Resensi Novel I Heart You Mr Hot Karya Mell Mariann

Cikgu Muzz
By -
0
 

Judul: I Heart You Mr Hot
Penulis: Mell Mariann
Penerbit: Tinta Mell Enterprise
Tahun: April 2021
Bilangan Halaman: 412 muka surat
 
Sinopsis:
Amil seorang anak gadis yang masih mentah umurnya. Demi cinta yang dikejar dan syarat yang dikemukakan bapanya, Amil sanggup untuk mencari duit tambahan bagi membantu kekasih hati mampu untuk meminangnya. Siapa sangka keikhlasan hati Amil melontarkannya dalam perangkap seseorang sehinggakan dia terkurung dalam sebuah rumah besar yang cukup mewah. Menjadi seorang pembantu rumah atau lebih mesra disapa sebagai orang gaji bukanlah kerjaya impian Amil. Apatah lagi ditugaskan menjaga seorang pemuda kurang upaya yang digelar anak rimau! Saat Hayl iaitu ‘anak rimau’ yang dijaga Amil sudha mula serasi dengannya, suatu kebenaran terungkap sehinggakan Amil dijerat bersama Hayl dalam sebuah ikatan yang bernama perkahwinan. Sejauh mana berlikunya kisah hidup Karmila Cattleya yang disapa Amil itu? Bagaimana pula dengan cinta pertamanya saat dia terpaksa menerima Hayl Amsyar dalam hidupnya sebagai seorang suami? Naskhah I Heart You Mr Hot ada jawapannya.
 
Keterangan Penulis:
Mell Mariann barangkali ada yang pernah mendengar nama penulis ini, mungkin juga ada yang pertama kali mengenalinya seperti saya. Namun. I Heart You Mr Hot bukanlah karya pertama tulisan beliau. Mell Mariann sudah pun menghasilkan lapan buah novel versi cetak dan beberapa karya e-book. Antara karya Mell Mariann termasuklah Semanis Mimpi, Big Bos I Need You, Barith Can’t Unlove You, Melati Bunga Mekar Mewangi dan sekuelnya Melati Bunga Tidak Mewangi.
 
Ulasan:
Membaca karya seorang penulis yang baharu pertama kali membelek karyanya merupakan suatu cabaran kepada minda. Sesudah membaca beratus-ratus novel sejak tamat Tingkatan Enam dulu, ada satu kayu ukur dalam hati dan minda dalam penerimaan terhadap sesebuah karya dan gaya tulis seseorang penulis. Namun, Mell Mariann tidak mengambil masa yang lama untuk memandu minda, hati, jiwa dan rasa untuk meresap dalam barisan kata-kata yang digarap beliau dalam naskhah I Heart You Mr Hot. Seperti biasa persis kebanyakan karya pastinya ada watak protagonis dan antagonis. Dalam cerita ini watak antagonis yang dipaparkan tidaklah terlalu berat sehinggakan rasa mahu pecah kepala untuk mensintesis segala kejahatan perwatakannya. Cukup sekadar dalam kalangan ahli keluarga sendiri yang bertindak menyakiti sehingga menampakkan sisi watak antagonisnya. Watak utamanya pula walaupun mempunyai nama yang berbelit tetapi selesa dipanggil Amil dipotretkan sebagai seorang individu yang cukup matang walaupun menghadapi pelbagai dugaan sedari usia kanak-kanak. Mesej kemewahan tidak menjanjikan kebahagiaan ditonjolkan dengan jelas pada sisi watak Amil. Manakala, watak Hayl Amsyar pula dizahirkan sebagai seorang lelaki yang tewas dalam perasaannya sendiri dan kemudiannya bangkit demi matlamat kehidupannya. Pendek kata, meski berjudul dalam Bahasa Inggeris, cerita ini sesuai sahaja dibaca umum kerana babak romantis yang disisipkan masih berpada.
 
Kesimpulan:
★★★

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!