Konflik selepas berakhirnya Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), sama ada melibatkan murid di sekolah rendah atau murid pada tahap menengah rendah nampaknya tidak pernah bertitik noktah saban tahun. Umum sedia maklum bahawa sesetengah pengurusan sekolah merancang pelbagai aktiviti dan program di luar bilik darjah bagi murid-murid di sekolah masing-masing. Isunya muncul apabila ada sesetengah ibu bapa secara terbuka menulis di media sosial bahawa anak-anak tidak belajar di sekolah. Pendapat yang sama turut ditulis secara terbuka dalam kalangan guru sendiri dalam media sosial! Persoalannya, benarkah aktiviti pasca UASA langsung tidak disisipkan dengan apa-apa bentuk pelajaran?
“Sedih bila anak pergi sekolah tapi tak belajar. Masa free macam inilah nak polish sifir, tambah tolak, pecahan yang ramai tak tahu tu...”
Ini antara luahan seorang guru sekolah menengah. Sebelum
itu pernah tular tangkap layar komen dan tulisan segelintir ibu bapa yang turut
beranggapan bahawa murid tidak belajar di sekolah selepas UASA.
Walau bagaimanapun, pendapat dan maklum balas yang diterima dalam kalangan warga maya adalah pelbagai. Ada yang sependapat dengan individu yang mengkritik seolah-olah aktiviti pasca UASA tidak memberi sebarang makna, sebaliknya duduk di dalam kelas serta latihan intensif daripada guru lebih perlu. Pada masa yang sama, sebahagian warga maya berpendapat bahawa inilah masanya untuk pelbagai aktiviti luar bilik darjah yang boleh mendedahkan murid dengan seribu satu kemahiran, pengetahuan dan pengalaman.
Pada pendapat saya, sama ada sesuai atau tidak aktiviti pasca UASA diadakan adalah bergantung kepada situasi sekolah itu sendiri. Ada pelbagai sebab bagi persoalan mengapa sekolah memilih untuk merancang aktiviti selepas UASA?
Salah satu sebab utamanya di sekolah menengah adalah atas kapasiti fasiliti apabila blok-blok berhampiran dewan peperiksaan perlu dikosongkan demi memberikan keselesaan dan ketenangan kepada calon SPM. Seperkara lagi, kekangan guru yang keluar bertugas sebagai pengawas SPM menjadikan jumlah guru berkurangan di sekolah, ini belum lagi tuntutan mesyuarat, bengkel, taklimat dan guru yang bercuti atas faktor kesihatan dan kecemasan. Oleh itu, bagi mengawal murid di satu lokasi dengan faktor kekurangan guru, maka pengisian aktiviti di luar bilik darjah merupakan suatu langkah yang wajar dilaksanakan. Inilah yang berlaku di sekolah tempat saya bertugas.
Dalam beberapa minggu ini saya cukup kagum dengan rakan-rakan sejawatan yang bertungkus lumus memerah keringat untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak di sekolah melalui pelbagai program dan aktiviti. Percayalah, secara peribadi lebih mudah masuk ke kelas dan teruskan PdP seperti biasa daripada memikirkan aktiviti-aktiviti yang menarik, dengan kertas kerja yang perlu disediakan, pembahagian tugas yang perlu dilakukan, kawalan terhadap keselamatan murid semasa aktiviti di luar bilik darjah yang perlu diutamakan; belum lagi dengan isu kos, surat-menyurat, peraturan dan pekeliling sekiranya aktiviti melibatkan jemputan pihak luar atau program yang direncanakan memerlukan membawa murid keluar dari sekolah.
Suka saya memetik tulisan komen balas tentang isu ini
dalam sebuah pelantar media sosial.
“Dia macam ni kak. Pendidikan ni ada dua jenis, yang pertamanya formal, yang keduanya tidak formal. Sebenarnya program pasca UASA yang dianjurkan oleh pihak sekolah itu berbentuk pendidikan tidak formal. Murid-murid sertai aktiviti dan pada masa yang sama ada ilmu yang diperoleh mereka; misalnya latihan kebakaran; daripada latihan itu murid tahu untuk mengambil tindakan yang tepat ketika loceng kecemasan dibunyikan. Jadi, jika anak balik ke rumah dan beritahu ibu bapa bahawa tidak belajar apa-apa di sekolah maka dakwaan itu tidak tepat sebenarnya”
Sekadar berkongsi sebahagian aktiviti yang telah dijalankan dan akan dijalankan sebagai pengisian program pasca UASA bagi murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.
- Pertandingan mendirikan khemah
- Ceramah bijak menabung dengan kerjasama Maybank
- Pertandingan masakan rimba
- Celik Al-Quran
- Asas pertolongan cemas
- Pertandingan gajet dan ikatan
- Ceramah penggunaan Internet dengan selamat
- Photobooth sayangi buku teks
- Explorace bahasa
- Pertandingan Jaguh Jaring
- Pertandingan Mencari Ronaldo
- Klinik sofbol
- Ceramah pendidikan kerjaya
- Tahsin solat
- Ceramah kesihatan mental
- Lawatan ke pusat falak
- Pertandingan kereta belon
- Smart sembelihan
- Pertandingan ukiran buah
- Masakan kuih tradisional
- Pertandingan permainan tradisional
- Gotong-royong perdana
- Jamuan akhir tahun mengikut kelas
Tuntasnya, apabila timbul soal pengurusan dan
pentadbiran sekolah, amat susah untuk memuaskan hati semua pihak. Ada sahaja
tindakan dan keputusan yang dibuat sama ada pada peringkat pusat (KPM) atau
negeri (JPN), daerah (PPD) atau sekolah sendiri disokong atau dibangkang;
justeru jadilah rasional. Mengkritik itu tidak salah; namun biarlah kritik itu
membina dan bertujuan untuk menambah baik dan bukannya semata-mata untuk
menyalahkan sahaja.

.png)


