|
Gambar di atas kontroversi guru di TikTok dari Indonesia |
Perkembangan teknologi menghadirkan pelbagai inovasi
dalam kehidupan manusia termasuklah media sosial. Jika digunakan dengan
sebaiknya, maka akan mendatangkan kebaikan. Namun, andai kata media sosial
disalahgunakan, maka akan membawa kemudaratan. Pada hari ini, semua golongan
tanpa mengira peringkat umur menggunakan media sosial hampir setiap hari dalam
kehidupan mereka, begitu juga golongan guru. Berbezanya guru apabila
menggunakan media sosial dalam tetapan awam dan dapat diakses oleh masyarakat
umum ialah mereka membawa imej profesionalisme perguruan sekiranya, username dan kandungan media sosial yang
dimuat naik itu menjurus kepada kerjaya seorang guru.
Justeru, tidak hairanlah isu guru ‘terlampau’ dalam
media sosial terutamanya menerusi aplikasi Tiktok menjadi bualan hangat
beberapa hari lalu apabila salah seorang pengguna Tiktok mempersoalkan motif
guru wanita yang berpakaian ketat, sendat dan menampakkan bentuk tubuh badan
dalam keadaan yang terlampau di TikTok. Menerusi tinjauan admin, akaun yang
dimaksudkan wujud. Malah individu tersebut turut memakai tanda nama persis
seorang guru dalam pakaian yang dikira terlalu ‘azab’ untuk diperlihatkan dalam
imej seorang guru. Hasil perhatian pada ruangan komen pada video yang lalu di
FYP itu juga, pertanyaan salah seorang pengguna Tiktok sama ada tiada
pemantauan daripada PPD atau JPN juga dibalas oleh pemilik akaun tersebut yang
mengalu-alukan pegawai untuk hadir dan memantau dirinya.
Terdahulu video seorang guru perempuan sekolah rendah
yang merakam gelagat memanggil nama murid sewaktu mengedarkan makanan turut
pernah tular di TikTok mengundang pelbagai reaksi, sehinggakan satu akaun
popular yang digelar wartawan TikTok pernah menuduh guru yang mengkritik aksi
guru-guru yang merakam video di sekolah dan mendapat perhatian netizen sebagai ‘dengki’
dengan ‘populariti’ guru-guru viral ini. Sebelumnya seorang guru wanita di
sebuah sekolah rendah di negeri Kedah juga pernah tular di Instagram dengan
dialek utara yang dirakam ketika sedang bersama-sama dengan murid di dalam
bilik darjah. Walau bagaimanapun, kedua-duanya masih boleh diterima jika
dilihat dari sudut positif, iaitu memperlihatkan hubungan atau bonding antara guru dan murid dalam
situasi sebenar di sekolah.
Mengadaptasi dengan perkembangan semasa itu perlu.
Guru menggunakan teknologi untuk menyampaikan ilmu menerusi teknologi adalah
sangat murni tindakannya. Misalnya, seorang guru lelaki dari Kelantan yang
menjadikan ejaan Bahasa Inggeris sebagai kandungan Tiktok bersama-sama anak
muridnya. Di samping imej tali leher yang unik, cara dendaan secara humor jika
ejaan yang disebut oleh anak murid itu salah juga mencuit hati sehingga
menjadikan guru tersebut tular dan popular.
Sebenarnya, ada ramai lagi guru yang menggunakan
platform media sosial seperti TikTok, Youtube, Facebook, Instagram, Twitter dan
Blog untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat mengikut kepakaran masing-masing.
Bukanlah bererti guru perlu serius dalam 24 jam sehari dan langusung tidak
boleh berhibur. Ada juga guru-guru yang menjadi blogger hiburan menulis ulasan
tentang drama, filem dan mengkritik lakon layar, namun mereka tidak membawa
imej guru sebalik kemunculan mereka menerusi blog itu. Ada juga guru lelaki
yang terlibat dalam sukan bina badan dan sering memperlihatkan tubuh badan
kekar, namun akaun mereka juga diperlihatkan sebagai individu biasa tanpa
diberi penekanan khusus tentang profesionalisme perguruan. Justeru guru perlu
tahu membezakan akaun media sosial yang dibina atas tujuan peribadi atau yang
membawa imej perguruan.
Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Lumrah
hidup seekor kerbau membawa lumpur habis terpalit semua. Guru perlu menjaga kehormatan
dan kesucian profesionalisme perguruan. Sebagai manusia biasa, mustahil kita
tiada noda atau dosa. Khilaf dan alpa itu akan mampu dibaiki dengan nasihat dan
teguran yang membina. Namun, perbuatan sengaja menunjukkan bentuk tubuh badan
khususnya bagi guru wanita dengan tujuan meraih perhatian khalayak adalah suatu
perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang guru. Sebagai wanita
seharusnya mempunyai rasa malu, apatah lagi seorang wanita yang bergelar guru. Justeru,
sudah sampai masanya pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) cakna dan mengeluarkan garis panduan serta tatacara akaun media sosial
yang dibina atas identiti profesionalisme perguruan diurus tadbir dengan betul,
agar martabat profesionalisme perguruan ini terpeliharan kesucian dan
kemuliannya.