutlah bersatu padu untuk menjaga harta benda awam dengan
sebaik-baiknya supaya kemudahan awam ini dapat terus digunakan oleh generasi
akan datang, seperti yang dikatakan oleh Samuel Johnson, ‘Masa depan dibeli
oleh masa sekarang’. Pada bulan Januari 2023, Perdana Menteri Malaysia ke-10,
Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkan konsep ‘Malaysia Madani’ yang
menekankan kematangan rakyat dari segi pemikiran dan perbuatan. Marilah kita
berusaha untuk membendung kegiatan vandalisme melalui pembentukan masyarakat
madani supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain
seperti Jepun dan Singapura.