Judul: Kekasih Halal Dato
Seorang lelaki sempurna barangkali belum cukup untuk seorang perempuan yang hidupnya bertunjangkan nafsu. Dato Kamarulzaman menjatuhkan talak tiga ke atas isterinya yang diyakini curang. Peristiwa itu mengundang dendam sehinggakan Adya Qairina menjadi mangsa tanpa sedar untuk melunaskan isi hati yang tidak puas terhadap bekas suaminya oleh Hasliza. Motif dendam yang terpaksa digalas tanpa rela akhirnya menjerat Adya dalam nuansa cinta Zaman. Saat kebenaran terlerai, mampukah Zaman terus mengakui setia cinta Adya, ataukah rumah tangga kali kedua buat Zaman ini juga menuju kehancuran persis yang pertama? Kekasih Halal Dato punya jawapannya.
Mum Linz merupakan satu nama yang juga popular dalam kalangan pembaca novel Melayu tempatan. Penulis yang memegang genre romantisme sebagai olahan penceritaan antara hero dan heroin ini mempunyai pengikut setia menerusi akaun Facebook Mum Linz Rompecabezas. Kekasih Halal Dato merupakan novel terbitan penulisnya sendiri di bawah label Linz Novel dan sudah menjengah edisi cetakan ketiga.
Ini merupakan naskhah pertama karya Mum Linz yang saya baca. Novel ini terbit pertama kali pada tahun 2019, tetapi edisi ketiga cetakannya pada tahun 2021 baharulah menjadi santapan mata. Gaya penceritaan penulis ini dapat dikunyah dan dihadam dengan baik. Ramai mengatakan trademark penulis ini yang sarat dengan babak romantis dan kisah dalam kain suami isteri. Justeru, bacaan naskhah ini lebih sesuai untuk pembaca yang matang yang terdiri daripada kalangan individu dewasa. Dari aspek adunan watak, konflik, klimaks dan peleraian, Kekasih Halal Doto’ tidak ada cacat celanya. Malah edisi cetakan ketiga ini turut menerima tambahan halaman kisah Zaman dan Adya yang meyelitkan momen cemburu sweet! Akhir kata, sebuah naskhah yang tidak rugi dibaca pada masa senggang!
★★★★