Baca e-mel di bawah dengan teliti. Anda dikehendaki menjawab e-mel tersebut. Tulis e-mel anda itu selengkapnya. Panjangnya e-mel anda hendaklah antara 150 hingga 200 patah perkataan.
Kepada: Imran@gmail.com
Subjek: Usaha-usaha Memajukan Bidang Penternakan
Imran,
Apa khabar Imran yang kini berada di Terengganu? Saya mengharapkan Imran dan keluarga sihat sejahtera. Maaf kerana sudah agak lama saya tidak menghantar e-mel kepada Imran.
Sebenarnya, saya sedang menyiapkan kerja kursus tentang bidang penternakan. Kebetulan pula, keluarga Imran terlibat dalam bidang ini dan telah menjadi usahawan yang berjaya.
Bolehkah saya mengetahui usaha-usaha yang dilakukan oleh keluarga Imran untuk berjaya dalam bidang penternakan?
Saya menanti balasan e-mel daripada Imran. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
Yang benar,
Ammar
PANDUAN MENJAWAB SOALAN KARANGAN E-MEL
- Alamat e-mel pengirim
- Alamat e-mel penerima
- Subjek (tajuk / fokus e-mel)
- Pendahuluan + Sapaan + Tujuan menulis e-mel (fokus soalan)
- Isi pertama
- Isi kedua
- Kesimpulan (harapan)
- Pengakuan pengirim
- Nama pengirim
Daripada: Imran@gmail.com
Kepada: Ammar@gmail.com
Subjek: Usaha-usaha Memajukan Bidang Penternakan
Ammar,
Apa khabar, saudara? Saya mendoakan saudara sihat sejahtera di samping keluarga tercinta. Saya di sini, baik-baik sahaja. Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menduduki ujian asas memandu bagi memperoleh lesen kereta. Jika sudi, doakan saya agar mudah lulus dalam ujian memandu pada bulan hadapan. Saya berasa teruja untuk berkongsi pengalaman saya dalam bidang penternakan kepada kamu menerusi coretan kali ini. Kata orang, usaha tangga kejayaan, justeru pasti ada usaha-usaha tertentu yang dilakukan oleh keluarga saya sehingga mampu menjadi penternak yang berjaya.
Inisiatif pertama yang dilakukan oleh ayah saya ketika mula-mula menceburi bidang penternakan ini adalah mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib, iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Menerusi Geran Agropreneur Muda, bantuan sehingga RM30000 diperoleh bagi mengusahakan penternakan itik pada peringkat awal. Hasil bantuan modal tersebut digunakan untuk membina reban, peralatan dan kos makanan ternakan. Malah menerusi agensi kerajaan yang berkaitan juga, keluarga saya memohon bantuan dari aspek ilmu pengetahuan dalam pengurusan dan pengembangan penternakan itik yang diusahakan. Jadi, jelaslah di sini bahawa modal merupakan salah satu aspek penting dalam memulakan bidang penternakan.
Seterusnya, aspek pemasaran juga penting untuk berjaya dalam bidang penternakan. Pasaran itik bukan sahaja bertumpu kepada daging semata-mata. Hal ini demikian kerana telur itik juga mendapat permintaan tinggi. Oleh itu, keluarga kami menjadikan pasaran daging dan telur itik sebagai fokus utama penternakan. Bagi mencapai keuntungan yang maksimum, abang saya telah menggunakan platform media sosial untuk mengiklankan daging itik dan telur masin yang dikeluarkan hasil daripada penternakan keluarga kami. Impaknya, permintaan semakin meningkat dan cabang pasaran juga menjadi semakin luas. Oleh itu, bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa teknik pemasaran yang tepat merupakan langkah penting untuk maju dalam bidang penternakan.
Saya kira cukuplah sekadar ini dahulu coretan saya berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam bidang penternakan. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu Ammar dalam menyiapkan kerja kursus. Saya doakan kamu berjaya menyempurnakan tugasan ini dengan sempurna dan memperoleh markah yang cemerlang. Terima kasih.
Yang benar,
Imran
Baca e-mel di bawah dengan teliti. Anda dikehendaki menjawab e-mel tersebut. Tulis e-mel anda itu selengkapnya. Panjangnya e-mel anda hendaklah antara 150 hingga 200 patah perkataan.
Kepada: mukrizamzar@gmail.com
Subjek: Cara-cara Mengatasi Masalah Penyalahgunaan Media Sosial
Salam hormat abang Mukriz,
Bagaimanakah keadaan abang di utara tanah air sekarang? kami sekeluarga amat rindu akan abang.
Sebenarnya tujuan saya menulis e-mel ini adalah untuk meluahkan kebimbangan tentang penyalahgunaan media sosial. Isu ini menjadi semakin tular dan bukan sekadar isu pinggiran. Keadaan inilah yang berlaku kepada rakan-rakan di sekolah saya. saya sedar bahawa penyalahgunaan media sosial ini sememangnya banyak memberi impak negatif kepada individu itu sendiri. Oleh sebab itu, saya bimbang akan terpengaruh oleh budaya yang kurang sihat ini. Bolehkah abang berikan beberapa cadangan untuk mengatasi penyalahgunaan media sosial tersebut? Saya akan menantikan balasan e-mel daripada abang.
Sekian, terima kasih.
Adikmu,
Amalin Maisara