EPISOD 2:
SUAMIKU ABANG SEKSI Air Sunquick
dituang ke dalam setiap gelas yang terhidang di atas meja. Watie yang membancuh
air itu. Mukanya monyok sahaja. Tiara seolah-olah sudah hilang fiil untuk
berbuka puasa pada hari itu. Dijeling sekilas hidangan di atas meja. Semua
hidangan yang dibeli sudah tersedia. Cuma menunggu masa untuk menjamah sahaja. “Hang ni pasai
apa, Tiara? Awat aku tengok hang dok masam mencuka dari tadi? Cuba habaq mai
sikit kat aku.” Saleha yang
memang anak jati Pulau Pinang mula memecah kebisuan antara mereka. Muka monyok
Tiara sedikit merimaskannya. Bagi Saleha, banyak mana masalah sekalipun di
tempat kerja jangan dibawa pulang ke rumah, apatah lagi depan rezeki seperti
ini. Tak baik, kata orang-orang tua. “A’ah, aku pun
perasan juga. Kau ada masalah ke Tiara? Kalau ada ceritalah dekat kami, mana
tahu boleh tolong?” Watie pula menyampuk. Belum sempat
Tiara membuka mulut menjawab pertanyaan teman-temannya, azan Maghrib sudah
berkumandang lewat Mutiara FM yang sedia terpasang. Dengan lafaz Bismillah,
tangan ditadah dan doa berbuka puasa di baca. Diikuti pula dengan doa makan. Buah tamar diambil sebiji. Maka, berbukalah
tiga orang sahabat dengan penuh kesyukuran. Usai menjamah tamar, buah tembikai
yang dipotong-potong kecil pula dicapai Tiara. Dijamahnya potongan buah
tembikai merah itu satu demi satu. Watie dan Saleha juga senyap. Masing-masing
enak menikmati hidangan martabak dan nasi tomato daging. Perbualan mereka
sebelum azan berkumandang terhenti begitu sahaja. Tidak ada yang seperti
berminat untuk menyambung kembali. Baik dari pihak Watie dan Saleha, mahupun
Tiara sendiri.
******
Solat Tarawih
sudah selesai.Tiara kini sedang
beristirahat di dalam bilik. Rumah yang didiami mereka ini sekadar disewa.
Bukan dia tidak mampu untuk membeli. Cuma dia sendiri tidak pasti selama mana
dia akan merantau di Pulau Pinang. Sehingga kini sudah lima tahun. Lagi pula,
neneknya masih ada dan tinggal di Balik Pulau. Tidaklah jauh mana. Cuma dia di
tanah besar dan neneknya di sebelah pulau. Tiara
bermalasan di tepi jendela. Sengaja dibiarkan terbuka. Biar angin malam
menghembus ke kamarnya. Malam-malam bulan puasa mana ada orang kena kacau
dengan hantu? Bukankah semua syaitan dah kena gari?! Pandangan mata
di biar lepas ke dada langit. Nampak kelam dan hitam. Tak ada satu bintang pun
yang nampak di mata. Terasa sayu pula di hati Tiara. Entah kenapa, tiba-tiba
saja datang itu menerepa. Apakah kerana dia masih bersendiri seperti sang
rembulan yang sunyi tanpa berteman bintang? Nafas dihembus
keluar perlahan. Jodoh itu bukankah aturan Tuhan? Entah kenapa fikirannya
kacau. Sudah lama dia tidak berasa begini. Tidak betah melangut di tepi jendela
seperti perempuan terdesak, Tiaraa bingkas menutup tingkap lalu bergerak ke
peraduan. Sebelum itu, lampu kalimantang ditutup dan dipasangnya lampu tidur.
Cahaya malap menerangi ruang bilik tidur utama yang terdapat dalam rumah teres
dua tingkat itu. Saat kepala Tiara melekap di bantal, fikirannya menerawang
peristiwa petang tadi di bazar Ramadan. “Eh, butakah
apa?” Kasar sungguh suara itu menampar gegendang. Biarpun kepala termasuk
sepasang telinga Tiaraa sudah dilitupi anak tudung sebelum dialas dengan tudung
jenama Duck, tetapi kata-kata mamat seorang di hadapannya kini bagaikan bisa di
pendengarannya. “Awaklah, buta!
Tak nampakkah yang mata saya yang bundar, cantik dan menawan ni masih elok? Ada
saya pakai tongkat tak? Atau ada saya jalan teraba-raba?” Sembur Tiara kembali.
Lelaki psiko perasan bagus seperti mamat di hadapannya itu bukan boleh dilayan
sangat. Muka saja handsome tapi
perangai hancur! “Eh, ingatkan
mata saja yang rosak, tak sangka mulut pun bau longkang!” Mulut mamat muka elok
siap macam banglo lima tingkat berharga jutaan ringgit itu boleh tahan gagah
juga membalas. “Yang awak
marah sangat ni kenapa? Saya terlanggar sedikit saja kan? Bukannya sampai terpeluk
atau tercium awak?” Tiara mula membela diri walaupun dia tahu salah tetap ada
juga pada dirinya yang mengelamun sambil berjalan tadi. Tetapi niat untuk
meminta maaf terus mati apabila lelaki yang dilanggarnya itu berterusan
menyemburnya. “Sedikit awak
cakap? Tengok ni!” Lelaki itu menunjukkan baju kemejanya yang basah dengan air
tembikai yang tertumpah. Sudahlah baju kemejanya berwarna putih. Lagi jelas
kesan merah air tembikai yang tumpah ekoran kecuaian gadis yang berada di
depannya itu. “Awak cakap
macam baju awak seorang saja yang basah. Ni, tudung Duck saya pun kena tau!
Tengok mulut saya ni, tudung D.U.C.K!” Tiara masih tidak mahu mengalah, sampai
mahu mengeja perkataan Duck, iaitu antara jenama tudung yang agak mahal terdapat
dalam pasaran tanah air, semahal kontroversi pengasasnya. “Huh, susah nak
cakap dengan perempuan kepala batu macam ni! Siapalah yang malang dapat bini
macam ini!” Lelaki itu mula mengibas-ngibas kemeja di bahagian dada. “Eh, awak cakap
elok-elok ya! Saya masih bujang lagi tau. Ikut sedap mulut dia saja nak sembur
orang.” Tiara membetulkan kesalahan fakta dalam bicara lelaki itu. “Oh, bujang
lagi? Eloklah tu. Patut tak ada lelaki yang hendak. Muka dah okay. Perangai saja yang hangus.
Mengalahkan singa betina yang tak mengawan setahun! Kalau macam ni la perangai
awak, sampai ke tua la awak hidup membujang. Eh, dah la. Saya nak balik. Cakap
dengan awak, dengan saya sekali boleh jadi sewel.” Lelaki itu kemudian berlalu
pergi. Tiara termangu
seorang diri. Bila dia memerhati sekeliling baru dia sedar, ada banyak mata
yang memandang. Ada yang melihat simpati. Ada yang tersenyum sinis. Ada juga
yang langsung buat tak tahu. Tidak betah
berlama di situ, Tiara pantas mendapatkan Mazda 6 merah saga kesayangannya. Bunyi mesej
masuk menerusi aplikasi WhatsApp mematikan lamunan Tiara. Dicapai Huawei P30
Pro Aurora kesayangannya. “Hurmmm, Encik
Jay. Malam-malam pun nak pesan tentang hal kerja.” Tiara menetapkan mod senyap.
Telefon pintarnya itu diletakkan di meja sisi. Melihat lama-lama skrin telefon
dalam cahaya malap ketika sebelum tidur sangatlah tidak baik untuk kesihatan
mata. Sebut tentang
mata, ini pun satu hal. Mata Tiara masih tetap tidak mahu terlelap. Sudah
beberapa kali dia mengalih ke kir dan ke kanan. Tetapi minda dan hati tidak
seiringan. Akal menyuruh untuk tidur. Tetapi hati tidak henti-henti memikirkan
kata-kata lelaki itu siang tadi. Entah siapa namanya dia tidak tahu. Tetapi
mulut lelaki itu cukup berbisa. Jarang dia melihat lelaki yang bermulut laser
seperti itu. Bicara akhir lelaki itu sebelum melangkah pergi begitu mengganggu
dirinya. Apakah dia akan berkeseorangan hingga ke akhir hayat tanpa seorang
teman bernama suami?
******
Seperti biasa
sebelum pukul 8.00 pagi, Tiara sudah sampai ke pejabat. Pyramid Creative
tidaklah jauh mana dari rumahnya. Dari Lorong Sembilang ke Bandar Sunway
sekitar 10 hingga ke 15 minit perjalanan sahaja. Jadi tak perlulah Tiara keluar
awal untuk ke tempat kerja. Memadai cukup-cukup waktu sahaja. Pagi itu Tiara
mengenakan Khaki Mival berwarna putih menutupi sepasang kakinya daripada pandangan
mata yang bukan mahram. Seluar itu dipadankan dengan blouse batik coklat dan
hitamkrah-V neck bermotifkan abstark.
Kepalanya dilitupi dengan tudung Ariani putih bermotifkan sulaman bunga kecil
yang punya warna senada dengan blouse yang dikenakan. Beg tangan Coach dan
tumit tinggi jenama Carlos berwarna silver dan dihiasi batu swarovski menjadi
pelengkap gaya. Pendek kata dari hujung kepala hingga ke hujung kaki memang
nampak sempurna. Apatah lagi wajah yang sedia menarik itu ditata rias dengan solekan
ringkas dan gincu yang membuat seulas bibir Tiara tampak begitu menggoda! Sampai di partition ruang kerjanya, Tiara mula
menyemak jadual. Rakan-rakan sepejabat yang lain juga sudah memulakan tugas
masing-masing. Maklumlah, tugasan semakin banyak. Permintaan baru juga masih
galak diterima oleh Encik Jay. Entahkan sempat siap atau tidak, Tiara sendiri
pun tidak tahu. Diari hitam yang terletak elok di sudut meja diselak. Tarikh
pada hari itu diperiksa. Ada satu janji temu
dengan tuan punya rumah di Bandar Perda pukul 10 pagi nanti. Ada masa kurang
lebih dua jam lagi. Sementara
menanti waktu janji temu, Tiara menyemak kembali lakaran hiasan dalaman ruang
tamu yang disiapkan semalam untuk banglo Datin Maizurah. Konsep yang diminta
pelanggannya itu moden kontemporari. Tiara ikut sahaja kehendak pelanggan. Cuma
dia menambahkan kreativiti di sana sini. Termasuklah daripada pemilihan perabot
dan fabrik sehinggalah kepada susun aturan di ruang tamu kepunyaan Datin
Maizurah itu. Pening juga Tiara mencari idea. Tambahan pula, Datin Maizurah
yang merupakan regular customer itu
agak cerewet. Ada sahaja yang tak kena pada pandangannya tiap kali menggunakan
khidmat Pyramid Creative. Mungkin sebab title Datin membuatkan ‘makcik’ seorang
itu demand selalu! “Hai, Tiara!
Sibuk?” Tanya Ikram yang tiba-tiba menjenguk ke partition Tiara. “Hurmm,
bolehlah. Yang kau pagi-pagi dah bersandar kat sini tak ada kerja ke?” Aju
Tiara. “Gila kau, tak
ada kerja! Banyak kot kerja aku yang tak siap lagi. Rumah Datuk Mahfuz on the way, Encik Jay dah bagi projek
untuk rumah model popular Lily Maisara tu pula. Tak sangka pula aku, model popular
tu nak guna khidmat Pyramid Creative untuk ubah suai rumah mummy dia tu!”
Teruja benar nada suara Ikram. Barangkali salah seorang peminat Lily Maisara
mungkin! “Ni, aku
singgah nak bagi tahu, petang ni selepas lunch
hour ada meeting tergempar, kau
tahu tak?” Ikram terus menyampaikan tujuannya bertemu Tiara seawal pagi itu. “Eh, ada meeting ke? Kenapa aku boleh tak tahu?”
Tiara bertanya kembali sambil sekali lagi menyemak diari hitamnya. Kalau-kalau
terlepas pandang. Tetapi serasanya tadi dia sudah semak dengan teliti, cuma ada
satu janji temu pada hari ini. Tak ada pula dicatatkan mesyuarat dan
sebagainya. “Yang kau sibuk
semak planner kau tu sebab apa? Dah namanya mesyuarat tergempar. Maksudnya last minute la bos decide. Kalau kau tengok diari tu sampai tembus sekalipun, sure takkan jumpa punya!” Ikram ketawa
di hujung bicara. Tiara tepuk
dahi. Betul juga cakap Ikram itu. Mesyuarat tergempar kalau sudah diberitahu
awal-awal tentang tarikh dan masanya, maka tak ada nilai langsunglah untuk
perkataan tergempar itu. “Dah la, aku
nak sambung buat kerja. Jangan lupa meeting nanti. Aku sampaikan khas suntuk
kau seorang ja ni. Dah la kau selalu masuk lambat tiap kali ada meeting, jangan lambat lagi kali ini
sudah. Mana tau tiba-tiba bos besar masuk sekali tak ke kena sembur free. Kalau setakat Encik Jay itu boleh adjust lagi.” Ikram sudah kembali ke
ruang kerjanya usai menyampaikan pesanan. Tinggal Tiara
seorang kembali. Bila difikirkan kembali, betul juga cakap Ikram tu. Selalu
juga dia masuk lewat setiap kali bermesyuarat. Tetapi selalunya semasa
mesyuarat kecil dengan team mate
hiasan dalaman mereka sahaja. Setakat in belum pernah dia terlewat masuk untuk
mesyuarat besar yang menghimpunkan semua kaki tangan seperti mesyuarat
tergempar yang bakal diadakan selepas waktu makan tengah hari nanti.
******
Tiara sudah
mula berkemas. Jam menunjukkan pukul 9.15 minit pagi. Bukan dia mahu pulang.
Sebaliknya ke rumah Datin Maizurah di Bandar Perda.Coach warna silver disambar. Bedak compact
disapu sedikit ke serata wajah. Diambil pula pelembap bibir. Dioles pada
bibirnya yang sedia menawan. Saat kakinya mula melangkah meninggalkan ruang
kerja, ada satu suara yang memanggil. “Tiara!” Tiara berpaling.
Rupanya Encik Jay. Mahu apa bos kecilnya itu. Tiara sekadar berteka-teki dalam
fikiran. “Tiara, awak
nak ke rumah Datin Maizurah kan?” Soal Encik Jay sejurus berhadapan dengan Tiara. “Yup, that’s right!” Balas Tiara pendek. “Ermm, saya nak
awak belikan Datin sejembak lili putih. Datin tu dah lama juga berurusan dengan
Pyramid Creative, jadi big boss nak kita jaga hubungan baik dengan Datin.And for
your information, white lily maybe
boleh tolong awak berurusan dengan Datin yang cerewet tu.” Jelas Encik Jay tentang
tujuannya memanggil Tiara. Kening Tiara
terjongket sebelah. Macam ini pun ada? Jadi lili putih ni kira macam bagi
rasuah la ni? Eh, bukan rasuah tapi lebih kurang cenderahati. Ya la tu. Dulu
sebut cenderamata. Habis tu, bila ramai yang pertikai perkataan cenderamata
lebih kepada nak mengaburi mata, tukar pula kepada cenderahati, kononnya macam
nak jaga hati. Padahal pi mai, pi mai dok tang tu jugak! Tak faham Tiaraa.
Apapun yang penting ialah niat. Dan niat Encik Jay dan big boss Pyramid Creative memang tak salah. “Okay, Encik Jay. Nanti sebelum ke banglo
Datin, saya dapatkan sejambak lili untuknya.” Balas Tiara dengan seulas
senyuman manis. Encik Jay sekadar
mengangguk kecil. Nasib baik dia sudah berkahwin. Kalau tidak boleh terjatuh
juga hatinya melihat Tiara yang sentiasa murah dengan senyuman setiap kali
berurusan dengannya. Tiara
meneruskan langkah ke arah lif. Seperti biasa Mazda 6 kesayangannya menjadi
teman setia membawanya ke mana-mana. Ramai yang persoal tentang keupayaannya
menggunakan kereta yang boleh dikategorikan sebagai mewah juga personalitinya
yang sentiasa menggunakan barangan dan perkhidmatan yang berjenama. Mungkin ada
yang sangsi, dengan pekerjaan dan usia mudanya itu memungkinkan semua itu
dimiliki. Tetapi tidak ramai yang tahu papanya merupakan seorang ahli perniagaan
yang berjaya. Bahkan Tiara sendiri mempunyai saham di dalam syarikat papanya
itu. Dan setiap bulan keuntungan akan dimasukkan secara automatik dalam akaun
peribadinya. Wang yang dimasukkan itu pula bukan sedikit jumlahnya. Makanya,
tidak mustahil untuk Tiara dapatkan apa-apa sahaja yang dia mahu. Bezanya Tiara
dengan anak orang berada yang lain, dia tidak suka menunjuk. Bahkan Tiara tidak
mahu berada di bawah ketiak keluarga. Kerana itu dia memilih keluar dari ibu
kota. Memilih bekerja di syarikat lain untuk menimba pengalaman. Sedangkan
papanya sendiri mempunyai syarikat interior
design yang gah di Kuala Lumpur. Jenuh papa dan mama membebel, bila dia
menyuarakan hasrat untuk bekerja di syarikat lain. Lagi teruk, mamanya sampai
merajuk bila dia menyuarakan hasrat untuk merantau ke negeri lain. Sampaikan,
mamanya menuduh dia tidak sayangkan famili. Masakan tidak?
Tiaraa sudah habiskan lima tahun di luar negara menuntut ilmu pengetahuan dalam
jurusan hiasan dalaman. Negara pilihannya pula nun jauh di Kota Paris. Bila
kembali ke tanah air, Tiara mahu merantau lagi. Kali ini di dalam negara cuma berlainan
negeri. Ibu mana yang tidak berkecil hati. Apatah lagi, Farisha satu-satunya
puteri dalam keluarga mereka. Datin Khalidah mempunyai empat orang anak lagi
hasil perkongsian hidup bersama Datuk Akhbar. Cuma Tiara satu-satunya anak
perempuan. Biar usia Tiara sudah matang, kebimbangan seorang ibu itu tetap ada.
Justeru, Datin Khalidah menetapkan syarat, jika Tiara mahu merantau, hanya
Pulau Pinang sahaja yang dibenarkan. Itupun sebab nenek Tiara tinggal di negeri
itu. Tiara senyum
simpul sambil memandu. Boleh pula fikirannya menerawang hingga memikirkan
perihal mama dan papa. Barangkali rindu mungkin. Mazda 6 dihentikan di seberang
jalan berhadapan dengan sebuah kedai bunga. Keluar saja dari kereta, Tiara
terus masuk ke kedai Spicy Florist. Tiara memang biasa dengan kedai bunga ini.
Sesuai dengan namanya, kedai itu memang menawarkan gubahan yang cantik dan
pedas mata memandang. Sejambangan lili putih dipesan. Kreativiti gubahan
diserahkan seratus peratus kepada pekerja Spicy Florist. Farisha tak kuasa nak
fikirkan konsep gubahan bunga untuk Datin Maizurah. Tak sampai 10
minit gubahan dah siap. Itu yang dia suka singgah ke Spicy Florist. Cekap,
pantas dan gubahannya ada taste! Tiara
membayar harga gubahan lili yang cantik itu. Berapa harganya dia tidak kisah.
Balik pejabat boleh claim kembali.
Lagipun itu bukan idea dia, tetapi arahan pihak atasan. Keluar dari Spicy
Florist, pintu belakang Mazda 6 dibuka, dan jambangan lili diletak elok.
Tatkala ditutup kembali pintu keretanya, dahi Tiara mula berkerut. “Hantu mana
yang parking kereta macam ni?” Tiara tension.
Vintage Omega dilihat sekilas. Sudah 9.45 pagi. Tinggal 15 minit sebelum waktu janji
temu. “Siapa pula la,
yang letak kereta serupa tak pernah pergi driving
school?” Bebel Tiara lagi. Sambil itu, matanya dikitarkan sekitar kawasan
itu. Mana tahu ada tuan punya kenderaan di mana-mana. Memang ada manusia yang
lalu-lalang. Tetapi semuanya serupa tak kisah dengan BMW M8 biru yang diparkir
menghimpit keretanya itu. Tiara mundar-mandir.
Masa semakin berlalu. Jika dia terlewat, alamatnya pasti melenting Datin
Maizurah. Saat itu lili putih juga pasti tidak akan dapat membantu. Encik Jay pasti
akan memberi tazkirah percuma. Lebih malang lagi kalau big boss turut berkhutbah.Tambah, selepas lunch hour ada
meeting tergempar. Kalau isu ini
dibangkitkan di hadapan semua orang tak ke malu. Tahu sajalah Datin Maizurah
yang suka berdrama. Pasti ditokok tambah cerita ke pihak atasan. Tiara tidak
sanggup berhadapan dengan semua itu. Fikirannya perlu dilapangkan untuk
bereksperimentasi dengan kreativiti bukannya disemakkan dengan benda-benda
remeh-temeh. Tanpa
berlengah, Tiara masuk ke ruang pemandu Mazda 6. Hon kereta ditekan berulang
kali. Bingit bunyinya. Mereka yang lalu-lalang memberi perhatian. Cuma sejenak.
Kemudian masing-masing menyambung hal sendiri.Tiara tidak berhenti. Selagi tuan punya kereta BMW biru tu tidak sampai
selagi itu di akan membunyikan hon. Selang beberapa
ketika ada seorang lelaki keluar dari kedai buku bersebelahan dengan Spicy
Florist. Orangnya nampak bergaya. Seluar slack putih dipadankan dengan kemeja
lengan panjang pink. Nampak seksi pula warna pakaian itu melekap di tubuh sasa
lelaki itu. Eh, kenapa lelaki itu seperti menghampiri Tiara? Hati dan perasaan
mula berkocak. Jantung Tiara mula bergendang bagaikan genderang perang. Tiara, behave! Sekarang ni bulan puasa, jangan
menggatal sangat! Ingat Tiara jangan bagi nampak desperate walaupun kau dah nak masuk kelab 30-an! Cermin Mazda 6
merah Tiara diketuk. Terkejut Tiaraa dibuatnya. Betullah. Sexy pink itu yang ketuk. Maksudnya bukan dia berangan tadi. Memang
lelaki itu sedang berjalan menuju ke arahnya tadi.Cermin kereta diturunkan. “Ya, encik ada
apa?” Tanya Tiara sopan. Keayuan kena control.
Saham kena jaga! “Hai, sopan
pula singa betina hari ni!” Sexy pink
bersuara. Terus berdesing
telinga Tiara. Macam pernah dengar suaranya. Ditenungnya muka lelaki yang
sedang elok bersandar pada Mazda 6 miliknya. Hah, dia? “Awak?”
Terlopong sedikit mulut Tiara. “Ya, sayalah! Sexy and hot in pink! Kening lelaki itu
terjongket. Tiara terdiam.
Aku berangan saja kan tadi? Atau aku terlepas cakap ke? Macam mana mamat tu
boleh tau apa yang ada dalam fikiran aku tadi? Tiara bergumam di dalam hati. “Perasan! Eh,
mamat poyo, dah lah semalam awak kutuk saya macam-macam, hari ini pun awak nak
cari fasal erk? Suka hati awak saja panggil saya singa betina! Awak ni tak ada
kerja ke hah? Pagi-pagi dah cari saya, ajak bergaduh?” Tiara mula hilang sabar. “Ek eleh, awak
ingat, awak tu Miss Universe atau paling tidak pun model terkenal, sampai nak
saya tercari-cari. Ini kalau awak tak macam perempuan gila talak duduk bunyi
hon, tak ada maknanya saya nak datang tau!” Balas lelaki itu pula. “Oh, maknanya, BMW
M8 biru ini awak punyalah?” Tiara sudah mula membuka pintu keretanya. Dia mahu
berhadapan dengan lelaki itu. Dengan mamat poyo ini dia tak perlu control ayu. “Eh, mamat
poyo! Awak ambil lesen dekat mana hah? Pakai rasuah erk? Parking pun tak betul! Awak tahu tak yang perbuatan awak tu dah
menyusahkan saya. Saya ada banyak kerja tau. Bukan macam awak yang kerjanya
asyik cari gaduh dengan orang. Dan la parking
himpit belakang kereta orang, lepas tu tak tahu nak minta maaf. Yang di tahu
cari fasal saja. Saya tak pernah la jumpa dengan orang macam awak ini.
Suka-suka hati kata orang itu, ini! Tak pernah tau! Tak pernah!!” Puas Tiara
meluahkan perasaan. Rasa geram dimalukan semalam digabung dengan peristiwa pagi
ini membuatkan Tiara benar-benar hilang sabar. Sexy pink?! Eh, tak ada maknanya sexy lagi!
Mamat poyo tak kata apa-apa. Eh, dah surrender
ke? Hati Tiara berbisik. Lelaki itu
hanya diam. Wajah Tiara yang sudah merah dipandang sekilas. Kemudian beg
plastik yang dijinjingnya dari tadi dibuka. Sebuah buku diambil. Kemudian tapak
tangan Tiaraa ditarik. Buku yang diambil tadi diletakkan di atas tapak tangan
Farisha. Lelaki itu
kemudian bergerak ke arah BMW miliknya. Masuk dan hidupkan enjin. Kemudian
pecut berlalu. Tinggal Tiara lagi di situ. Semalam pun Tiara juga yang
ditinggalkan. Hari ini pun sama! Buku yang berada di tangan berada dalam
keadaan terbalik. Tiara tidak jelas akan judulnya. Tatkala kulit hadapan buku
ditatap, biji mata Farisha terjojol. Judul buku itu ‘Indahnya Sabar’. Tiara sentap.
Makan dalam kot!