[Nota Komsas] Analisis Cerpen Kaduk, Ayam Dan Raja; Antologi Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Cikgu Muzz
By -
0

SINOPSIS CERPEN JAKET KULIT KIJANG DARI ISTANBUL
Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk iaitu Hakim yang berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil oleh Raja.  Hakim yang merupakan lulusan universiti telah meminta bantuan sahabatnya iaitu Azam seorang lulusan bidang undang-undang untuk memfailkan kes tuntutan tanah seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan Azam, beliau telah berjaya menyakinkan mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam Kunani kepada raja tanpa kerelaannya hatinya.  Hal ini  menyebabkan kemenangan berpihak kepada Hakim. Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara pertanian kontrak dengan syarikat besar yang menubuhkan cawangan di Malaysia dengan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau singkatannya RAJA. Hakim menternak ayam bagi menyahut seruan kerajaan yang banyak memberi insentif kepada penternak.  Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank melebihi dua ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya beberapa kali dan  hasil bantuan seorang Yang Berhormat telah menyebabkan bank meluluskan pinjaman tersebut untuk membina sebuah reban ayam tertutup yang dilengkapi sistem penyaman udara serta peralatan memberi makanan secara semi automatik. Setelah kelulusan bank diperoleh, satu perjanjian kontrak di meterai antara Hakim dan syarikat RAJA, maka projek penternakan ayam pun bermula.

Konflik mula timbul setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam.  Sahabat karibnya Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan terus berjumpa dengan Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya sepanjang dia menjadi penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung terhadap lorinya yang telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk. Selain itu, hakim menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang dengan menunjukkan penyata hasil  jualan ayam dari rebannya yang bernilai lapan puluh lima ribu ringgit. Namun begitu hanya tiga belas ribu ringgit sahaja yang diterimanya kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat RAJA.  Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa digunakan untuk membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang bank dan sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan kontrak yang dianggapnya situasi menang menang tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya  telah dieksploitasi oleh Syarikat RAJA melalui harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga hutangnya meningkat. Hakim menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti nasib datuk yang tertipu oleh orang yang memiliki kuasa.

TEMA CERPEN KADUK, AYAM DAN RAJA
Tema cerpen ini ialah kesungguhan seorang anak muda menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ternakan ayam walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

PERSOLAN CERPEN KADUK, AYAM DAN RAJA
Persoalan keberanian menuntut hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
Persoalan ketaatan terhadap pemerintah. Sebagai contoh Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam.

WATAK DAN PERWATAKAN CERPEN KADUK, AYAM DAN RAJA
WATAK
PERWATAKAN
HAKIM
Anak kepada Hassan dan cucu kepada Kaduk.
Seorang yang berani memperjuangkan hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.

Seorang yang gigih menceburi bidang keusahawanan.Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
AZAM
Sahabat baik Hakim semasa di universiti. Seorang yang suka membantu orang lain.  Sebagai contoh Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya dalam kes tuntutan tanah milik datuknya.

Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam bidang undang-undang namun dia sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar negara untuk menambah pengetahuannya.
KADUK
Datuk kepada Hakim dan ayah kepada Hassan. Seorang yang suka bersabung ayam. Sebagai contoh Kaduk bersabung ayam dengan raja.

Seorang yang mentaati raja. Sebagai contoh Kaduk sanggup menyerahkan ayam Kunani apabila diminta oleh raja.
RAJA
Seorang yang suka bersabung ayam.  Sebagai contoh raja bersabung ayam dengan Kaduk.

Seorang yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.  Sebagai contoh raja telah menukarkan ayamnya dengan ayam kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.

LATAR CERPEN KADUK, AYAM DAN RAJA
LATAR
HURAIAN
LATAR TEMPAT
Mahkamah. Sebagai contoh kes tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah.

Tanah Kaduk. Sebagai contoh Hakim menjalankan projek ternakan ayamnya di tanah Kaduk.
LATAR MASA
Zaman lampau. Sebagai contoh Kaduk pernah bersabung ayam dengan ayam raja.

Zaman selepas merdeka. Sebagai contoh Hakim didedahkan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap projek penternakan ayam secara kontrak dengan syarikat RAJA.
LATAR MASYARAKAT
Masyarakat yang sensitif terhadap keadaan sekeliling. Sebagai contoh penduduk kampung merungut apabila mendapati jalan di kampung mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim.

Masyarakat yang bekerja untuk mencari rezeki. Sebagai contoh Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk bekerja di projek penternakan ayamnya.

 NILAI MURNI CERPEN KADUK, AYAM DAN RAJA
  • Keadilan. Sebagai contoh hakim menuntut keadilan di mahkamah bagi pihak datuknya yang telah ditipu.
  • Keberanian. Sebagai contoh hakim berani menceburi bidang keusahawan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
  • Kegigihan. Sebagai contoh Hakim gigih menjadi penternak ayam walaupun dirinya terpaksa menanggung hutang yang banyak.
PENGAJARAN CERPEN KADUK, AYAM DAN RAJA
  • Kita hendaklah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh Hakim gigih berusaha untuk mendapatkan kelulusan bank bagi menjayakan projek penternakan ayam walaupun terpaksa meminda kertas projeknya beberapa kali sebelum bank meluluskan permohonannya dengan bantuan Yang Berhormat.
  • Kita hendaklah berani menceburi bidang perniagaan. Sebagai contoh hakim berani mengusahakan tanah peninggalan datuknya dengan menjalankan penternakan ayam untuk dijual.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!