Dunia semakin
tua. Manusia pula semakin rakus. Dalam pada pelbagai kemusnahan alam sekitar
angkara tangan-tangan jahat manusia, sekali lagi masyarakat Malaysia dikejutkan
dengan treler yang mengangkut batang balak bersaiz luar biasa. Gambar-gambar
yang tular menerusi rangkaian media sosial, akhirnya mengungkap cerita sebenar
oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu yang mengesahkan bahawa kayu balak
bersaiz besar yang dibawa dari negeri itu diambil dari kawasan pembalakan yang
diberi lesen untuk tujuan pembalakan.
Bayangkan dengan
saiz batang pohon itu, berapakh usianya? Begitu mudah manusia menebang
pokok-pokok besar dengan ratusan tahun usianya hanya sebab tujuan
materialistik. Di sekolah menerusi pelbagai mata pelajaran, kesan-kesan
pembalakan dibicangkan bersama murid. Namun, lihatlah apa yang terjadi di
negara kita pada hari ini? Pembalakan berlaku secara tidak terkawal. Lihat
sahaja bencana banjir besar di Pahang tahun lepas dan pendedahan pembalakan
berleluasa yang berlaku secara halal.
Persoalannya,
berapa banyak khazanah alam telah dan bakal dimusnahkan demi tujuan tertentu
dan dihalalkan caranya dari sisi undang-undang, meskipun secara nyata terang
lagi bersuluh tindakan itu sangat dangkal dari aspek pemeliharaan dan
pemuliharaan alam sekitar? Dalam Al-Quran dinyatakan, bahawa kemusnahan di muka
bumi itu berlaku angkara tangan-tangan manusia! Benarlah seperti yang
diberitakan. Hari ini kita menyaksikan pelbagai kemusnahan di atas muka bumi
angkara tangan-tangan manusia.
Pembangunan
itu perlu, tetapi biarlah dirancang dan dibangunkan secara bijak.
Sudah-sudahlah ditarah segala bukit yang menjadi paksi bumi untuk tujuan
perumahan mewah yang rata-rata tidak mampu dibeli oleh rakyat marhaen sendiri.
Cukup-cukuplah ditebang rakus segala pohon kayu balak hanya kerana nilai mata
wang yang cukup tinggi yang tersembunyi di sebalik batang-batang besar pokok
itu. Cukuplah! Tuhan sedang memerhati. Setiap kerosakan itu pasti ada harga
yang cukup besar yang perlu kita bayar. Salah satunya ancaman bah besar yang
semakin lama semakin memburuk daban tahun!
Kata pujangga,
sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan kerana kemewahan,
khazanah buni sendiri dipergadaikan. Ingatlah, tatkala nasi menjadi bubur,
menangis air mata darah sekalipun tidak membawa sebarang manfaat.