Menulis Perenggan Pendahuluan Karangan Menggunakan Teknik SITIF (Calon Lemah/Sederhana)

Cikgu Muzz
By -
0



Terdapat pelbagai teknik yang digunakan oleh murid dalam menulis perenggan pendahuluan. Ada yang mengamalkan teknik yang diajarkan di sekolah atau yang disampaikan oleh guru tuisyen. Tidak kurang juga yang mencipta formula menulis perenggan pendahuluan sendiri mengikut kefahaman penulisan sedia ada.

Dalam perkongsian ini, saya ingin berkongsi teknik SITIF dalam menghasilkan perenggan pendahuluan yang ringkas. Teknik SITIF yang lebih langsung kepada kehendak soalan ini sesuai untuk calon lemah atau sederhana bagi menghasilkan perenggan pendahuluan yang lengkap tetapi lebih ringkas mengikut aras kognitif calon.

Berikut merupakan penerangan kepada teknik SITIF:

SOALAN
Ayat pertama ini, murid boleh menyalin penyataan dalam soalan. Ambil penyataan umum yang sesuai untuk dijadikan ayat pertama dalam pendahuluan karangan.
ISU
Biasanya isu dikaitkan dengan masalah sama ada yang telah berlaku, sedang berlaku atau mungkin boleh berlaku.
TANYA
Tanya diri bagaimana untuk selesaikan isu yang ditulis pada ayat sebelumnya. Tulis jawapan untuk pertanyaan itu.
INDAH
Jika murid tahu mana-mana peribahasa, pendapat tokoh, slogan atau bahasa indah, bolehlah menulis satu ayat pada bahagian ini. Jika tidak tahu, boleh abaikan.
FOKUS
Tulis satu ayat yang menunjukkan fokus isi-isi karangan atau dalam erti kata lain ayat yang menggambarkan kehendak soalan.

Penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang perlu diberikan perhatian oleh murid. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang. Huraikan cara murid memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang. (Soalan Percubaan SPM 2019 Negeri Perlis)

SOALAN: Penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang perlu diberikan perhatian oleh murid. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang. (Ambil dari soalan)

ISU: Namun, penguasaan ilmu dalam kalangan murid pada hari ini semakin terhad. (Apa isu yang boleh dikaitkan dengan pengusaan ilmu dalam kalangan murid)

TANYA: Perkara ini berlaku disebabkan pelbagai sebab, antaranya disebabkan pengaruh teknologi. (Daripada isu, tanya kenapa perkara tersebut boleh berlaku)

INDAH: Oleh itu, murid perlu disedarkan akan kepentingan menuntut ilmu kerana ilmu diibaratkan seperti pelita hidup. (Bagi ayat penyelesaian umum, masukkan peribahasa)

FOKUS: Justeru, terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan oleh murid untuk memperoleh ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. (Tulis ayat kehendak soalan, apakah yang akan ditulis dalam perenggan isi)

Contoh penulisan pendahuluan dalam perenggan lengkap menggunakan teknik SITIF:

            Penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang perlu diberikan perhatian oleh murid. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang. Namun, penguasaan ilmu dalam kalangan murid pada hari ini semakin terhad. Perkara ini berlaku disebabkan pelbagai sebab, antaranya disebabkan pengaruh teknologi. Oleh itu, murid perlu disedarkan akan kepentingan menuntut ilmu kerana ilmu diibaratkan seperti pelita hidup. Justeru, terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan oleh murid untuk memperoleh ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!