Contoh Karangan Surat Rasmi; Aduan Tentang Aktiviti Pasar Malam

Cikgu Muzz
By -
0
 

KARANGAN RESPONS TERBUKA
 
Anda mendapati aktiviti pasar malam berdekatan kawasan perumahan anda telah menimbulkan pelbagai masalah kepada penghuni di kawasan tersebut. Sebagai wakil penduduk, anda berasa bertanggungjawab untuk menulis sepucuk surat kepada pihak berkenaan untuk melaporkan hal tersebut. Tulis surat itu selengkapnya. Panjangnya surat anda hendaklah tidak kurang daripada 180 patah perkataan.

                                                                                                                     
Tuan,

Aduan Tentang Aktiviti Pasar Malam

Merujuk perkara di atas, saya Fakhrul Radzi Bin Amril Arshad mewakili Taman Desa Sutera ingin membuat aduan tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat berhubung pengoperasian aktiviti pasar malam di kawasan ini.
 
2.         Salah satu masalah yang dihadapi oleh penduduk akibat pengoperasian aktiviti pasar malam di kawasan perumahan ini ialah kesesakan lalu lintas. Hal ini dikatakan demikian kerana pengunjung yang datang ke pasar malam akan memarkir kenderaan di bahu jalan. Kesannya, jalan akan sempit dan sesak. Hal ini berupaya meningkatkan risiko kemalangan. Baru-baru ini, berlaku insiden langgar lari melibatkan sebuah motosikal dan seorang kanak-kanak lelaki. Justeru, jelaslah kesesakan lalu lintas merupakan salah satu isu yang timbul ekoran aktiviti pasar malam di Taman Desa Sutera ini.
 
3.         Seterusnya, pembuangan sampah yang tidak diurus dengan baik merupakan impak negatif pengoperasian aktiviti pasar malam kepada penduduk di sini. Hal ini disebabkan oleh kekurangan tong sampah yang disediakan di kawasan ini. Keadaan menjadi lebih teruk apabila pengunjung pula lebih suka membuang sampah di merata-rata meskipun tong sampah berada berdekatan mereka. Misalnya, pengunjung membuang sampah ke dalam longkang. Kesannya, longkang akan tersumbat dan mengundang bau busuk yang kurang menyenangkan penduduk setempat. Tambahan lagi, sampah-sarap juga memancing binatang liar seperti anjing dan kera yang mengancam keselamatan penduduk. Oleh yang demikian,  sudah terang lagi bersuluh pembuangan sampah yang tidak diselenggara dengan baik merupakan salah satu masalah aktiviti pasar malam di kawasan ini.
 
4.         Di samping itu, pencemaran bunyi juga merupakan salah satu gangguan yang timbul kepada penduduk setempat ekoran aktiviti pasar malam ini. Hal ini dikatakan demikian kerana bunyi bising yang hadir daripada suara peniaga yang menjalankan aktiviti jual beli. Penggunaan pembesar suara dalam mempromosikan barangan jualan agak mengganggu ketenangan penduduk di sini. Tambahan pula, ada penduduk yang ingin beristirahat, menjalankan ibadat, dan melaksanakan tugas akademik khususnya kepada golongan murid. Meskipun hanya sekali seminggu; namun rutin yang berulang ini masih mampu mengundang stres kepada penduduk setempat di sini.
 
Akhir kata, saya berharap pihak tuan akan mempertimbangkan aduan saya ini. Segala kerjasama daripada pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih.
 
Sekian.
 
Yang benar,
                       
              Fakhrul Radzi
............................................................
(FAKHRUL RADZI BIN AMRIL ARSHAD)
Setiausaha,
Rukun Tetangga Taman Desa Sutera.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!