SINOPSIS DRAMA
BUKAN GILA
Azmir sedang dirawat di wad pesakit jiwa Hospital Besar. Sewaktu berada di wad tersebut, Azmir telah berkhayal akan kehadiran kekasihnya, iaitu Ani. Azmir meminta Ani membawanya keluar dari situ tetapi Ani memberitahu Azmir bahawa mereka bahagia di tempat itu. Kemudian, Azmir berkhayal lagi tentang kehadiran ayahnya. Beliau bertanyakan khabar Azmir tetapi Azmir memanggil Ani untuk mengusir ayahnya. Ayahnya mengatakan bahawa beliau sayang akan Azmir tetapi Azmir menganggap ayahnya berbohong lalu berlaku pertelingkahan antara Azmir dengan ayahnya.
Kemudian, Azmir berkhayal tentang Pak Haji yang datang melawatnya dan memberi salam. Azmir bertengkar pula dengan Pak Haji tentang namanya yang bukan nama orang Melayu dan sikap manusia yang dikatakan oleh Azmir bercakap lain tetapi berbuat lain. Ani muncul semula. Azmir bertanya tentang sebab Ani masih di sisinya. Sewaktu itu, Azmir dan Ani bercakap tentang cinta mereka dan makna cinta. Azmir mengatakan bahawa cinta Ani masih bersifat luaran. Selepas memeriksa Azmir, doktor membenarkan Azmir bersiar-siar di luar wad. Kesempatan itu diambil oleh Azmir untuk keluar dari wad Hospital Besar. Azmir tiba di lokasi sekumpulan pelakon drama yang sedang berlatih drama yang bertajuk Sasau. Azmir mengatakan bahawa pelakon-pelakon drama Sasau itu sesat. Malah, Azmir memberikan pendapatnya tentang sistem dalam kehidupan, iaitu sistem prorakyat.
Sewaktu Azmir memberikan pendapatnya tentang sistem tersebut kepada para pelakon drama yang sedang berlatih itu, kepalanya berasa sakit. Setelah sakitnya reda, Azmir memberitahu pelakon-pelakon tersebut bahawa syarahannya dan penyakitnya adalah betul. Azmir menjelaskan bahawa dia datang untuk membetulkan pelakon-pelakon itu bahawa tidak ada yang sasau tetapi yang ada ialah ketidakbenaran, kepalsuan, dan kepurapuraan. Azmir juga ditanya tentang gila. Sebaliknya, Azmir menjelaskan bahawa bukan gila tetapi suatu penderitaan yang tidak tertanggung olehnya. Kemudian, Azmir menghantuk-hantukkan kepalanya sehingga berdarah. Azmir menjelaskan bahawa tindakannya menghantukkan kepala itu adalah bukan disebabkan dia gila tetapi akibat menderita suatu kesakitan yang tidak tertanggung dan tidak terucap oleh kata-kata. Doktor datang lagi dan menjelaskan kedudukan sebenar Azmir. Doktor membawa Azmir pulang ke wad pesakit jiwa semula.
Setelah itu, Arif dan rakan-rakan pelakon mengunjungi ibu bapa Azmir. Ibu bapa Azmir menjelaskan bahawa Azmir berkeadaan begitu sejak tingkatan enam dan semakin teruk ketika di universiti. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar bersama-sama membantu Azmir. Arif memberitahu ibu bapa Azmir bahawa Azmir memerlukan kasih sayang, semangat, dan perangsang, bukannya cemuhan atau penghinaan. Pelakon II memberitahu mereka bahawa dia melihat Azmir sedang menghadapi suatu penderitaan yang sudah tidak tertanggung. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar segera mengunjungi Azmir sebelum terlambat. Di wad pesakit jiwa, Azmir berkhayal dan mengimbas kembali tentang kisah cintanya dengan Ani dan kisah hidupnya. Ketika dia sedang berkhayal, dia menjadi lemah dan rebah ke lantai. Ani yang berada di rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri di wad. Kematiannya dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Berita itu membuatkan Ani berasa bersalah dan bersikap kejam terhadap Azmir.
TEMA DRAMA BUKAN GILA
Drama “Bukan Gila” bertemakan ketabahan seorang anak muda yang terpaksa melawan penyakit barah otak bersendirian.
PERSOALAN DRAMA BUKAN GILA
- Penghargaan anak terhadap ibu bapanya.
- Penghargaan terhadap manusia budiman seperti petani, nelayan, serta buruh yang telah membangunkankesejahteraan rakyat dan negara.
- Kesetiaan seseorang terhadap kekasihnya.
- Sikap tidak ambil peduli masyarakat terhadap kesusahan dan kesakitan orang lain.
WATAK DAN PERWATAKAN DRAMA BUKAN GILA
Azmir
- Menghidap penyakit barah otak.
- Mengalami sakit jiwa.
- Menerima rawatan pesakit jiwa di Hospital Besar.
- Bersikap gila-gila sejak tingkatan enam.
- Gagal menghabiskan tahun akhir pengajiannnya di universiti.
- Enggan mengikut nasihat ibunya.
- Bercinta dengan Ani tetapi Ani telah meninggalkannya sewaktu dia berhadapan dengan penyakit barah otak.
- Mampu bercakap loghat Indonesia.
Arif
- Pengarah drama Sasau.
- Prihatin terhadap keadaan Azmir.
- Menasihati ibu Azmir berkaitan dengan kasih sayang ibu terhadap anaknya.
- Berjiwa besar, iaitu sanggup belajar daripada Azmir untuk membantunya membikin drama Sasau.
Doktor Razi
- Merawat Azmir yang dikatakan menghidap sakit jiwa.
- Tidak memahami penyakit yang dialami oleh Azmir.
- Bersikap baik terhadap Azmir kerana telah membenarkan Azmir bersiar-siar di luar wad.
Ibu Azmir
- Beliau mengesan sikap gila-gila Azmir sejak anaknya itudi tingkatan enam.
- Tidak mampu mengurus Azmir.
- Tidak menjaga anaknya kerana Azmir lebih suka tinggal di rumah neneknya.
- Berasa malu dengan sikap anaknya yang gila-gila.
LATAR TEMPAT DRAMA BUKAN GILA
- Wad pesakit jiwa, Hospital Besar.
- Pentas.
LATAR MASA DRAMA BUKAN GILA
- Waktu siang.
- Waktu latihan.
- Waktu tingkatan enam.
- Waktu belajar di universiti.
LATAR MASYARAKAT DRAMA BUKAN GILA
- Masyarakat yang prihatin terhadap keadaan sebenar yang dihadapi oleh orang lain.
- Masyarakat yang tidak setia.
- Masyarakat yang tidak ambil peduli akan orang lain.
- Golongan ibu dan bapa yang tidak memberikan kasih sayang yang cukup kepada anak mereka.
- Masyarakat yang menderita sakit secara bersendirian.
TEKNIK PLOT DRAMA BUKAN GILA
- Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Azmir dengan Ani semasa Azmir berkhayal akan kehadiran kekasihnya itu ketika dirawat di wad pesakit jiwa, Hospital Besar.
- Teknik imbas kembali. Contohnya, bapa Azmir teringat akan waktu penyakit gila-gila Azmir berlaku.
- Teknik monolog. Contohnya, Azmir bercakap seorang diri di wad pesakit jiwa.
GAYA BAHASA DRAMA BUKAN GILA
- Bahasa Arab. Contoh: Assalamualaikum; Astaghfirullah; bertafakur.
- Bahasa Inggeris. Contoh: realistik; sensitif; profesionalisme; rasional;
realiti.
- Hiperbola. Contoh: Saban hari manusia membunuh kemanusiaan; Sebuah cinta ialah sebuah sengketa.
- Imbuhan pinjaman bahasa Inggeris. Contoh: prorakyat; pascaperang.
- Metafora. Contoh: angin
kemudaan; angkasa kewujudan; padang kehidupan.
- Simile. Contoh: sistem yang baik adalah bagaikansegala nilai dan norma; Boleh jadi lakonannya turealistik, macam betul-betul.
NILAI DRAMA BUKAN GILA
- Nilai keprihatinan. Contohnya, Arif, iaitu pengarah
drama Sasau prihatin akan kesakitan dan penderitaan yang ditanggung
oleh Azmir. Arif juga memahami bahawa Azmir tidak gila.
- Nilai kesetiaan. Contohnya, Azmir setia dengan cintanya terhadap Ani sehingga dia terbayang-bayang Ani dating kepadanya walaupun hakikatnya, Ani telah meninggalkannya.
- Nilai bertanggungjawab. Contohnya, Doktor Razi bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya dengan mencari dan membawa Azmir ke wad pesakit jiwa semula.
- Nilai ilmu pengetahuan. Contohnya, Arif sanggup belajar daripada Azmir yang dikatakan gila bagi memantapkan drama “Sasau”.
- Nilai kasih sayang. Contohnya, bapa Azmir menziarahi Azmir yang dirawat di wad pesakit jiwa.
- Nilai ketabahan. Contohnya, Azmir tabah melawan penyakit barah otak secara sendirian sahaja.
PENGAJARAN DRAMA BUKAN GILA
- Kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain supaya kita dapat membantu mereka.
- Kita hendaklah setia kepada pasangan supaya kita tidak melakukan perbuatan khianat.
- Kita haruslah bertanggungjawab terhadap semua tugas agar kita dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.
- Kita mestilah berilmu dan berpengetahuan untuk memahami kebenaran dan kesalahan.
- Kita haruslah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak.
- Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan hidup agar kita tidak berputus asa atau mengalami kekecewaandalam hidup.