Info Semasa

6/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Latihan Rumusan SPM KSSM: Minat Murid Terhadap KOMSAS

Soalan rumusan mulai SPM 2021 menggunakan format baharu selaras dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Tidak ada fokus rumusan yang dinyatakan pada arahan soalan. Bahan yang dikemukakan pula bukan semata-mata satu petikan teks, tetapi terdiri daripada sekurang-kurangnya dua bahan sama ada petikan teks, grafik, petikan prosa, atau puisi dengan syarat mempunyai tema yang sama.

BAHAN 1: PETIKAN TEKS

Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

            Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah memperkenalkan Komponen Sastera (KOMSAS) dalam pendidikan Bahasa Melayu kepada pelajar sekolah menengah mulai tahun 2002. Meskipun penerapan KOMSAS dalam kurikulum Bahasa Melayu di sekolah menengah sudah hampir 20 tahun, namun minat pelajar terhadap KOMSAS masih berada pada tahap yang rendah.Dalam ledakan teknologi maklumat kini, rata-rata pelajar menyatakan subjek Sastera tidak menjanjikan masa depan yang cerah berbanding dengan subjek lain.

            Arus globalisasi yang berlaku turut merubah pandangan pelajar terhadap sastera. Mereka berpendapat peluang melayakkan diri untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjadi tipis jika mereka mengambil subjek Sastera. Hal ini disebabkan kursus yang ditawarkan dan peluang berkhidmat dalam bidang sastera agak terhad berbanding dengan subjek lain. Budaya kurang membaca dalam masyarakat juga mendorong pelajar meminggirkan sastera. Tambahan pula, kebanyakan pelajar hari ini tidak mempunyai minat untuk membaca bahan bacaan yang serius. Mereka beranggapan bahawa pembacaan yang berterusan diperlukan untuk menguasai dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran sastera.

            Bagi mengatasi masalah ini pihak kerajaan misalnya menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia perlu berterusan memberikan kefahaman kepada pelajar dan masyarakat tentang kepentingan mempelajari KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Misalnya, Kementerian Pendidikan Malaysia boleh menganjurkan kempen kesedaran tentang manfaat mempelajari KOMSAS dan disalurkan kepada khalayak menerusi media sosial. Tambahan lagi, pihak sekolah sendiri perlu kreatif dengan menganjurkan pelbagai pertandingan meliputi sastera bagi menarik minat murid mempelajari komponen tersebut. Apa-apapun pada akhirnya kesedaran diri pelajar itu sendiri menjadi faktor dominan dalam memupuk minat akan sastera.

                                    (Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana, ‘Pelajar dan Sastera’ oleh Norhafiza Abu Seman, Tunas Cipta, November, 2005)

BAHAN 2: GRAFIK


Teknik Menjawab Soalan Rumusan KSSM mulai SPM 2021

  1. Terdapat sekurang-kurangnya dua bahan yang diberikan dalam soalan.
  2. Dalam setiap bahan mempunyai fokus (dalam SPM terdahulu dikenali sebagai kata kunci).
  3. Dalam sesuatu bahan boleh terdiri lebih daripada satu fokus.
  4. Calon perlu menggunakan semua fokus semasa menulis pendahuluan.
  5. Hanya isi tersurat sahaja yang perlu dicari oleh calon menerusi bahan-bahan yang diberikan.
  6. Terdapat 8 isi tersurat yang perlu dicari oleh calon daripada kesemua bahan.
  7. Kesimpulan pula perlu ditulis dalam satu ayat yang mempunyai kaitan dengan tema, cadangan dan kesan.

Dalam latihan yang diberikan di atas terdapat dua bahan, iaitu Bahan 1 (Petikan Teks) dan Bahan 2 (Grafik).

FOKUS BAHAN 1

  • Fokus 1: Faktor murid kurang berminat dengan KOMSAS.
  • Fokus 2: Cara-cara menarik minat murid terhadap sastera.

FOKUS BAHAN 2

  • Fokus 2: Cara-cara menarik minat murid terhadap sastera.

Jadi, pendahuluan rumusan ditulis seperti berikut:

Rumusan membincangkan faktor-faktor murid kurang berminat dengan KOMSAS dan cara-cara meningkatkan minat murid terhadap sastera.

ISI-ISI BAHAN 1

Fokus 1:

  1. Subjek sastera tidak mempunyai masa depan yang cerah.
  2. Peluang melayakkan diri untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tipis.
  3. Kursus yang ditawarkan dalam bidang sastera terhad.
  4. Peluang berkhidmat dalam bidang sastera agak terhad.
  5. Budaya kurang membaca dalam masyarakat.
  6. Kebanyakan pelajar tidak mempunyai minat untuk membaca bahan bacaan yang serius.

Fokus 2:

  1. Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkankempen kesedaran tentang manfaat mempelajari KOMSAS.
  2. Pihak sekolah perlu kreatif dengan menganjurkan pelbagai pertandingan berkaitan sastera.

ISI-ISI BAHAN 2

Fokus 2:

  1. Pihak NGO seperti syarikat penerbitan menerbitkan lebih banyak karya sastera.
  2. Ibu bapa memberikan pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil.
  3. Media massa mempromosikan karya sastera kepada masyarakat menggunakan pelbagai medium.
  4. Pusat sumber sekolah memperbanyak karya sastera seperti novel tulisan sasterawan negara.

Calon perlu memilih 8 isi, masing-masing daripada Fokus 1 dan Fokus 2 dalam petikan teks dan Fokus 2 daripada grafik. Contohnya;

  • 4 isi daripada Fokus 1 dalam Bahan 1
  • 2 isi daripada Fokus 2 dalam Bahan 1
  • 2 isi daripada Fokus 2 dalam Bahan 2

Bagi menulis kesimpulan pula, calon perlu menulis satu ayat sahaja yang berkenaan dengan tema soalan dan mempunyai cadangan serta kesan. Contohnya;

Kesimpulannya kerajaan perlu berusaha lebih giat meningkatkan minat murid terhadap karya sastera agar warisan bangsa ini tidak pupus ditelan zaman.

CONTOH JAWAPAN LENGKAP RUMUSAN SPM KSSM

            Rumusan membincangkan faktor-faktor murid kurang berminat dengan KOMSAS dan cara-cara meningkatkan minat murid terhadap sastera.

            Antara faktornya ialah subjek sastera tidak mempunyai masa depan yang cerah. Berikutnya, peluang melayakkan diri untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam tipis. Seterusnya, kursus yang ditawarkan dan peluang berkhidmat dalam bidang sastera agak terhad.

            Usaha meningkatkan minat murid terhadap sastera termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan kempen kesedaran tentang manfaat mempelajari KOMSAS. Seterusnya, pihak sekolah perlu kreatif menganjurkan pelbagai pertandingan berkaitan sastera. Tambahan lagi, pihak NGO seperti syarikat penerbitan menerbitkan lebih banyak karya sastera. Malah, ibu bapa memberikan pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil.

            Kesimpulannya kerajaan perlu berusaha lebih giat meningkatkan minat murid terhadap karya sastera agar warisan bangsa ini tidak pupus ditelan zaman.

(120 patah perkataan)

Post a Comment

10 Comments

  1. Mohon guna untuk pdpc.tk.

    ReplyDelete
  2. Tq cikgu atas perkongsian. Mohon guna utk bbm pdpc

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama... Ya, silakan guna, dan kongsi ilmu :)

      Delete
  3. mohon dijadikan sebagai panduan dalam pdpr, terima kasih

    ReplyDelete
  4. terima kasih atas perkongsian.mohon guna untuk pdpc

    ReplyDelete