Judul: Luruh
Penulis: Rehan Makhtar
Penerbit: Blogijau Enterprise
Tahun: Julai 2020
Bilangan Halaman: 693 muka surat
Ulasan:
Dendam itu membunuh. Membakar dalam diam. Menghanguskan bukan sahaja organ dalaman, sebaliknya turut merentungkan seluruh perasaan. Dendam, tidak ada sesiapa daripada kita yang menginginkannya. Dendam, terkadang tiada upaya kita menghalang daripada ia bermaharajalela. Ujian yang datang dalam hidup seawal usia 19 tahun, menjadikan dendam bertunas dalam hati Daneen. Daripada seorang gadis polos dan lemah lembut, hati Daneen menjadi begitu keras sehinggakan tiada ruang dalam jiwanya untuk secebis kemaafan.
Fitnah dan
khianat terhadap ayahnya, kehilangan nyawa ibu dan kakaknya, melontarkan Daneen
ke jurang yang paling dalam, sehinggakan tiada cahaya kebahagiaan yang akan
menyirami hidupnya sumur hayat ini. Pohonan dan rayuan sepertinya lebih hina
daripada seorang pengemis kepada lelaki yang memporak-perandakan kebahagiaan
hidup sekeluarga Daneen menjadi racun yang sangat berbisa. Racun itu bukan
sahaja mampu membunuh sesiapa sahaja, tetapi Daneen sendiri sedar dia sendiri
akan terbunuh sama dalam racun itu pada akhirnya.
Maliki. Lelaki
itu lain. Bekunya wajah. Kuyunya mata. Dinginnya aura... Lainnya Maliki tidak
mengubah hakikat bahawa dia merupakan waris pertama keturunan Datuk Malik,
lelaki yang paling dibenci oleh Daneen di dunia ini. Maliki mencintai dalam
diam. Maliki menyimpan rasa sekian lama dan diperam. Maliki tidak bersalah
dalam kekacauan yang berlaku antara dua buah keluarga. Maliki hanya mahu
melindungi. Maliki hanya mahu mencintai. Maliki hanya mahu disayangi; tetapi
apakah Daneen akan menjadi takdir terindah buat dirinya atau ujian penuh luka
dalam hayatnya?
Luruh nukilan
Rehan Makhtar seperti biasa bermain dengan sejuta rasa. Rasa berat menghimpit
hati. Membadai jiwa yang sesak tidak berhenti. Mendalami luka dan parahnya jiwa
yang dialami oleh Daneen yang serasanya tidak layak ditimpakan kepada seorang
anak gadis yang masih begitu muda. Derita Daneen begitu dirasai dalam
menghabiskan pembacaan naskhah ini. Rasanya sampai ke lubuk hati sehinggakan
ada ketika rasa geram dan marah bercampur kerana wujudnya ketidakadilan dan
kezaliman yang hadir di dunia ini yang begitu pantas merenggut kebahagiaan
seseorang insan dalam sekelip mata.
Hebatnya Luruh
bukan sahaja pada Daneen dan Maliki. Kehebatan Luruh disisipkan dalam hampir
kesemua watak sampingannya. Bait-bait kata yang merangkai dialog yang
memerihalkan keprihatinan, rasa tanggungjawab, amanah, setiakawan, kasih sayang
dan pengorbanan menerusi watak Alif, Syaqir, Lukman, Ray, Imam Sadiq, Hajah
Zahra, dan Lara begitu bersepadu dalam mengikat hati yang berderai dengan mesej
bahawa masih wujud manusia yang baik-baik dalam dunia yang penuh tipu daya ini.
Dendam itu membunuh. Membakar dalam diam. Menghanguskan bukan sahaja organ dalaman, sebaliknya turut merentungkan seluruh perasaan. Dendam, tidak ada sesiapa daripada kita yang menginginkannya. Dendam, terkadang tiada upaya kita menghalang daripada ia bermaharajalela. Ujian yang datang dalam hidup seawal usia 19 tahun, menjadikan dendam bertunas dalam hati Daneen. Daripada seorang gadis polos dan lemah lembut, hati Daneen menjadi begitu keras sehinggakan tiada ruang dalam jiwanya untuk secebis kemaafan.
Dendam tidak akan pernah membawa sekelumit kebahagiaan meski dendamnya sudah tertunai, kerna sebalik dendam itu berteman amarah; bersama amarah itu bersahabat tidak reda; dan pemimpin perasaan itu tidak yang lain melainkan iblis yang dilaknat sedari dulu kala. Tanggalkanlah beban yang membalut tubuhmu, dan biarkanlah selimut kemaafan mendakapmu... Percayalah, wahai hati yang menggalas beban yang tidak tertanggung rasa; sampai ketika, yang berat itu akan luruh daripada bahumu; Bertahanlah...
★★★★★