Berikutan pendakwaan ke atas bekas suami seorang penyanyi wanita ternama negara atas kesalahan merotan anak wujud pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat terutamanya pengguna media sosial sepanjang minggu lalu.
Rata-rata dengan nada sinis mempersoalkan seorang ayah sudah hilang peranan untuk mendidik anak. Tidak kurang juga yang bercakap tentang agama, kononnya dunia sedang melahirkan penunggang ibu bapa. Itu belum lagi ayat-ayat throwback, kononnya si polan jadi manusia disebabkan pernah dibalun dengan batang paip, tali pinggang, getah paip, batang kayu dan lain-lain.
Mendidik anak perlu mengikut zaman. Kekerasan tidak akan membawa kebaikan. Didikan melalui pendekatan negatif seperti hukuman sehingga tahap mencederakan, tengkingan, herdikan, dan seumpamanya boleh menjadi gangguan psikologi kepada kanak-kanak. Ayat aku jadi manusia kerana dihukum oleh ibu bapa dengan kekerasan sangat tidak relevan. Adakah jika anda dibesarkan dengan cara begitu, anda juga tidak kisah kanak-kanak lain diperlakukan sebegitu? Atau apakah itulah juga cara didikan kepada anak-anak anda yang dipraktikkan?
Tahukah anda raging di sekolah-sekolah asrama atau di pusat latihan wujud dan berterusan kerana konsep ini? Aku pernah kena daripada senior dulu, jadi aku perlu teruskan benda yang sama kepada junior. Ini merupakan satu gangguan psikologi dan mental, secara tidak langsung menerbitkan dendam dalam hati. Rasa memberontak dan ingin membalas akan wujud dalam hati seseorang yang diperlakukan dengan kekerasan.
Sedarkah anda, kebanyakan masalah disiplin seperti buli, vandalisme, ugut dan lain-lain berlaku disebabkan anak-anak dibesarkan dalam suasana yang tidak harmoni di dalam rumah? Ya, cuba berbual dengan guru disiplin dan kaunselor sekolah. Rata-rata masalah disiplin 100% berpunca daripada keluarga yang berpecah belah, pergaduhan antara ibu bapa yang berterusan, baran bapa dan tidak kurang anak-anak yang menjadi mangsa sepak terajang oleh orang tua.
Tidaklah saya mengatakan anak-anak perlu dibiar lepas tingkah lakunya, tanpa didikan atau teguran. Denda boleh, hukuman juga boleh. Tapi berdiplomasilah dalam hukuman. Jangan turutkan emosi. Banyak dendaan bersifat positif yang dalam masa yang sama membina dan membentuk peribadi kanak-kanak ke arah yang lebih baik. Contohnya, ‘hukuman’ melakukan kerja rumah seperti melipat baju, menyapu laman, menyiram pokok, menghafal sifir dan sebagainya.
Perkembangan setiap kanak-kanak itu berbeza-beza. Adalah zalim jika kita menganggap anak-anak sebagai mesin yang perlu digunakan untuk mencapai sasaran atau impian kita semata-mata. Jika ada kanak-kanak boleh menghafal sifir ketika umur 6 tahun apakah kita perlu merotan anak-anak lain kerana kegagalan mereka berbuat demikian. Tidak! Gunakanlah pendekatan keibubapaan yang sebaiknya. Tekanan dan kekerasan tidak pernah akan menghadirkan kesempurnaan dalam pembentukan jiwa seorang kanak-kanak. Ya, ramai yang jadi manusia hasil kekerasan hukuman ibu bapa generasi terdahulu, tetapi ingat lebih ramai yang tetap jadi manusia dengan didikan ibu bapa yang lebih berjiwa seperti selayaknya seorang manusia.