Ayah anda ditukarkan bekerja ke luar negara.
Anda bersama-sama ahli keluarga anda bakal mengikuti ayah anda. Ceritakan
pengalaman anda berpindah ke tempat baharu selengkapnya. Panjangnya penulisan
anda hendaklah tidak kurang daripada 180 patah perkataan.
Pada suatu
hari, ketika kami sekeluarga sedang berkelah, ayah membuat kejutan kepada kami
bahawa kami sekeluarga akan berpindah ke Chicago, Amerika Syarikat. Ayah
beritahu dia harus dipindahkan ke sana kerana harus menjadi wakil bagi
syarikatnya dan harus tinggal selama 5 tahun. Aku dan abang aku terus melonjak
keriangan kerana berpeluang untuk hidup di negara asing dan tidak lain tidak
bukan Amerika Syarikat. Nasib baik kami fasih berbahasa Inggeris. Oleh itu,
tiada masalah bagi kami untuk berkomunikasi dengan orang tempatan.
Seminggu
selepas ayah mengumumkan kejutan itu, kami mula mengemas barang kami kerana
ayah beritahu bahawa syarikatnya telah menempah tiket penerbangan kami iaitu
pada bulan hadapan. Jadi kami mempunyai lebih kurang sebulan lagi untuk
mengemaskan rumah dan bersekolah di sini. Pada awalnya, sungguh berat bagi kami
sekeluarga untuk meninggalkan tanah air kami. Sehari sebelum penerbangan, kami
mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan, jiran yang rapat serta
saudara-mara. Pada pagi yang dinanti-nantikan itu, kami bergegas ke lapangan
terbang kerana penerbangan kami adalah pada pukul 8.00 pagi. Setelah tiba di
lapangan terbang, kami pergi ke kaunter bagasi untuk mendaftar masuk bagasi
kami. Kemudian, kami terus ke pintu penerbangan untuk menunggu pesawat kami.
Sesudah
menunggu selama 30 minit, kami memasuki kapal terbang dan mencari tempat duduk
yang telah ditempah sebulan lalu. Aku berasa sungguh teruja kerana aku duduk
di tepi tingkap kapal terbang. Oleh itu, aku dapat menikmati pemandangan bandar
serta lautan biru yang luas. Selain itu, inilah kali pertama aku menaiki kapal
terbang. Tidak sabar aku untuk sampai ke destinasi yang sungguh jauh dari tanah
airku.
Setelah
beberapa jam penerbangan, akhirnya kami tiba di Chicago, Amerika Syarikat. Ayah
mengatakan bahawa rakannya, John akan menyambut kami dan membawa kami ke rumah
baharu kami di Chicago. Hatiku berdegup kencang kerana teruja untuk melihat
rumah baharu kami sekeluarga. Tiba di rumah tersebut, seperti kanak-kanak lain,
aku, abangku dan adik lelakiku berlari ke dalam rumah untuk memilih bilik
masing-masing. Aku memilih bilik yang sederhana besar kerana mudah untuk aku
mengemas bilik nanti.
Setelah
beberapa bulan tinggal di Chicago. Aku sungguh rindu akan makanan Malaysia. Teringin
aku hendak makan nasi lemak Mak Cik Kiah yang selalu dijual di hadapan
sekolahku di Malaysia. Kini, aku, abangku dan adikku bersekolah di sekolah
antarabangsa, British International School Chicago, Lincoln Park. Aku mempunyai
ramai rakan baharu di sana tetapi aku tidak lupa akan rakan-rakanku yang berada
di Malaysia. Aku berharap bahawa hidupku di sini, di Amerika akan menjadi
seperti biasa sebagaimana ketika aku berada di Malaysia. Jika diberikan peluang
untuk hidup lagi di negara lain, aku tidak tahulah bagaimana aku hendak hidup?
Hal ini demikian kerana Malaysia dan aku memang tidak boleh dipisahkan. Aku
harus pulang ke tanah airku umpama sirih pulang ke gagang.
*** Karangan ini merupakan hasil tulisan
pelajar tuisyen Tingkatan 3