Pandemik Covid-19 yang semakin menular terutamanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysiamemaksa kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri Semenanjung Malaysia kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis bermula 9 November hingga 6 Disember 2020. Pelaksanaan PKPB ini secara tidak langsung menjelaskan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut ditutup.
Mengambi kira keselamatan murid khususnya, KPM melalui Menteri Pendidikan, Dr. Radzi Jidin telah memaklumkan kepada umum menerusi sidang media yang diadakan jam 11.30 pagi, Ahad pada 8 November bahawa semua sekolah di bawah KPM termasuk Kolej Vokasioanl akan ditutup sehingga akhir persekolahan mengikut takwim semasa, iaitu, 17 dan 18 Disember mengikut sekolah-sekolah Kumpulan A dan B.
Penutupan semua sekolah sehingga sesi pembelajaran bersemuka bermula pada 20 Januari 2021 ini turut menjejaskan penjadualan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk calon tahun 2020. Peperiksaan SPM yang dipinda sebelum ini dan dijadualkan pada tarikh 6 Januari 2021, dipinda sekali lagi dan akan bermula pada 22 Februari 2021. Peperiksaan SVAM dan STAM juga akan bermula pada tarikh 22 Februari 2021. Manakala peperiksaan STPM akan bermula pada 8 Mac 2021.
Calon-calon peperiksaan SPM 2020 akan meneruskan pembelajaran secara bersemuka bermula 20 Januari 2021 di sekolah sebagai langkah untuk membantu persediaan menghadapi peperiksaan SPM. Dalam sidang media sama, Dr. Radzi turut menjelaskan Peperiksaan Percubaan SPM, kerja kursus dan pentaksiran yang ditetapkan sebelum ini sehingga Disember 2020 yang masih belum dapat diselesaikan akan dijadualkan semula oleh KPM.