Soalan pemahaman merupakan soalan wajib dijawab dalam
Bahasa Melayu Kertas 2 peperiksaan SPM (1103/2). Dalam peperiksaan SPM format
baharu berasaskan KSSM, terdapat dua soalan pemahaman masing-masing mewakili
petikan umum dan petikan sastera. Setiap soalan pemahaman ini mempunyai antara
tiga hingga empat pecahan soalan. Pada masa ini, empat pecahan soalan yang
biasa dilihat adalah seperti berikut:
Maksud literal.
Banding beza maklumat daripada bahan yang diberikan
dalam soalan.
Kemahiran berfikir kritis.
Kemahiran berfikir kreatif dan kritif bertunjangkan
penyelesaian masalah.
Markah yang diperuntukkan bagi soalan keenam
(pemahaman petikan umum) dan soalan ketujuh (pemahaman petikan sastera) ialah
sebanyak 35 markah. Dalam catatan ini akan dikongsikan salah satu sebab
yang menjadi punca calon kehilangan markah tanpa disedari oelh mereka. Kesilapan
umum ini dikategorikan sebagai kesilapan isi berulang. Terdapat ramai calon SPM
membuat kesilapan ini termasuklah ketika peperiksaan SPM berteraskan KBSM. Mengapakah hal ini boleh berlaku? Jawapannya ialah
calon tidak sedar bahawa isi-isi yang ditulis oleh mereka masih berada dalam
acuan tema yang sama. Ini menyebabkan pemeriksa tidak mengira isi kedua sebagai
isi yang berasingan sebaliknya merupakan isi yang berulang. Hal ini akan
menjadikan calon tersebut tidak akan memperoleh markah isi yang cukup sekali
gus gagal mendapat markah penuh bagi soalan pemahaman tersebut. Bayangkan jika
soalan pemahaman empat markah yang memerlukan tiga isi cukup tetapi hanya satu
isi diterima manakala dua lagi dikira berulang, tentu sahaja calon tersebut
akan kehilangan amrkah tanpa mereka sedari. SOALAN Kita selalu diingatkan agar menghormati orang yang
lebih tua dan berusaha membalas budi orang yang banyak berjasa. Sebagai remaja,
apakah yang akan anda lakukan untuk membuktikan anda bebrudi kepada ibu bapa
anda? JAWAPAN CALON Sebagai remaja, untuk membuktikan saya berbudi bahasa
kepada ibu bapa saya adalah dengan bercakap dengan sopan dengan ibu bapa. Selain
itu, jaga sikap tingkah laku terhadap ibu bapa. Oleh itu, apabila orang tua
duduk manakala saya berjalan di hadapan mereka, maka saya tunduk dan bongkokkan
badan sambil berjalan untuk rasa hormat kepada orang yang lebih tua dari kita. Dalam jawapan di atas terdapat beberapa kesalahan
bahasa minimum yang sepatutnya harus dielakkan oleh calon. Contohnya: kepada
orang yang lebih tua dari kita. Sepatutnya kata sendi nama daripada digunakan bagi
menunjukkan asal punca manusia. Berbalik kepada isi, calon ini beranggapan telah
memberikan tiga isi, walaupun soalan ini cukup sekadar dua isi lengkap. Isi 1: dengan bercakap dengan sopan dengan ibu bapa Isi 2: jaga sikap tingkah laku terhadap ibu bapa Isi 3: apabila berjalan di hadapan orang tua, maka
saya tunduk dan bongkokkan badan Tafsiran pemeriksa pula isi yang kukuh dan berdiri
sendiri cuma satu, iaitu jaga sikap tingkah laku terhadap ibu bapa. Contoh bagi
menjaga tingkah laku ialah bercakap dengan sopan dan berjalan sambil
membongkokkan badan apabila melintasi orang yang lebih tua. Justeru, calon ini
akan mendapat dua markah sahaja kerana isi tidak cukup dan bahasa masih
gramatis. Bagi mendapat penerangan yang lebih jelas dengan
beberapa contoh jawapan calon SPM tentang kesilapan isi berulang dalam menjawab
soalan KBAT pemahaman ini, bolehlah anda saksikan penerangan yang disampaikan
oleh cikgu menerusi video di bawah. Jika sudi jangan lupa subscribe, komen dan
kongsi video tersebut kepada individu yang memerlukan. Terima kasih!