Judul: Noktah
Naihara merupakan seorang insan yang kelahirannya di atas muka bumi ini agak malang. Memegang gelaran anak luar nikah bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Apatah lagi langsung tidak diinginkan kewujudannya di atas dunia ini. Ujian demi ujian, cabaran dmi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Naihara menjadikanya sebagai seorang anak gadis yang langsung tidak mempunyai keyakinan diri. Datang Baihaqi dalam hidup Naihara. Bukan sekali lelaki itu hadir tanpa sengaja dalam hidupnya. Takdir membawakan Baihaqi dua kali dalam hidup seorang Naihara. Namun, takdir yang sama juga tertera buatnya bahawa Baihaqi juga membawa kelukaan yang amat mendalam dalam jiwanya. Sejauh manakah hidup ini begitu beracun sehinggakan andai mampu Naihara berulang kali menyatakan bahawa dia sudi sahaja mencabut nyawanya sendiri? Tentu sahaja jawapannya dalam naskhah terkini tulisan penulis popular Rehan Makhtar berjudul Noktah.
Serasanya tidak perlu lagi diperkenalkan sebaris nama Rehan Makhtar dalam dunia penulisan novel tempatan. Novel-novel beliau agak popular, terkini novel tulisan beliau juga baru sahaja selesai menghiasi Slot Akasia dengan drama rantaian adaptasi novel berjudul Tak Sempurna Mencintaimu. Karya tulisan beliau pernah diterbitkan oleh beberapa penerbit seperti Karya Seni, Penulisan2u, dan Idea Kreatif. Kini, beliau semakin aktif menerbitkan novel tulisan beliau menerusi penerbitan sendiri, iaitu Blogijau Enterprise. Noktah merupakan novel ketujuh yang diterbitkan oleh beliau sendiri selepas Dengarlah Jeritan Hatiku, Aku Telah Mencintaimu, Beast And The Beauty, Cinta Biar Sahaja Ada, Maghfirah dan Luruh.
Sering menjentik emosi pembaca karya-karya Rehan Makhtar berada dalam legasi tersendiri dalam arena novel Melayu tempatan. Noktah tidak ketinggalam dalam menghambat rasa kesal, pedih, sedih dan terkilan dalam jiwa pembaca. Watak Naihara dipotretkan umpama sebatang pokok yang berdiri teguh menunjangi diri dengan berpaksikan akar pada lantai bumi. Meski disambar mentari garang atau dihambat ribut kencang, sebatang pokok itu terpaksa bertahan selagi mana akarnya masih mencengkam tanah. Begitulah Naihara... Selagi mana jasadnya bersemi nafas, selama itu ditakdirkan ujian buatnya. Lalu tidak mampu dia mempersoalkan takdir, hanya terdaya dilakukan adalah bertahan, dan terus bertahan demi seseorang yang teramat disayanginya sejak di alam rahim lagi. Naihara mengajar pembaca untuk terus tabah. Naihara mendidik pembaca untuk bertahan dalam hidup walau dalam apa-apa situasi juga yang melanda. Seorang Naihara dalam kisah ini mengungkap kesabaran seolah-olah makanan ruji yang ditelan demi kelangsungan hidup setiap hari. Diklasifikasikan sebagai sebuah novel yang agak tebal dengan 713 halaman, pembaca perlu fokus dan bertahan dari aspek emosi untuk menoktahkan semua derita Naihara di hujung cerita. Plot cerita yang agak berat dan sarat dengan emosi ini boleh dikunyah inti pati ceritanya pada suasana yang sunyi dan hening untuk memastikan impak emosinya lebih realiti! Anda berani mencabar emosi anda turun naik seperti roller coaster, dapatkan Noktah dan nilaikan sendiri sesudah membaca.
Kesimpulan:
★★★★
★★★★