[Karangan Pendek PT3] Adab Ketika Beraya

Cikgu Muzz
By -
0
BAHAGIAN A – KARANGAN PENDEK
(10 MARKAH)

Berdasarkan rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang adab ketika berayaPanjangnya huraian anda hendaklah antara 50 hingga 80 patah perkataan.




    Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan suatu perayaan yang disambut cukup meriah di Malaysia. Aktiviti kunjung-mengunjung sering berlaku ketika sambutan ini. Justeru, amat molek jika adab ketika beraya dapat difahami dan diterapkan dalam diri masing-masing agar akhlak yang baik dapat ditonjolkan ketika aktiviti ziarah-menziarahi.

            Salah satu adab yang perlu dilazimi ialah memberi salam sebelum memasuki kediaman orang. Ucapkanlah salam dengan nada suara yang sederhana, dan masuk ke dalam rumah hanya apabila dijemput oleh tuan rumah. Apabila sudah masuk ke dalam rumah, beramah-mesralah bersama tuan rumah. Jangan terus ke meja makan dan menyerbu segala hidangan yang tersedia. Makanlah secara bersederhana. Akhir sekali, berpada-padalah ketika berada di rumah orang dan jangan leka dengan gajet apabila mengunjungi orang kerana perbuatan tersebut nampak kurang manis.

            Tuntasnya, amalan ziarah-menziarahi ketika Aidilfitri perlu disuburkan dengan norma dan nilai murni agar perayaan yang disambut lebih berkat selepas sebulan menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!